Wednesday, August 20, 2008

Bosnia


Pale. Kubu kuat Radovan Karadzic. Sepanjang hari aku menjalankan operasi mengesan seterusnya menangkap Karadzic. Letih, penuh risiko dan mengundang cemuhan penduduk setempat. Cuma umur aku masih panjang. Kalau ketika itu penduduk pro Karadzic mahu membunuh aku menggunakan sniper memang amat mudah. Aku cuma dilindungi bullet proof jacket dan helmet. Berjalan kaki. Menyelongkar setiap inci bangunan di Pale. Kalau ada timing bomb di sebalik pintu-pintu bangunan tersebut. Wallahuaklam.


1998 hingga 2008. Sepuluh tahun barulah Karadzic berjaya ditangkap. Dan aku tak tahu sepanjang tempoh 10 tahun tersebut. Berita mengatakan beliau mendapat perlindungan CIA. Setelah Karadzic enggan mematuhi kehendak CIA, barulah beliau ditangkap dan bakal dihadap ke ICJ. Pelik namun hakikatnya.


Kita cuma boleh melihat senario politik dunia dari jauh. Siapa kita sementalahan jika sedang berada di rantau konflik......

Thursday, July 24, 2008

Pale Dan Radovan Karadzic

Pada bulan OGOS 1998, selama 3 hari aku menyertai operasi memberkas Radovan Karadzic di Pale yang merupakan kubu kuat Bosnian Serb. Pale berjarak 20 km dari Sarajevo. Kini, pada 21 JUL 2008, beliau berjaya ditangkap. Bakal dihadapkan ke Tribunal Jenayah Antarabangsa Untuk Bekas Yugoslavia.


Perasaan aku berbaur dengan penangkapan ini. Tidak gembira dan tidak juga sedih. Cuma aku agak hairan. Ragu. Kenapa setelah masyarakat Islam Bosnia semakin pupus dan hilang segalanya, baru itulah Barat khususnya Amerika Syarikat memperlihatkan keperihatinan. Mengapa tidak semasa orang Islam disembelih sewenang-wenangnya sekitar tahun 1992 - 1995 ? Walhal pada masa itu bantuan senjata untuk orang Islam Bosnia turut disekat. Langsung tidak dipedulikan. Mati begitu sahaja.

Dan aku bersyukur kerana masih mampu melangkah di negara tercinta ini. Tidak dibunuh Radovan Karadzic dan konco-konco semasa memburu beliau di bandar kekuasaannya - PALE......

Wednesday, April 30, 2008

Misi Damai Berakhir


Aku agak tergamam apabila mendapat tahu keputusan kerajaan untuk menamatkan misi negara di rantau konflik yang pernah kujelajahi selama setahun. Keputusan ini ekoran sikap tidak komited dan tidak jujur Kerajaan Filipina. Serentak itu pelbagai kemungkinan bermain dalam benak aku. Akan semakin laju kah aliran darah-darah manusia yang tidak berdosa ? Akan semakin murah kah nyawa orang-oang di rantau tersebut ? Seperkara merunsingkan aku. Siti Temar. Akan selamatkah dia ? Akan menjandakah dia kalau konflik tercetus dengan hebat. Aku semakin takut. Tony ?, Leya ? Rada ?Sarah ? Nama-nama ini yang sentiasa menyambung nyawaku untuk menghirup udara kotor di rantau konflik.


10 Mei 2008 adalah titik tolak ketentuan nasib nama-nama kusebut. Akan semakin kayalah mereka-mereka yang hidup dengan melangkahi arus merahnya darah.......

Monday, February 04, 2008

Di Rantau Konflik Baru

Aku baru pulang dari sebuah lagi rantau yang kerap berkonflik. Buat permulaan. Dan aku akan terus mencoret apa jua pengalaman yang telah kutimba kelak. Buat tatapan dan pengajaran bersama. Mungkin aku akan menetap di rantau baru tersebut lebih lama. Lebih lama dari rantau rantau yang pernah kulangkahi.....