Wednesday, September 05, 2007

Jaga Di Bosnia

Pejabat aku di Banja Luka terletak dalam compound sebuah kilang kasut yang telah bankrap. Bagaimanapun, pihak pengurusan masih menempatkan seorang 'jaga' (Pengawal Keselamatan) di pintu masuk kilang tersebut. Banyak lagi mesin-mesin dan barang-barang berharga termasuk kasut-kasut yang telah siap masih ditempatkan di dalamnya.

As a nature of my duty, aku sekali sekala akan bertugas malam iaitu dari 10 malam hingga 8 pagi keesokan harinya. Tugas tersebut dilakukan seorang diri. Ini risiko yang perlu dihadapi. Bertugas waktu malam seorang diri di kawasan konflik. Nasib baik ada jaga di pintu masuk. Jadi taklah kesunyian dan menakutkan.....

Menjadi masalahnya ialah jaga tersebut hampir setiap kali bertugas dalam keadaan mabuk. Mulut sentiasa berbau 'rakiya' - sejenis local wine yang diperbuat dari pemeraman buah plum. Namun, untuk menghilangkan kesunyian, hanya dialah teman aku setiap kali bertugas. Memang masalah. Setiap kali berbual dengannya menggunakan bahasa Bosnia yang mudah, dia akan mula bercakap laju. Macam novel. Manalah aku faham. Terpaksalah mengangguk. Kalau dia tanya aku benci dia atau kutuk diapun aku akan mengangguk. Terlalu pekat. Macam Orang Hulu. Tambahan pulak dia mabuk. Lagi pening. Cakap sikit ketawa. Sikit-sikit ketawa....


Suatu malam tu aku berbual dengannya dan bertanyakan ada hantu atau tidak di Bosnia. Akupun tak tahu apa perkataan hantu dalam bahasa di sini. Cuma aku membuat ekspresi taring(menggunakan 2 jari yang aku rapatkan kat gigi depan). Lepas tu aku mula mengembang-ngembangkan tangan seolah-olah hantu sedang terbang. "Neima nista" (tak ada), jawab 'jaga' tersebut sambil ketawa terbahak-bahak. Maklum lah orang mabuk. Kepala tengah 'sedap'...
Ini bermaksud tak ada langsung hantu di Bosnia. Cuma orang dia jer yang jadi hantu.

Jawapan penuh yakin 'jaga' tersebut telah mencetus satu idea. Perlahan-lahan aku meninggalkannya. Sesampainya di pintu pejabat, aku tidak terus masuk tetapi menuju ke bahagian belakang sebuah bangunan yang berhampiran pondok 'jaga' tersebut. Kawasan tu memang gelap dan terdapat banyak pokok 'weepping widow' dengan dahannya berjuntai ke bawah. Agak seram juga sekitarannya. Berbekalkan jaket winter, aku menyelubung kepala dan berjalan perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok 'weepping widow' tersebut. Niat aku hanya untuk bergurau kerana agak bosan bila bertugas malam. Dengan membelakangkan 'jaga' tersebut, aku menggegar dahan pokok 'weepping widow' sehingga terdengar desirnya ke telinga 'jaga' tersebut. Serentak itu aku mendengar 'jaga' tersebut dalam nada cemas memanggil aku. "Gospodem, gospodem" (mr.). Memang dia menjangka aku berada di dalam pejabat. Tidak lama lepas tu, aku terdengar basikal dikayuh secara tergesa-gesa sehingga melanggar grill pagar kilang tersebut. Bila aku menoleh, hanya kelibat 'jaga' tersebut sedang mengayuh basikal dengan laju meninggalkan kawasan kilang. Terus hilang dalam kegelapan.

Aku pulak yang diamuk seram. Keseorangan dalam kawasan kilang tersebut. Timbul rasa penyesalan yang amat sangat. Jangkaan aku, 'jaga' tu tak akan lari. Cuma mungkin terkencing je dalam pondoknya. Lepas tu aku akan ketawakan dia sebagaimana dia ketawa sepanjang masa semasa bertugas. Rupa-rupanya tanggapan aku meleset. Dia terus cabut. Tak tahulah dia cabut kerana takut atau atas sebab lain. Tapi yang jelas, dia telah lari dari tanggungjawab dan tugasnya. Meninggalkan kilang tersebut tanpa jaga.

Aku terus memanjangkan langkah meninggalkan kawasan pokok 'weepping widow' dan terus masuk ke pejabat. Kunci pintu. Tidur dalam 'sleepping bag'. Seram juga aku dibuatnya. Bagaimanapun, sehingga pagi tiada apa-apa yang berlaku. Tiada 'dracula' yang muncul. Ialah, kat Eropah mana ada hantu pocong, jerangkung, hantu raya dan sebagainya. Hanya itulah sekor. Iaitu dracula. Bosnia kan dekat dengan Transalvania, Romania. 'Home town' dracula.

Dari apa yang aku ketahui, 'jaga' tersebut 3 hari tak datang kerja. Mungkin demam. Aku akan mencungkil apa puncanya apabila aku bertugas malam kelak.....

Tuesday, September 04, 2007

Winter Di Bosnia

Terlalu azab untuk mengharungi musim salji di Bosnia. Memeritkan. Amat sejuk. Kulit habis menggelupas serta amat mudah mendapat selsema jika terlalu lama berada di luar rumah. Selsema pulak begitu lambat untuk sembuh. Bukan macam di tempat kita. Telan 2 biji panadol dengan air suam, selubung dalam selimut tebal. Lepas 1 jam kebah sikit. Di Bosnia, tuk nenek moyang panadaol pun tak jalan. Sebab itu, selsema adalah penyakit yang amat merbahaya di negara yang ada 4 musim. Dalam kebanyakan kes, perlu dimasukkan ke wad hospital.

Seperkara lagi, adalah amat merbahaya sekiranya berjalan di cucur bumbung sekitar bandar semasa musim salji tebal. Langkah sebaiknya ialah berjalan di kaki lima kedai (bawah bumbung). Satu peristiwa pernah berlaku kepada aku bilamana semasa aku berjalan di cucur bumbung kedai di Sarajevo, seketul salji beku sebesar lesung jatuh dari bumbung tersebut. Bunyinya amat kuat menghempas jalan. Aku baru je 2 langkah melalui kawasan terjatuhnya salji tersebut. Tak tahulah apa akan jadi jika ia menghempap kepala. Lebih parah dari dihempap 3 biji buah kelapa agaknya kerana salji beku tersebut mampat dan berat.

Atas faktor inilah kebanyakan bumbung rumah masyarakat di Bosnia amat curam selain tidak banyak anjung. Ini bagi mengelakkan salji membeku di atas bumbung yang mana kesannya boleh meruntuhkan bumbung tersebut. Dalam situasi konflik dan sukar ditambah pendapatan yang tidak seberapa, sekeping atap genting di sini seumpama harga seekor lembu jantan yang hendak disembelih untuk kenduri kahwin. Mahal.

Cuma yang murah ialah nyawa masyarakat Islam yang semakin pupus di bumi Balkan......

Sunday, September 02, 2007

Siti Temar Bersalin Anak Jantan



Ini bukan anak Siti Temar tapi anak kepada Internally Displaced Person (IDP's)


Baru sebentar tadi aku terima sms dari Tony,bekas staf aku di Cotabato City, Mindanao. Tony adalah staf yang aku amanahkan untuk membela anak kambing yang ibunya mati kena langgar masa aku meronda kawasan kampung pada tahun 2005 dulu. Anak kambing tu aku namakan Siti Temar. Pasal apa nama tu ? Pertama, kambing tu betina. Jadi eloklah namakan Siti. Takkan Abu atau Abdul pulak. Kedua, insiden menyayat hati di mana 'Siti Temar' menyaksikan dengan matanya sendiri ibunya dilanggar kenderaan aku berlaku di Barangay Temar (kampung Temar). Lama juga 'Siti Temar' trauma. Asyik termenung bila aku bawak balik ke rumah setelah pampasan dibayar kepada pemilik kambing tersebut. Lama juga Tony terpaksa menggunakan pendekatan psikologi untuk memulihkan trauma 'Siti Temar'. Minum menggunakan puting susu yang disumbat ke botol coca-cola. Minum susu Anlene.


Sms tersebut : "Sir, just to inform u. Siti Temar gave birth yesterday. Male."

Dah jadi Atuk rupanya Tony. Dan cepat juga 'Siti Temar' dipinang kambing. Beranak pulak pada 31 Ogos 2007. Hari merdeka. Harapan aku agar 'Siti Temar' akan menjadi ibu yang baik. Bertanggungjawab. Semuga ia cepat membiak seterusnya membantu ekonomi Tony.

Kambing ada harga dan mendapat pasaran luas di Mindanao. Walaupun badan dia berbau....

Saturday, September 01, 2007

Merdeka Di Banja Luka

Tidak ada erti kemerdekaan di Bosnia, di Banja Luka, di Prnjavor. Apa yang menjadi matlamat dan perjuangan masyarakat di sini ialah untuk memerdekakan diri dari belenggu kesempitan hidup. Untuk berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di negara yang merdeka. Impian mereka menggunung tinggi. Namun, dalam sebuah negara di mana bangsa asing yang mencorakkan struktur politik, ekonomi dan sosialnya, ia seakan mustahil direalitikan. Lantas, masyarakat di sini seolah pengemis. Mengemis mengharapkan bangsa lain agar membela nasib mereka. Membantu mereka. Menyuapkan sepotong 'french bread' ke mulut mereka. Membantu segalanya. Membantu bertatih untuk berjalan.

Justeru, hayatilah nilai kemerdekaan. Ia bukan mudah dicapai. Dan ia akan semakin susah dan perit diperolehi kembali sekiranya hilang setelah mencapainya. Ini yang berlaku di Bosnia. Di Banja Luka. Di rantau konflik ini. Tak pasti bila ia akan diperolehi kembali.

Rakyatnya saban hari semakin menderita.......