Wednesday, September 05, 2007

Jaga Di Bosnia

Pejabat aku di Banja Luka terletak dalam compound sebuah kilang kasut yang telah bankrap. Bagaimanapun, pihak pengurusan masih menempatkan seorang 'jaga' (Pengawal Keselamatan) di pintu masuk kilang tersebut. Banyak lagi mesin-mesin dan barang-barang berharga termasuk kasut-kasut yang telah siap masih ditempatkan di dalamnya.

As a nature of my duty, aku sekali sekala akan bertugas malam iaitu dari 10 malam hingga 8 pagi keesokan harinya. Tugas tersebut dilakukan seorang diri. Ini risiko yang perlu dihadapi. Bertugas waktu malam seorang diri di kawasan konflik. Nasib baik ada jaga di pintu masuk. Jadi taklah kesunyian dan menakutkan.....

Menjadi masalahnya ialah jaga tersebut hampir setiap kali bertugas dalam keadaan mabuk. Mulut sentiasa berbau 'rakiya' - sejenis local wine yang diperbuat dari pemeraman buah plum. Namun, untuk menghilangkan kesunyian, hanya dialah teman aku setiap kali bertugas. Memang masalah. Setiap kali berbual dengannya menggunakan bahasa Bosnia yang mudah, dia akan mula bercakap laju. Macam novel. Manalah aku faham. Terpaksalah mengangguk. Kalau dia tanya aku benci dia atau kutuk diapun aku akan mengangguk. Terlalu pekat. Macam Orang Hulu. Tambahan pulak dia mabuk. Lagi pening. Cakap sikit ketawa. Sikit-sikit ketawa....


Suatu malam tu aku berbual dengannya dan bertanyakan ada hantu atau tidak di Bosnia. Akupun tak tahu apa perkataan hantu dalam bahasa di sini. Cuma aku membuat ekspresi taring(menggunakan 2 jari yang aku rapatkan kat gigi depan). Lepas tu aku mula mengembang-ngembangkan tangan seolah-olah hantu sedang terbang. "Neima nista" (tak ada), jawab 'jaga' tersebut sambil ketawa terbahak-bahak. Maklum lah orang mabuk. Kepala tengah 'sedap'...
Ini bermaksud tak ada langsung hantu di Bosnia. Cuma orang dia jer yang jadi hantu.

Jawapan penuh yakin 'jaga' tersebut telah mencetus satu idea. Perlahan-lahan aku meninggalkannya. Sesampainya di pintu pejabat, aku tidak terus masuk tetapi menuju ke bahagian belakang sebuah bangunan yang berhampiran pondok 'jaga' tersebut. Kawasan tu memang gelap dan terdapat banyak pokok 'weepping widow' dengan dahannya berjuntai ke bawah. Agak seram juga sekitarannya. Berbekalkan jaket winter, aku menyelubung kepala dan berjalan perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok 'weepping widow' tersebut. Niat aku hanya untuk bergurau kerana agak bosan bila bertugas malam. Dengan membelakangkan 'jaga' tersebut, aku menggegar dahan pokok 'weepping widow' sehingga terdengar desirnya ke telinga 'jaga' tersebut. Serentak itu aku mendengar 'jaga' tersebut dalam nada cemas memanggil aku. "Gospodem, gospodem" (mr.). Memang dia menjangka aku berada di dalam pejabat. Tidak lama lepas tu, aku terdengar basikal dikayuh secara tergesa-gesa sehingga melanggar grill pagar kilang tersebut. Bila aku menoleh, hanya kelibat 'jaga' tersebut sedang mengayuh basikal dengan laju meninggalkan kawasan kilang. Terus hilang dalam kegelapan.

Aku pulak yang diamuk seram. Keseorangan dalam kawasan kilang tersebut. Timbul rasa penyesalan yang amat sangat. Jangkaan aku, 'jaga' tu tak akan lari. Cuma mungkin terkencing je dalam pondoknya. Lepas tu aku akan ketawakan dia sebagaimana dia ketawa sepanjang masa semasa bertugas. Rupa-rupanya tanggapan aku meleset. Dia terus cabut. Tak tahulah dia cabut kerana takut atau atas sebab lain. Tapi yang jelas, dia telah lari dari tanggungjawab dan tugasnya. Meninggalkan kilang tersebut tanpa jaga.

Aku terus memanjangkan langkah meninggalkan kawasan pokok 'weepping widow' dan terus masuk ke pejabat. Kunci pintu. Tidur dalam 'sleepping bag'. Seram juga aku dibuatnya. Bagaimanapun, sehingga pagi tiada apa-apa yang berlaku. Tiada 'dracula' yang muncul. Ialah, kat Eropah mana ada hantu pocong, jerangkung, hantu raya dan sebagainya. Hanya itulah sekor. Iaitu dracula. Bosnia kan dekat dengan Transalvania, Romania. 'Home town' dracula.

Dari apa yang aku ketahui, 'jaga' tersebut 3 hari tak datang kerja. Mungkin demam. Aku akan mencungkil apa puncanya apabila aku bertugas malam kelak.....

No comments: