Tuesday, May 31, 2005

Iman Semut Dan Manusia

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu". Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong". Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggal semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menempelak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah". Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa". Itulah Iman Semut!!

Iman Manusia??

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di INTERVIEW oleh Munkar Nankir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih mengadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?". Jawab Imam Suffian:" Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia. Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".

Dua kisah di atas yang diperolehi dari email membawa aku merenung kehidupan di rantau konflik ini. Alangkah baiknya kalau masyarakat di sini seperti semut tersebut. Sentiasa berusaha mencari rezeki dari titik peluh sendiri. Sentiasa berusaha untuk memajukan diri. Berfikiran jauh dan tidak pernah alpa dengan sogokan kemewahan. Malangnya, kita manusia yang diberi akal masih terus berada dalam kegelapan. Harta adalah punca segala sengketa. Harta membuat manusia hilang pertimbangan dan lupa maruah diri. Seperti di rantau konflik ini, pelakunnya seolah kehilangan pengarah. Tiada haluan. Tiada penamat cerita sebagaimana dikehendaki penonton.

Di rantau konflik ini juga manusia-manusia yang tamak tetap rakus mencincang tangan rakan sendiri. Biar mereka tidak bertangan. Kelak akan mudah merogol pusaka yang ditinggal ...

Pesan Luqman El Hakim

25 PESAN LUQMAN EL-HAKIM KEPADA ANAK-ANAKNYA

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yg dalam, banyak manusia yg karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat,agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yg bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKAL kepada ALLAH.

02 - orang - orang yg sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

03 - Hai anakku; orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 - Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kpd ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yg tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah drpd memberi pengertian kpd orang yg tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yg amat berat, tetapi akan lebih lagi drpd semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yg jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yg bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yg berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yg berlebihan, kerana sesungguhnya makan yg terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kpd anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yg pernah memberikan barang yg berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yg mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yg tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riak yg akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kpd urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yg busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yg menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yg pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23 - Barang sesiapa yg penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yg pendiam akan selamat daripada berkata yg mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 - Hai anakku; bergaul rapatlah dengan orang yg alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yg subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yg engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yg bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Renungkanlah,..
Image hosted by TinyPic.com

-----------------------------------xxxxxxxxxxxxx----------------------------------------------
'Ordinary men and women spill their own blood and the
blood of others in armed nationalist struggles seems an
intractable reality of the modern world'.

Sunday, May 29, 2005

Balkan

17 Mei 1998. Aku berada di Split mengadap Laut Adriatic yang memisahkan Croatia dengan Itali. Merupakan bandar kedua terbesar di Croatia selain Zagreb. Air Laut Adriatic yang kehitaman berterusan memukul beting berhampiran. Suhu agak dingin kerana baru sahaja berakhir musim sejuk. Musim bunga. Musim di mana akan kelihatan dedaun pokok mula bertunas. Bunga-bunga mula berkembang. Indah dan menarik pemandangan ketika ini. Aku memakai jaket kulit hitam yang kubeli di Plaza Angsana, Johor. Beg sandang yang hanya berisi dua tiga helai pakaian kualih ke bahu kiri. Agak selesa walaupun cuping telinga terasa beku. Kedua tanganku kemas disarung ke poket seluar. Sekurang-kurangnya dapat meredakan kesejukan yang agak keterlaluan. Suhu masih berdarjah 16 Celcius.

Hasrat ke Itali perlu kugagahi. Dua ekor camar putih berebut makanan di udara. Saling rampas merampas. Rakus. Dalam kemelut ini salah seekor pasti gagal. Hampa dalam persaingan.

Sebuah feri tertulis 'Adriatic Star' begitu megah berlabuh di jeti. Lebihkurang 50 meter dari tempat aku berdiri. Aku lantas menghampiri seorang lelaki pertengahan umur yang dari tadi asyik menghisap rokok. Beret berwarna biru agak senget di kepalanya. Beret yang sering menjadi pakaian tentera Perancis dalam filem 'Combat' lakonan Vic Morrow dan Ric Jason. Vic Morrow memegang watak Sarjan Saunders.

Kedut muka lelaki pertengahan umur tersebut amat jelas disulam janggut dan misai tidak terurus. Sedang duduk di bangku perhentian bas. Bas untuk ke Makarska dan Dubronik di Selatan Split. 'Dobro vecer gospodin, idem Italia ? Serentak itu jari telunjuk kanannya menuding ke feri 'Adriatic Star'. 'Da, da, da, da, da' bermaksud ya. Berapa banyak dia punya ya ni ? Bau rakiya (wain tempatan yang dibuat dari proses penapaian buah plum) semerbak dari mulutnya. Mabuk ke orang tua ni ? Kutoleh semula. Kali ini ia mengangguk pula entah berapa kali. Aku semakin berani untuk mengusiknya. 'Dobro ?' (bagus) sambil mengangkat ibu jari tangan kiriku. 'Da, da, da, da,da, da, dobienja ! (selamat jalan). Makin banyak dia punya ya . 'Huala liepo (terima kasih banyak) ucapku. 'Nei problema'. Masih terus menjawab dalam suara yang hampir tersedak asap rokok. Aku terlihat sebuah pondok menjual tiket bertulis 'Adriatic Star'. Perlahan kuhampiri. Seorang wanita sekitar 30 an sibuk menulis sesuatu. Rambut perang, hidung mancung. Bibirnya agak lebam dibalut lipstick merah. Merokok. Jeragat kehitaman banyak memenuhi kulit yang kemerahan. Cantik lagi wajah perempuan Melayu. Cantik lagi kulit orang Melayu. Dan cantik lagi wajah dan kulit isteriku.....

Sejumlah 200.00 Kuna (RM 140.00) untuk feri dari sini ke Ancona, sebuah bandar pelabuhan di Timur Itali. Feri akan bertolak pada jam 9.00 malam. Jam baru menunjukkan pukul 5.30 petang. Lama lagi. Dan aku terus mengikut langkah kaki menyusur tebing jeti. Kelihatan Pulau Brac dan Vis berbalam di tengah lautan. Bot-bot pelancungan begitu banyak untuk ke pulau tersebut. Samada menerusi Split, Makarska mahupun Dugi Rat. Aku memalingkan badanku mengadap bangunan yang kelihatan sejajar di Split. Indah seni binanya. Kukuh. Mencerminkan kemajuan arkitek Barat sejak zaman dahulu. Kutoleh semula ke lelaki tadi. Masih mengangguk kepala. Sebatang rokok masih panjang tersepit di bibirnya. Confirmed mabuk...

Secara spontan gambaran runtuhan bangunan di Sarajevo mengganggu pandangan. Hancur. Dipenuhi kerangka-kerangka konkrit. Seperti langit dengan bumi jika dibanding dengan keutuhan bangunan di sini. Tidak ada satupun kesan peluru.Tiada runtuhan. Walhal, kedua-duanya terlibat dalam konflik di Bosnia. Kedua-dua juga merupakan negara yang pernah bernaung di bawah bekas Yugoslavia. Kenapa? Begitu deras persoalan tersebut menembusi benakku. Dalam aku buntu mencari jawapan, terdengar dentingan loceng dari sebuah gereja Katholik berhampiran. Mungkin loceng penanda waktu. Kutoleh jam di tangan. Pukul 6.00 petang (kat Malaysia sudah pukul 1.00 tengah malam). Begitu agam gereja tersebut. Antara bangunan terbesar di Split. Kelihatan sebuah lagi di kirinya dalam jarak 200 meter. Namun agak kecil. Mungkin juga gereja Katholik. Masjid? Tiada masjid di sini. Dan masjid tidak akan mampu berdiri di sini. Begitu juga surau kecil. Kedua-duanya tidak akan berdaya menahan angin yang dibawa dari seberang Laut Adriatic. Mungkin tidak mampu buat masa terdekat ini. Esok ? Tidak pasti.......

Aku puas. Jawapan kucari seakan menjelma. Sekurang-kurangnya aku semakin mampu merungkai teka-teki. Serentak itu, ku paling wajah ke Laut Adriatic. Menghadap Itali. Mungkin juga menghadap Vatican City. Dan aku seakan dipaksa berdiri di rantau konflik ini......

Di Lembayung Senja

Jam 7.30 petang. Hati digigit sayu. Sudah hampir setengah jam waktu Isyak di rantau konflik ini berlalu. Laungan azan memang berkemundang lima waktu. Saling bersahutan dari berpuluh masjid berhampiran. Masjid Al-Borhan. Tempat aku sembahyang Jumaat. Khutbahnya ? Berbahasa orang sini. Orang di rantau konflik ini. Aku hanya faham bila Khatib menyebut Allah, malaikat, akhirat, Rasulullah, Amerika, jihad, maut. Yang lain-lain aku pakai agak je makna ayat yang disampai. Untung sabut betul le agakanku itu. Tapi aku rasa tak ada satu pun yang betul...Sabut mungkin tak timbul di zaman ini !

Saudara seakidah tetap ada di mana-mana. Di saluran radio Melaka melalui internet terdengar suara azan menandakan waktu Maghrib. 'Marilah menuju kejayaan', 'marilah menuju kejayaan'....Selepas azan, gelaplah rantau konflik ini. Seperti malam sebelumnya. Juga akan dituruti malam selepasnya. Tetap kelam.....

Petang tadi aku chat dengan seorang teman sekolah rendahku. Teman yang merupakan isteri, ibu dan segalanya yang terbaik. Doaku, "Ya Malik ! Kau bahagiakanlah keluarga ini. Eratkanlah kasih sayang mereka. Selamatkanlah anak-anak mereka. Murahkan rezeki mereka. Bukakan pintu rezekiMu untuk mereka. Jauhilah segala bala dari menimpa mereka. Jadikan mereka terbaik dari hamba-hambaMu yang baik. Amin Ya RabbalAlamin". Terima kasih teman. Terima kasih Ogy. Terima kasih kerana mencetus kembali nostalgia hidupku. Kepada isteri, kau adalah yang terbaik. Banyak pengorbanan yang tak akan mampu aku balas. Terima kasih sayang.....Dan aku tetap berdiri di rantau konflik ini....

Jasin. 1971.
Pekan. Bandar yang bukan bandar. Aku dihumban ke pekan ini. Memulakan alam persekolahan rendahku di sekolah berbunyi penjajah. Aku menangis. Terasa jauh dari kampungku. Kampung Chinchin. Amat jauh. Baju emakku yang menghantar aku di hari pertama persekolahan kutarik erat. Seolah hari aku akan berpisah dengannya buat selama-lamanya. Maka bersekolahlah aku. Rambut gunting periuk. Tak tahulah hensem ke tidak fesyen rambut macam tu. Sekolah pagi. Lepas enam bulan sekolah petang...Cikgu pertamaku Cikgu Puan Maimunah. Setelah aku dewasa baru kukenal bahawa suaminya bernama pena Ajikik, penulis hebat. Terima kasih Cikgu kerana mendidik saya. Tukang Kebun ? Letchumanan. Garang mengalahkan Guru Besar. Asyik marah budak pungut buah pine kat tepi padang. "Banyak sampah", gerutunya. Sampah apa pulak ? Padahal kitaorang pungut buah pine tu simpan dalam beg sekolah. Kan pungut sampah namanya tu. Takut ? Memang takut pasal masa darjah satu semua yang kerja kat sekolah dianggap cikgu. Boleh rotan...Bukan mandi sungai je kena rotan. Pungut buah pinepun kena rotan. Dalam beg ? Penuh gambar tepuk dengan getah geret. Ada lastik. Standby kalau ada yang mencabar untuk main. Persiapan kalau ada anak burung baru bertatih terbang. Seperti di rantau konflik ini. Di Mindanao. Di Filipina. Pantang dicabar. Maka akan menangislah ibu di rumah. Akan meraunglah isteri ditinggal. Anak kecil tetap menangis meminta susu.....Dan Jasin terus mengajar aku meniti dewasa.

Di rantau konflik ini, malam semakin sepi. Sesepi lamunan persekolahanku. Luna Street di hadapan rumahku masih gagah membentangkan diri. Sampai bila ? Dan aku tetap berdiri di rantau konflik ini.......


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pukul 5.02 ptg. Langit agak mendung di rantau konflik ini. Tanda hujan akan turun. Gelap. Angin agak sejuk kurasa. Nyaman. Terasa segar. Di luar, penarik-penarik beca (beca kat sini dipanggil trisikat) memperlajukan kayuh. Berseluar pendek dengan baju banyak rabaknya. Teringat cerita Penarik Beca. P. Ramlee memegang watak Amran. Terkenang ibu tua Amran yang mendiami teratak usang. Dan serentak itu aku terbayang wajah arwah emak.......

Hujan petanda rahmat. Kalau kat kampung, rahmat ini akan berterusan mengairi sawah. Sawah tidak seluas mana yang turut menjadi penyambung hidup semasa di kampung. Terlalu indah ketika itu. Padi Malinja, Ria, Mahsuri yang ditanam dua kali setahun terbuai-buai mengikut rentak angin. Burung tempua, pipit, merbah sentiasa meniti di tangkai padi. Ruak-ruak dan pucung tidak pernah ketandusan rezeki.

Aku gagahi untuk meredah sawah tersebut pada kesempatan balik kampung sekitar bulan Januari 2005 yang lepas. Pokok leban sebesar peha, rumbia, senduduk, mempelas, menerung dengan rakus telah merampas keharmoniannya. Hutan...! Aku tergamam. Mana sarang tempua ? Mana ? Aku lantas menyusuri Sungai Chinchin yang semakin laju arusnya. Sepi. Tiada kocakan garang haruan, tiada terkaman burung raja udang di gigi air. Kosong. Hampa. Dan tebingnya terus dicabul senduduk liar...Berbaloikah titik peluh nenek moyangku untuk meneroka kampung ini ? Berbaloikah beliung dihayun untuk merobohkan pohon-pohon balak yang pernah tumbuh di sini ? Berbaloikah air mata mereka? Air Sungai Chinchin tetap mengalir laju....

Di rantau konflik ini, rintik hujan sudah mula menitis. Rahmat ? Mereka tidak akan mensyukuri rahmat. Hujan akan membataskan langkah mereka untuk terus menggenggam rezeki. Dan aku ? Akan tetap mensyukuri rahmat yang bakal berkunjung sebentar lagi.

Saturday, May 28, 2005

Sinaran mentari yang menceroboh masuk melalui bilah tingkap bilik telah menyentak enak tidurku. Terasa sedikit bahangnya. Di rantau konflik ini, siangnya amat cepat mendatang. Pukul 5.30 pagi sudah terang. Kedudukannya yang lebih Timur membolehkan sinar mentari dikecap lebih awal.

Badan terasa lesu sambil memikirkan breakfast yang hendak dijamah. Tukang masakku hanya mampu menyajikan roti dengan mentega. Itulah hari-hari. Boring nya...... Mana Nasi Lemak ? Mana Roti Canai ? Di Malaysia, tentu teman-temanku sedang enak menjamahnya. Kalau makan tu ingatlah aku di rantau konflik ini...

Suara DJ Radio Melaka menerusi internet begitu ceria pagi ini. Petang nanti Irama 60 an. Teknologi mendekatkan kita. Tiada sempadan. Hanya itulah yang mendekatkan aku dengan negeri dan kampungku. Walaupun terhumban jauh di rantau konflik ini...

Aku akan ke pasar sekejap lagi. Tanggungjawab harian untuk kesinambungan hidup di rantau konflik ini. Justeru, akan terbentang satu lagi episod kehidupan di rantau konflik ini. Akan muncul wajah-wajah lesu menagih limpahan rezeki Tuhan. Mentari semakin garang di ufuk Timur !..................

Aku ke pasar. Lebihkurang 2 km dari rumah. Melalui jalan Sinsuat Avenue - jalan utama di Cotabato City. Jeepney bersimpang siur. Perjalanan singkat kurasa seakan 20 km. Sesak dan memualkan. Superama Supermarket kulepasi sebelum membeluk ke kiri. PC Hill. Terus menuruni sebuah selekoh sebelum memasuki SK Pendatun Avenue. Terpampang papan tanda Al Nor Grocery. Kedai runcit Muslim paling besar di rantau konflik ini. Bangga melihatnya. Sama dengan nama Melayu. Sama dengan nama kakak aku. Hanya kedai itu yang membuatkan aku begitu bersemangat untuk menempuh arus di bandar rantau konflik ini.

Kabalias sir ? Batambaka sir ? tangigi ? bangus ? manok ?. Suara penjual ikan dari City Central Arcade di Bonifacio Street menerpa telinga. Rimas dan bahang panas berbaur. Aku perlu mempercepat langkah. Menuju ke gerai paling tepi. 2 kilo kabalias (ikan kembong) di atas kotak usang bertukar tangan. Kuhulur peso 120.00 (RM 8.40) dengan disambut oleh senyuman paling manis penjual. Akan ada sisa nadiku di hari esok. Mungkin itu makna senyuman tadi.....Ikan-ikan lain terus terhampar layu di kotak usang. Menunggu bakal pembeli yang akan meratah mereka. Sama seperti masyarakat di rantau konflik ini yang mungkin esok akan diratah oleh pemerintah.....Di gerai lain, penjual dengan keringat membasahi t-shirt pagodanya memandang aku penuh hampa. Renungan hampa seolah ahli politik tempatan yang kehilangan sokongan. Kehilangan sokongan bermakna kehilangan kuasa. KUASA... jalan mudah mengumpul kekayaan. Kekayaan menerusi kemiskinan orang lain. Pasar, meja usang, ikan, penjual ikan terus mengepisodkan satu lagi drama di rantau konflik ini.

Kenanganku tiba-tiba terlempar jauh. Sungai Chinchin yang mengalir lesu pernah kaya dengan segala sumber ikan. Baung, sebarau, lais, terubul begitu mesra di uncang penjala. Jeramak, lukah, belat saling bersaing. Rezeki di bumi bertuah. Walaupun kini hanya anak seluang menghias jala, namun sekurang-kurang generasi mereka masih mampu meneruskan hari tua. Bersama arus Sungai Chinchin yang semakin laju.....

Sebuah jeepney diselang SUV Tamaraw membunyikan hon. Tersentak aku dibuatnya. Lamunan kenangan turut hilang bersama asap kenderaan yang semakin hitam. Sehitam hati pemimpin di rantau konflik ini. Dan aku ? Akan terus berdiri di sini..........



Image hosted by TinyPic.com
Gambaran Dari Rantau Konflik Ini

Image hosted by TinyPic.com

Dinihari Yang Sunyi

Sunyi. Mata masih lagi tak mengantuk. Entah bila nak tidur. Seperti malam yang telah kulalui di Mindanao ini. Tiada kedengaran deruan enjin kenderaan di kala ini. Angin agak kerap berhembus laju. Tanda hujan akan turun. Dah mula masuk musim hujan agaknya...Winter time menurut orang sini. Perasan macam kat Europe.

Sejuk semakin menggigit belulangku. Kat Malaysia ?. Kalau kat sana suasana tentu masih meriah. Banyak kedai makan masih dibuka. Teh tarik, roti canai banjir...Masjid India, Medan Tuanku. Ikan Masak Singgang kat Restoran Hakim. Ikan Bakar kat Medan Ikan Bakar Umbai...Tangkak ? Kemungkinan Kedai Kain pun masih buka lagi...

Kat kampung sudah tentu semua dah tidur. Selamat malam kampungku. InsyaAllah, aku akan menziarahimu sekerap mungkin..

Hari ini bermula cuti sekolah kat Malaysia. Kesian isteriku. Terpaksa bercuti tanpa aku.

Esok ? Bertambah tua pengalamanku di rantau konflik ini. Sematang Jambatan Sungai Tamontaka yang membahagi sempadan Wilayah Maguindanao dengan Cotabato City - bandar tertua di Mindanao. Bandar yang terlalu banyak menyaksikan tumpahnya darah dan airmata. Samada darah Muslim, Kristian Imigran serta Lumad. Hakikatnya, ia tetap merah. Semerah batu kerikil lombong di kampungku. Semerah warna Bangunan Stadshuy di Melaka. Tetap segar dan akan mengalir entah bila........

Di dinihari ini juga semakin kerap bersahutan kokokan ayam jiranku. Malangnya, bukan kokok penanda siang. Kokok berbunyi angkuh. Sahutan mencabar dari kumpulan ayam-ayam sabung. Ayam yang dipertaruhkan nyawa demi kepuasan masyarakat di rantau konflik ini. Nasib ayam tersebut seperti tuannya. Tiada ketentuan. Esok ? Akan dilagakan di gelanggang sabung. Hidup mati belum tentu. Tuannya ? Hanya berharap tuah ayamnya agar nampak di kaki...

Dari rantau konflik ini juga tuan-tuan ayam sama seperti ayam-ayam sabung. Hidup hanya untuk dipertaruhkan.. samada nyawa mahupun maruah.

Esok ? Aku tetap meneruskan perjuangan dengan harapan ayam sabung di bumi konflik ini akan hilang kokokan angkuhnya. Agar gelanggangnya di rantau konflik ini akan dinoktah. Biar tidurku tidak dihiasi kokokan mereka. Biarlah........

Friday, May 27, 2005

Aku Di Rantau Konflik Ini

9 Okt 2004. Pertama kali menjejak kaki di rantau konflik ini. Mindanao, Filipina - nama yang cukup sinonim dengan segala bentuk keganasan. Wilayah yang tak kunjung reda dilanda petaka.

Bumi yang menterjemahkan segala bentuk kekejaman. Rintihan mangsa kezaliman menjadi halwa telinga. Kediaman usang, jalan tak berturap, gerombolan tentera lengkap bersenjata, kanak-kanak berpakaian kusam, ibu tua menadah simpati, pemuda berkulit sawo matang dimamah mentari, kumpulan aristokrat berkereta mewah sentiasa menjadi panorama kehidupan. Rantau yang mampu mensandiwarakan segala skrip.

Di sini, aku terpaku sepi. Di sini aku semakin mengerti makna kehidupan. Makna keamanan. Makna kedamaian. Makna segala nilai murni yang hanya mampu dikecapi di negeri sendiri yang tercinta. Aku begitu kerdil dalam mengharungi alam manusia sebegini. Saban hari berita pembunuhan disulam konspirasi politik yang amat ngeri. Tiada ketentuan untuk meneroka masa depan. Dunia hanya untuk dikecapi hari ini. Esok ? Biar takdir menjadi neraca...

Jauh di rantau ini aku semakin mengerti makna kemerdekaan. Pengertian yang amat mendalam. Sedalam laut di Mariana Island.

Di sini, aku semakin rindu pada kampung halaman. Kampung yang tidak pernah mensajikan kehidupan hambar. Kampung yang permai lagi mendamaikan. Kampung yang semakin jauh aku tinggalkan. Kampung yang tidak tamak untuk turut bersaing mengejar kemewahan.....

Nun jauh di sini, aku semakin sayangkan negara tercinta. Negara yang perlu dipertahan. Negara yang ketandusan rintihan mangsa kezaliman. Justeru, buat teman-teman, genggamlah kemerdekaan ini. Jangan biarkan ia terlepas dari kita. Kelak, akan menadah tangan-tangan tua menagih simpati sesuap nasi.......


Salam rindu buat teman di Kg. Chinchin, Jasin, Melaka especially management of Kem Lambaian Danau, Tasik Tebat ( http://kemlambaiandanau.blogspot.com/)
- didiklah generasi muda agar menghargai erti kedamaian.

Image hosted by TinyPic.com

This is for my friend, Icam :)

Happy Blogging, dear fren !

-Ogy-