Monday, May 10, 2010

Tempias Gempa Di Medan

Sejak aku menapakkan kaki ke sini sudah 2 kali berlaku gempa bumi berpusat di Aceh. Kali pertama pada awal bulan April. Luckily aku masa tu berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi. Kali kedua berlaku pada 9 Mei jam 1.00 tengahari. Juga luckily aku sedang memandu kereta di Medan untuk makan tengahari di Restoran Simpang Tiga. Tak tahupun ada gempa masa tu. Aku hanya tahu semasa di restoran bilamana berita keluar di kaca t.v. Berukuran 7.2 pada skala richter.


However, that's part of life that I have to face down here. Kalau di Mindanao, kita perlu sentiasa bertawakal agar tidak ada peluru sesat yang mengenai tubuh setiap kali ke kawasan orang ramai. Di Medan, perkara sama perlu kita amalkan sepanjang masa. Sentiasa mengingatiNya. InsyaAllah setakat ini kawasan Medan masih terpelihara olehNya. Semuga keadaan ini sentiasa terkawal sepanjang aku melangkah di rantau ini.

Monday, April 26, 2010

Cuaca Panas Di Medan

Kebelakangan ini cuaca agak panas di Medan. Mencecah 35 -37 darjah celcius. Ditambah pula dengan keadaan berdebu dan jalan yang bingar diselangi hon kenderaan. Namun secara keseluruhan terserlah ketulusan warga Medan dalam meneruskan nafas seharian. Gigih dan tenang. Setenang air Danau Toba yang kulewati minggu lepas. Sedamai air Selat Melaka di Pelabuhan Belawan.


Aku sudah semakin mapan dalam menitip hidup di kota Medan. Sudah agak lali dengan liku-liku kehidupannya. Sudah mengenal warna matawang rupiah tanpa melihat nilainya. Terutama yang bernilai Rp. 100,000 (RM 36). Matawang terbesar harganya.


Terlalu banyak yang harus kuterokai di Medan khususnya Sumatera Utara. Terlau banyak penderitaan yang mampu dikongsi di Aceh yang bakal kujejak dalam tempuh terdekat ini. Terlalu banyak lipatan sejarah melayu yang terbenam di bumi Sumatera ini. Semuanya InsyaAllah akan kukongsi bersama.

Salam dari Medan......

Friday, April 16, 2010

Berada Di Medan

Telah memulakan tugas di Medan sejak 16 MAC 10. Keadaan agak tenang di sini walaupun suasana jalan raya agak bingar dengan bunyi hon kenderaan. Berlumba-lumba nak bunyikan hon. Kalau satu hari tak tekan hon tak sah. Pelik. Tak patut bunyi hon pun dihonnya.


Brastagi, Danao Toba, Istana Maimun, Meriam Buntung, Warisan Kesultanan Melayu Deli dan kehidupan seharian kaum Batak Karo, Batak Siantar, Batak Somasir akan terus berlegar dalam entry aku selepas ini.


Salam hormat dari Medan, Sumatera Utara.

Sunday, March 14, 2010

Tugas Di Medan, Indonesia

Hari terakhir aku di KL. Esok 15 Mac 2010 jam 1510, aku akan berangkat ke Medan. Untuk tugas selama 3 tahun. Tentu banyak yang boleh aku kongsi bersama kelak sepanjang aku berada di sana. Jumpa lagi....

Monday, March 01, 2010

Baru Balik Dari Mindanao

Aku baru balik dari Mindanao setelah berada di bumi Filipina bermula 15 - 22 Feb 2010. Aku telah berada di Mindanao dari 17 - 20 Feb. Berjumpa kawan-kawan lama. Terlau banyak cerita. Aku agak kesibukan ketika ini. Jadi, segala pengalaman terkini tersebut akan cuba aku paparkan dalam entry akan datang. Magandang gabi sa iyong lahat. Salamat po.

Tuesday, February 09, 2010

Check Point Tentera Di Mindanao

Check Point Tentera Merata-rata

Sejak kecil kanak-kanak di Mindanao telah didedahkan dengan segala konflik dan kebengisan wajah-wajah tentera kerajaan yang sentiasa berkawal di laluan keluar masuk hampir setiap perkampungan orang Islam. Inilah yang menjadi santapan mata dan minda harian sehinggalah mereka membesar. Selain terpaksa berjalan kaki hampir 2 - 3 km untuk ke sekolah, mereka sentiasa diperiksa secara rawak sekiranya menghampiri kawasan check point tentera. Bimbang takut terdapat 'suicide bomber'. Namun, tidak pernah berlaku sebarang bentuk serangan berani mati ke atas kem-kem atau detachment tentera oleh orang Islam Mindanao. Apatah lagi oleh kanak-kanak sekolah. Justeru, tindakan tentera ini adalah satu provokasi selain sebagai brain wash technic pemikiran kanak-kanak.

Atas faktor ini, adalah tidak menghairankan sekiranya kanak-kanak tersebut membesar dalam suasana tertekan sekali gus berjiwa pendendam. Dendam terhadap untung nasib ekoran konflik selain kongkongan hidup oleh pemerintah. Membesar untuk menjadi pendendam. Untuk turut melebarkan lagi jurang konflik. Agar langkah mereka yang impikan perdamaian semakin sukar dan longlai.....

Tuesday, February 02, 2010

Konflik Yang Sukar Difahami


Sudah hampir 4 dekad Mindanao dilanda konflik. Bermula dengan pembentukan Muslim Independence Movement seterusnya ditubuhkan Moro National Liberation Front, rantau tersebut hingga ke hari ini tidak sunyi dari sengketa. Dan ia tidak akan dapat lari dari semua kemelut yang tercetus. Masyarakat sering menyalahkan kerajaan kerana kegagalan dalam membela nasib penduduk Mindanao yang majoritinya beragama Islam. Wajarkah kerajaan berterusan dipersalahkan ? Apa pula peranan penduduk Mindanao untuk melakukan satu anjakan paradigma dalam hidup mereka ? Agar mereka dapat keluar dari kepompong konflik.

Aku yang melihat dengan hati dan perasaan semasa berada di rantau konflik tersebut tidak menafikan kerajaan memainkan peranan dominan dalam menentukan hala tuju kehidupan sesuatu komuniti. Ini termasuk di Mindanao. Namun, kita tidak boleh menyalahkan kerajaan sepenuhnya. Sikap dan mentaliti masyarakat Mindanao sendiri dilihat antara salah satu faktor yang menyumbang kepada permasalahan. Konflik sesama suku kaum/etnik, sikap kesukuan yang menebal, dendam yang tak berkesudahan, sengketa keluarga (rido), enggan mengejar pembangunan sering berbaur dalam mencampur adukkan derita di Mindanao. Kerajaan Filipina hanya mengambil kesempatan dari kemelut yang sedia ada.

Dari bancian dan responden di kalangan masyarakat Islam, rata-rata menolak kemajuan dan pembangunan yang cuba diterap kerajaan. Mereka tidak dapat menerima dan mungkin tidak akan menerima apa jua dasar murni kerajaan di rantau tersebut. Pemikiran mereka seolah-olah diracun oleh satu skrin bahawa kerajaan akan sentiasa menganiya. Merampas hak milik mereka. Aku memang tidak menafikan masyarakat Islam Mindanao agak trauma dengan kekejaman yang pernah dialami terutama di era Presiden Ferdinand Marcos. Terlalu banyak kekejaman dan kematian orang Islam semasa pengisytiharan Martial Law. Justeru, mereka menjadikan agama sebagai satu landasan perjuangan. Jihad dan mati syahid. Begitu mudah. Tak payah nak jadi kaya untuk masuk syurga. Tak payah belajar tinggi-tinggi untuk masuk syurga. Angkat je senjata tinggi-tinggi. Serang masyarakat Kristian walaupun tidak bersalah. Kerana ia perjuangan jihad. Inilah doktrin yang tertanam kejap dalam setiap jiwa kanak-kanak Islam di Mindanao. Walhal, di Filipina ramai di kalangan ilmuan mahupun peniaga yang berjaya adalah orang Islam. Mereka boleh berjaya kerana menerapkan nilai Islam yang sebenar. Bagaimanapun, langkah mereka tidak pernah mahu dituruti oleh yang lain.

Justeru, aku berdoa agar negara kita tidak dieksploitasi oleh mereka yang pakar dalam melaksanakan dakyah dan indoktrinasi ke dalam jiwa dan pemikiran kanak-kanak agar sentiasa menentang apa jua dasar kerajaan. Indoktrinasi agar mementingkan syahid menerusi jalan militan. Janganlah jadikan masyarakat kita sebagai satu masyarakat yang sukar difahami dunia.