17 Mei 1998. Aku berada di Split mengadap Laut Adriatic yang memisahkan Croatia dengan Itali. Merupakan bandar kedua terbesar di Croatia selain Zagreb. Air Laut Adriatic yang kehitaman berterusan memukul beting berhampiran. Suhu agak dingin kerana baru sahaja berakhir musim sejuk. Musim bunga. Musim di mana akan kelihatan dedaun pokok mula bertunas. Bunga-bunga mula berkembang. Indah dan menarik pemandangan ketika ini. Aku memakai jaket kulit hitam yang kubeli di Plaza Angsana, Johor. Beg sandang yang hanya berisi dua tiga helai pakaian kualih ke bahu kiri. Agak selesa walaupun cuping telinga terasa beku. Kedua tanganku kemas disarung ke poket seluar. Sekurang-kurangnya dapat meredakan kesejukan yang agak keterlaluan. Suhu masih berdarjah 16 Celcius.
Hasrat ke Itali perlu kugagahi. Dua ekor camar putih berebut makanan di udara. Saling rampas merampas. Rakus. Dalam kemelut ini salah seekor pasti gagal. Hampa dalam persaingan.
Sebuah feri tertulis 'Adriatic Star' begitu megah berlabuh di jeti. Lebihkurang 50 meter dari tempat aku berdiri. Aku lantas menghampiri seorang lelaki pertengahan umur yang dari tadi asyik menghisap rokok. Beret berwarna biru agak senget di kepalanya. Beret yang sering menjadi pakaian tentera Perancis dalam filem 'Combat' lakonan Vic Morrow dan Ric Jason. Vic Morrow memegang watak Sarjan Saunders.
Kedut muka lelaki pertengahan umur tersebut amat jelas disulam janggut dan misai tidak terurus. Sedang duduk di bangku perhentian bas. Bas untuk ke Makarska dan Dubronik di Selatan Split. 'Dobro vecer gospodin, idem Italia ? Serentak itu jari telunjuk kanannya menuding ke feri 'Adriatic Star'. 'Da, da, da, da, da' bermaksud ya. Berapa banyak dia punya ya ni ? Bau rakiya (wain tempatan yang dibuat dari proses penapaian buah plum) semerbak dari mulutnya. Mabuk ke orang tua ni ? Kutoleh semula. Kali ini ia mengangguk pula entah berapa kali. Aku semakin berani untuk mengusiknya. 'Dobro ?' (bagus) sambil mengangkat ibu jari tangan kiriku. 'Da, da, da, da,da, da, dobienja ! (selamat jalan). Makin banyak dia punya ya . 'Huala liepo (terima kasih banyak) ucapku. 'Nei problema'. Masih terus menjawab dalam suara yang hampir tersedak asap rokok. Aku terlihat sebuah pondok menjual tiket bertulis 'Adriatic Star'. Perlahan kuhampiri. Seorang wanita sekitar 30 an sibuk menulis sesuatu. Rambut perang, hidung mancung. Bibirnya agak lebam dibalut lipstick merah. Merokok. Jeragat kehitaman banyak memenuhi kulit yang kemerahan. Cantik lagi wajah perempuan Melayu. Cantik lagi kulit orang Melayu. Dan cantik lagi wajah dan kulit isteriku.....
Sejumlah 200.00 Kuna (RM 140.00) untuk feri dari sini ke Ancona, sebuah bandar pelabuhan di Timur Itali. Feri akan bertolak pada jam 9.00 malam. Jam baru menunjukkan pukul 5.30 petang. Lama lagi. Dan aku terus mengikut langkah kaki menyusur tebing jeti. Kelihatan Pulau Brac dan Vis berbalam di tengah lautan. Bot-bot pelancungan begitu banyak untuk ke pulau tersebut. Samada menerusi Split, Makarska mahupun Dugi Rat. Aku memalingkan badanku mengadap bangunan yang kelihatan sejajar di Split. Indah seni binanya. Kukuh. Mencerminkan kemajuan arkitek Barat sejak zaman dahulu. Kutoleh semula ke lelaki tadi. Masih mengangguk kepala. Sebatang rokok masih panjang tersepit di bibirnya. Confirmed mabuk...
Secara spontan gambaran runtuhan bangunan di Sarajevo mengganggu pandangan. Hancur. Dipenuhi kerangka-kerangka konkrit. Seperti langit dengan bumi jika dibanding dengan keutuhan bangunan di sini. Tidak ada satupun kesan peluru.Tiada runtuhan. Walhal, kedua-duanya terlibat dalam konflik di Bosnia. Kedua-dua juga merupakan negara yang pernah bernaung di bawah bekas Yugoslavia. Kenapa? Begitu deras persoalan tersebut menembusi benakku. Dalam aku buntu mencari jawapan, terdengar dentingan loceng dari sebuah gereja Katholik berhampiran. Mungkin loceng penanda waktu. Kutoleh jam di tangan. Pukul 6.00 petang (kat Malaysia sudah pukul 1.00 tengah malam). Begitu agam gereja tersebut. Antara bangunan terbesar di Split. Kelihatan sebuah lagi di kirinya dalam jarak 200 meter. Namun agak kecil. Mungkin juga gereja Katholik. Masjid? Tiada masjid di sini. Dan masjid tidak akan mampu berdiri di sini. Begitu juga surau kecil. Kedua-duanya tidak akan berdaya menahan angin yang dibawa dari seberang Laut Adriatic. Mungkin tidak mampu buat masa terdekat ini. Esok ? Tidak pasti.......
Aku puas. Jawapan kucari seakan menjelma. Sekurang-kurangnya aku semakin mampu merungkai teka-teki. Serentak itu, ku paling wajah ke Laut Adriatic. Menghadap Itali. Mungkin juga menghadap Vatican City. Dan aku seakan dipaksa berdiri di rantau konflik ini......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment