Sunday, May 29, 2005

Di Lembayung Senja

Jam 7.30 petang. Hati digigit sayu. Sudah hampir setengah jam waktu Isyak di rantau konflik ini berlalu. Laungan azan memang berkemundang lima waktu. Saling bersahutan dari berpuluh masjid berhampiran. Masjid Al-Borhan. Tempat aku sembahyang Jumaat. Khutbahnya ? Berbahasa orang sini. Orang di rantau konflik ini. Aku hanya faham bila Khatib menyebut Allah, malaikat, akhirat, Rasulullah, Amerika, jihad, maut. Yang lain-lain aku pakai agak je makna ayat yang disampai. Untung sabut betul le agakanku itu. Tapi aku rasa tak ada satu pun yang betul...Sabut mungkin tak timbul di zaman ini !

Saudara seakidah tetap ada di mana-mana. Di saluran radio Melaka melalui internet terdengar suara azan menandakan waktu Maghrib. 'Marilah menuju kejayaan', 'marilah menuju kejayaan'....Selepas azan, gelaplah rantau konflik ini. Seperti malam sebelumnya. Juga akan dituruti malam selepasnya. Tetap kelam.....

Petang tadi aku chat dengan seorang teman sekolah rendahku. Teman yang merupakan isteri, ibu dan segalanya yang terbaik. Doaku, "Ya Malik ! Kau bahagiakanlah keluarga ini. Eratkanlah kasih sayang mereka. Selamatkanlah anak-anak mereka. Murahkan rezeki mereka. Bukakan pintu rezekiMu untuk mereka. Jauhilah segala bala dari menimpa mereka. Jadikan mereka terbaik dari hamba-hambaMu yang baik. Amin Ya RabbalAlamin". Terima kasih teman. Terima kasih Ogy. Terima kasih kerana mencetus kembali nostalgia hidupku. Kepada isteri, kau adalah yang terbaik. Banyak pengorbanan yang tak akan mampu aku balas. Terima kasih sayang.....Dan aku tetap berdiri di rantau konflik ini....

Jasin. 1971.
Pekan. Bandar yang bukan bandar. Aku dihumban ke pekan ini. Memulakan alam persekolahan rendahku di sekolah berbunyi penjajah. Aku menangis. Terasa jauh dari kampungku. Kampung Chinchin. Amat jauh. Baju emakku yang menghantar aku di hari pertama persekolahan kutarik erat. Seolah hari aku akan berpisah dengannya buat selama-lamanya. Maka bersekolahlah aku. Rambut gunting periuk. Tak tahulah hensem ke tidak fesyen rambut macam tu. Sekolah pagi. Lepas enam bulan sekolah petang...Cikgu pertamaku Cikgu Puan Maimunah. Setelah aku dewasa baru kukenal bahawa suaminya bernama pena Ajikik, penulis hebat. Terima kasih Cikgu kerana mendidik saya. Tukang Kebun ? Letchumanan. Garang mengalahkan Guru Besar. Asyik marah budak pungut buah pine kat tepi padang. "Banyak sampah", gerutunya. Sampah apa pulak ? Padahal kitaorang pungut buah pine tu simpan dalam beg sekolah. Kan pungut sampah namanya tu. Takut ? Memang takut pasal masa darjah satu semua yang kerja kat sekolah dianggap cikgu. Boleh rotan...Bukan mandi sungai je kena rotan. Pungut buah pinepun kena rotan. Dalam beg ? Penuh gambar tepuk dengan getah geret. Ada lastik. Standby kalau ada yang mencabar untuk main. Persiapan kalau ada anak burung baru bertatih terbang. Seperti di rantau konflik ini. Di Mindanao. Di Filipina. Pantang dicabar. Maka akan menangislah ibu di rumah. Akan meraunglah isteri ditinggal. Anak kecil tetap menangis meminta susu.....Dan Jasin terus mengajar aku meniti dewasa.

Di rantau konflik ini, malam semakin sepi. Sesepi lamunan persekolahanku. Luna Street di hadapan rumahku masih gagah membentangkan diri. Sampai bila ? Dan aku tetap berdiri di rantau konflik ini.......


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pukul 5.02 ptg. Langit agak mendung di rantau konflik ini. Tanda hujan akan turun. Gelap. Angin agak sejuk kurasa. Nyaman. Terasa segar. Di luar, penarik-penarik beca (beca kat sini dipanggil trisikat) memperlajukan kayuh. Berseluar pendek dengan baju banyak rabaknya. Teringat cerita Penarik Beca. P. Ramlee memegang watak Amran. Terkenang ibu tua Amran yang mendiami teratak usang. Dan serentak itu aku terbayang wajah arwah emak.......

Hujan petanda rahmat. Kalau kat kampung, rahmat ini akan berterusan mengairi sawah. Sawah tidak seluas mana yang turut menjadi penyambung hidup semasa di kampung. Terlalu indah ketika itu. Padi Malinja, Ria, Mahsuri yang ditanam dua kali setahun terbuai-buai mengikut rentak angin. Burung tempua, pipit, merbah sentiasa meniti di tangkai padi. Ruak-ruak dan pucung tidak pernah ketandusan rezeki.

Aku gagahi untuk meredah sawah tersebut pada kesempatan balik kampung sekitar bulan Januari 2005 yang lepas. Pokok leban sebesar peha, rumbia, senduduk, mempelas, menerung dengan rakus telah merampas keharmoniannya. Hutan...! Aku tergamam. Mana sarang tempua ? Mana ? Aku lantas menyusuri Sungai Chinchin yang semakin laju arusnya. Sepi. Tiada kocakan garang haruan, tiada terkaman burung raja udang di gigi air. Kosong. Hampa. Dan tebingnya terus dicabul senduduk liar...Berbaloikah titik peluh nenek moyangku untuk meneroka kampung ini ? Berbaloikah beliung dihayun untuk merobohkan pohon-pohon balak yang pernah tumbuh di sini ? Berbaloikah air mata mereka? Air Sungai Chinchin tetap mengalir laju....

Di rantau konflik ini, rintik hujan sudah mula menitis. Rahmat ? Mereka tidak akan mensyukuri rahmat. Hujan akan membataskan langkah mereka untuk terus menggenggam rezeki. Dan aku ? Akan tetap mensyukuri rahmat yang bakal berkunjung sebentar lagi.

1 comment:

Kem Lambaian Danau said...

Padang kita dulu dah tak de dah. Dia orang dah buat bangunan baru kat situ.

Ingat Pak Haji Husin Kantin ? Huh, i nyaris jadik menantu dia, hehe. Bukan anak dia Benjamin tuh, yg abang dia tuh :)

Dulu kantin murah giler, kan ? Mee 15 sen /20 sen jer. Kuih baru 10 sen. Kantin pun dah berubah tempat. Bila i gi ambik anak kat sekolah, teringat balik zaman kanak-kanak ribena dulu.

Bicycle shed kat sebelah kantin, tempat kita main gayut-gayut. Ada lagi tuh, dan masih jadik tempat gayut-gayut budak-budak tunggu bas. Eh, u dulu naik bas Pating kan ? Bas Atok, bas Abang ...

Rumah Mr.Ganesan-garang-nak-mampos-tuh pun dah tak der. Rumah Letchumanan pun dah takde. Rumah Pakcik Ramli pendek pun tak de jugak. Semua dah buat bangunan baru dah.

Building masa kita darjah 5/6 pun dah tak pakai lagi. Dia orang dah pindah ke bangunan baru.

Library pun pindah tempat baru juga.

Bila u balik nanti, pi la tengok.

I, selalu jer ke sekolah. Ambik my anak-anak. Sambil tu, dok terkenang-kenang kawan-kawan lama.

Kita buat reunion nanti, nak ? hehe .. semua dah out of shape .. boroi, dah beruban ( i pakai tudung, leh cover .. hehe) , dah tua !

Boleh la kenal-kenal dengan spouse masing-masing.

Huh, panjangnyer komen !