Tuesday, February 09, 2010

Check Point Tentera Di Mindanao

Check Point Tentera Merata-rata

Sejak kecil kanak-kanak di Mindanao telah didedahkan dengan segala konflik dan kebengisan wajah-wajah tentera kerajaan yang sentiasa berkawal di laluan keluar masuk hampir setiap perkampungan orang Islam. Inilah yang menjadi santapan mata dan minda harian sehinggalah mereka membesar. Selain terpaksa berjalan kaki hampir 2 - 3 km untuk ke sekolah, mereka sentiasa diperiksa secara rawak sekiranya menghampiri kawasan check point tentera. Bimbang takut terdapat 'suicide bomber'. Namun, tidak pernah berlaku sebarang bentuk serangan berani mati ke atas kem-kem atau detachment tentera oleh orang Islam Mindanao. Apatah lagi oleh kanak-kanak sekolah. Justeru, tindakan tentera ini adalah satu provokasi selain sebagai brain wash technic pemikiran kanak-kanak.

Atas faktor ini, adalah tidak menghairankan sekiranya kanak-kanak tersebut membesar dalam suasana tertekan sekali gus berjiwa pendendam. Dendam terhadap untung nasib ekoran konflik selain kongkongan hidup oleh pemerintah. Membesar untuk menjadi pendendam. Untuk turut melebarkan lagi jurang konflik. Agar langkah mereka yang impikan perdamaian semakin sukar dan longlai.....

Tuesday, February 02, 2010

Konflik Yang Sukar Difahami


Sudah hampir 4 dekad Mindanao dilanda konflik. Bermula dengan pembentukan Muslim Independence Movement seterusnya ditubuhkan Moro National Liberation Front, rantau tersebut hingga ke hari ini tidak sunyi dari sengketa. Dan ia tidak akan dapat lari dari semua kemelut yang tercetus. Masyarakat sering menyalahkan kerajaan kerana kegagalan dalam membela nasib penduduk Mindanao yang majoritinya beragama Islam. Wajarkah kerajaan berterusan dipersalahkan ? Apa pula peranan penduduk Mindanao untuk melakukan satu anjakan paradigma dalam hidup mereka ? Agar mereka dapat keluar dari kepompong konflik.

Aku yang melihat dengan hati dan perasaan semasa berada di rantau konflik tersebut tidak menafikan kerajaan memainkan peranan dominan dalam menentukan hala tuju kehidupan sesuatu komuniti. Ini termasuk di Mindanao. Namun, kita tidak boleh menyalahkan kerajaan sepenuhnya. Sikap dan mentaliti masyarakat Mindanao sendiri dilihat antara salah satu faktor yang menyumbang kepada permasalahan. Konflik sesama suku kaum/etnik, sikap kesukuan yang menebal, dendam yang tak berkesudahan, sengketa keluarga (rido), enggan mengejar pembangunan sering berbaur dalam mencampur adukkan derita di Mindanao. Kerajaan Filipina hanya mengambil kesempatan dari kemelut yang sedia ada.

Dari bancian dan responden di kalangan masyarakat Islam, rata-rata menolak kemajuan dan pembangunan yang cuba diterap kerajaan. Mereka tidak dapat menerima dan mungkin tidak akan menerima apa jua dasar murni kerajaan di rantau tersebut. Pemikiran mereka seolah-olah diracun oleh satu skrin bahawa kerajaan akan sentiasa menganiya. Merampas hak milik mereka. Aku memang tidak menafikan masyarakat Islam Mindanao agak trauma dengan kekejaman yang pernah dialami terutama di era Presiden Ferdinand Marcos. Terlalu banyak kekejaman dan kematian orang Islam semasa pengisytiharan Martial Law. Justeru, mereka menjadikan agama sebagai satu landasan perjuangan. Jihad dan mati syahid. Begitu mudah. Tak payah nak jadi kaya untuk masuk syurga. Tak payah belajar tinggi-tinggi untuk masuk syurga. Angkat je senjata tinggi-tinggi. Serang masyarakat Kristian walaupun tidak bersalah. Kerana ia perjuangan jihad. Inilah doktrin yang tertanam kejap dalam setiap jiwa kanak-kanak Islam di Mindanao. Walhal, di Filipina ramai di kalangan ilmuan mahupun peniaga yang berjaya adalah orang Islam. Mereka boleh berjaya kerana menerapkan nilai Islam yang sebenar. Bagaimanapun, langkah mereka tidak pernah mahu dituruti oleh yang lain.

Justeru, aku berdoa agar negara kita tidak dieksploitasi oleh mereka yang pakar dalam melaksanakan dakyah dan indoktrinasi ke dalam jiwa dan pemikiran kanak-kanak agar sentiasa menentang apa jua dasar kerajaan. Indoktrinasi agar mementingkan syahid menerusi jalan militan. Janganlah jadikan masyarakat kita sebagai satu masyarakat yang sukar difahami dunia.