Friday, March 31, 2006

Balkan - I

Selama setahun aku menetap di sebuah bandar kecil bernama Prnjavor dalam daerah Banja Luka, Bosnia Herzegovina. Daerah Banja Luka dihuni oleh bangsa Serb dan amat sukar untuk menemui masyarakat Islam. Sementelahan aku seorang saja Melayu kat situ. Selama hampir setahun juga aku tidak berkesempatan sembahyang Jumaat. Darurat. Seingat aku cuma 3 kali aku berpeluang bersembahyang Jumaat. Itupun semasa kunjungan aku ke Sarajevo (hampir 4 jam perjalanan dari Prnjavor).


Di Prnjavor, aku menyewa sebuah rumah (fully furnished) dengan kadar Deutche Mark (DM) 500 (RM 1100) sebulan. Masak sendiri. Bagaimanapun, sewa tersebut termasuk dobi dan membasuh pinggan mangkuk yang dilakukan oleh Land Lady aku (seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Prnjavor), berambut blonde, berumur sekitar 40 an, heavy smoker. Sebenarnya, rumah land lady tersebut adalah 3 tingkat. Jadi, ground floor disewakan kepada aku. Beliau serta suami dan seorang anak lelaki berumur sekitar 16 tahun tinggal di tingkat 2 dan 3. Pintu untuk masuk ke rumah aku dibuat berasingan. So, kalau land lady nak masuk ke rumah aku, dia perlu keluar dari tingkat 2 dan turun ke ground floor.


Sebagai guru, land lady tersebut hanya berpendapatan sebanyak DM 90 (RM 200) sebulan. Dengan menyewakan rumahnya, beliau dianggap antara yang mewah di lorong kawasan perumahan tersebut.

Ethnic Cleansing....

Jeneral Radko Mladic - Ketua Tentera Serb
Radovan Karadzic - Pemimpin Serb Di Bosnia Herzegovina








Sehari suntuk operasi tersebut. Namun, Radovan Karadzic gagal dikesan. Dan sepanjang operasi tersebut, nyawa aku sentiasa diancam masyarakat setempat. Bagi mengelak sebarang kejadian yang mungkin mengancam nyawa aku, aku sentiasa mengarahkan dua orang anggota tentera Perancis mengawal aku. Seperkara, anggota tantera Italy dan Perancis amat berdisiplin dan sentiasa memanggil aku "Sir". Bukan senang orang Melayu nak mengetuai orang putih. Ini sedikit sebanyak membanggakan aku. Dan mereka aku gunakan sepenuhnya. Pantang diarah. Mereka akan patuh tanpa banyak soal. Tak tahu pulak aku kalau setiap arahan aku tu mereka patuhi disebabkan mereka tak fasih berbahasa Inggeris. Ialah, kalau nak tanya aku balik mungkin memakan masa untuk memikirkan perkataan bahasa Inggeris. Jalan terbaik mengangguk sahaja dan terjah membuta tuli setiap bangunan. Mereka juga amat takut kepada arahan aku kerana selepas operasi tersebut aku dipertanggungjawabkan untuk menulis laporan penuh kepada Pemerintah Tentera United Nations di Bosnia. Justeru, sebarang tingkah laku dan rentak disiplin mereka turut kumuatkan ke dalam laporan tersebut.



Wednesday, March 29, 2006

Berita Duka





Kita saban hari disuap dengan pelbagai berita keganasan. Samada dunia semakin kejam ataupun kita yang semakin kejam di dunia ini. Itu perlukan satu jawapan yang begitu subjektif. Dalam setiap langkahan kakiku di beberapa rantau konflik, apa yang menjadi santapan mataku ialah darah dan air mata. Terlalu sedikit wajah-wajah suka ceria yang diukir senyuman. Samada di Bosnia, Mindanao, Acheh mahupun di Selatan Thailand, semuanya menyimpan seribu cerita duka. Lantaran, di celah-celah mereka muncul watak-watak pembela yang turut berjuang atas landasan keganasan. Kekejaman. Tanpa mengira mangsa selagi berpegang kepada prinsip perjuangan yang pada tanggapan mereka tetap betul tidak kira apa implikasinya. Ini yang menyedihkan. Keadaan inilah yang terus menerus mencetus konflik. Keadaan inilah yang mencorakkan halatuju dunia masa kini. Dan aku hanya segelintir manusia yang semakin lali dengan permasalahan ini. Manusia kerdil yang tersepit di rantau konflik.....

Monday, March 27, 2006

Mereka Cintakan Keamanan
















Inikah Yang Kita Inginkan ?

Masyarakat Bangsamoro amat dikenali sebagai bangsa yang sentiasa berperang dan tidak akan sekali-kali takut untuk berperang. Bermula sejak era penjajahan Sepanyol 500 tahun dahulu. Ferdinand Magellan, orang yang menjumpai Filipina telah dibunuh oleh Lapu-Lapu, pahlawan Moro bertempat di Pulau Cebu. Sejak itu bangsa ini terus dibelenggu peperangan yang antara matlamatnya ialah membebaskan tanahair mereka. Keadaan masih berterusan hingga kini. Cuma rentak dan halatuju perjuangan agak berbeza dari zaman Sepanyol. Namun, kesannya tetap sama. Meninggalkan bangsa ini ketinggalan dari kelompok bangsa-bangsa lain di dunia. Malahan, temponya semakin kejam, semakin ganas. Nyawa sendiri dijadikan taruhan. Dan inilah yang terus menerus dihadapi dunia. Dan inilah juga yang segelintir masyarakat kita inginkan.

Friday, March 24, 2006

Kem Salman Al Farisi Bhg. 2

Di Kem Salman Al Farisi terdapat sekitar 100 orang pejuang Bangsomoro / Moro Islamic Liberation Front (MILF) lengkap bersenjata. Senjatapi berat jenis M 16, M 40 Grenade Launcher, Garrand, AK 47, SLR, Rocket Propelled Grenade launcher (RPG) serta pistol-pistol jenis Colt .45, Browning, Llama dan Barretta. Sejak awal mereka ini sentiasa mengawal keselamatan aku. Dengan beruniform hijau tidak terurus mereka kelihatan seakan-akan gerila komunis di era negara kita masih dibelenggu kemelut pengganasan dan penyusupan ideologi Marxist-Leninist serta Maoisme. Aku agak bimbang. Mana tahu para pejuang tersebut bertukar selera dan ingin menembak rakyat Malaysia. Selama ini mereka bangga menumpahkan darah anggota Angkatan Tentera Filipina. Bagi mengelakkan ini dari berlaku, aku seboleh mungkin berada hampir dengan Komander kem tersebut. Kalau apa-apa berlaku aku boleh menjadikan Komander tersebut sebagai perlindungan mahupun tebusan....

Namun, berbekalkan keyakinan bahawa para pejuang ini amat menghormati aku, setiap kem tersebut dijelajahi. Setiap langkah aku diiringi oleh ucapan salam dari mereka. Lantas aku dipeluk. Senjatapi yang disandang mereka kerap tersepit di dada kami setiap kali berpelukan. Terlalu bahaya. Tiada langsung langkah keselamatan yang diambil mereka bagi mengelak senjata tersebut meletup secara tidak sengaja. Maklumlah mereka ini orang biasa. Civilians. Tidak pernah mendapat latihan asas pengendalian senjatapi. Mereka memikulnya pun atas dasar inginkan kemerdekaan dan penubuhan negara Islam di Selatan Filipina. Impian yang tidak mungkin tercapai. Malah, perjuangan ini semakin menghimpit mereka. Meninggalkan generasi mereka tertinggal jauh tanpa pelajaran dan sandaran ekonomi yang kukuh.

Ini pegangan mereka. Matlamat mereka. Sebagai tetamu, aku tidak akan menyentuh ideologi perjuangan mereka. Tujuan aku hanya untuk meninjau kehidupan mereka. Membantu mereka ke arah meningkatkan kefahaman untuk mengejar kehidupan berekonomi yang lebih terjamin.

Monday, March 20, 2006

Kem Salman Al Farisi

Pertama kali aku menjejakkan kaki ke kem pejuang Bangsamoro ialah sekitar bulan Mac 2004. Sebuah perkampungan pesisir pantai terletak di Tarragona, Davao, Pulau Mindanao. Kem Salman Al Farisi.

Sebanyak hampir 50 keluarga mendiami kawasan tersebut yang berlatarbelakangkan banjaran gunung. Dikelilingi hutan tebal. Kedatanganku disambut dengan linangan air mata terutama wanita-wanita tua pertengahan umur. Hampir kesemua mereka memelukku dengan erat. Meraikan ketibaan julung kali pelawat dari Malaysia. Pelukan saudara seIslam.

Di sini, di rantau konflik ini perkampungan masyarakat Islam kebanyakannya dijadikan kem untuk berjuang menentang pengaruh Manila. Kem-kem tersebut dilingkungi kawasan kampung. Justeru, setiap kali pihak tentera hendak melakukan serangan, mereka perlu melalui beberapa buah rumah kampung. Di kala inilah sering berlaku serang hendap. Ramai tentera terkorban. Namun, kesan paling teruk ialah orang kampung. Masyarakat tua dan kanak-kanak. Mereka turut dibunuh oleh tentera tanpa belas kasihan.

Maka, tidak hairanlah kenapa kedatanganku disambut dengan tangisan. Mereka bangga. Mereka terasa kewujudan di dunia ini semakin dihargai. Tambahan pulak aku dari Malaysia. Negara yang mereka anggap tidak akan membiarkan nasib Bangsamoro hanyut bersama ketentuan masing-masing.

Memang aku terasa amat sayu tatkala berada di kem ini. Kesusahan hidup tidak mengecualikan mereka untuk meraikan aku. Ikan haruan bakar, ayam kampung bakar (aku allergic nak makan terutama ikan haruan bakar), kuih bahulu, kuih cakar ayam (serupa dengan di Malaysia), air teh O dihidangkan. Terasa berat tekakku hendak menelan kerana mengenangkan susah payah mereka menyediakan santapan yang merupakan makanan mewah di kawasan tersebut. Demi mengambil hati, kukunyah perlahan-lahan kuih bahulu.

Dan ketika aku menghirup secawan teh O, kulihat sekumpulan kanak-kanak tidak berbaju menceduk air perigi. Minum bergilir-gilir dari timba yang diperbuat dari upeh pinang. Aku tergamam. Serentak itu cawan di tangan kuletak semula di meja yang diperbuat dari belahan pokok bakau. Aku tak mampu meneruskan hirupan. Biar aku turut haus bersama para pejuang di sini......

Friday, March 10, 2006

Konflik Diri

Minggu depan aku tidak akan berada di ofis. Will be somewhere di bumi Malaysia yang luas ini. Tugas. Mungkin lepas tu cuti 2 hari. Akan berkesempatan untuk balik kampung. Menziarah pusara kedua orang tua aku. Kemudian akan diikuti ke Malaysia Timur sebelum ke Mindanao lagi.

Aku letih. Tapi keletihan yang berbaloi. Sekurang-kurangnya rantau konflik tersebut tidak akan terlalu lama kutinggalkan. Harapanku, agar perdamaian akan tercapai penghujung tahun ini. Itulah acuannya. Dan kemungkinan hasil kerjatangan tidak mengikut acuan tetap ada. Itu yang kukhuatirkan. Itu yang kubimbangkan. Kelak akan mengalir deras darah-darah merah di Masjid Al Borhan yang amat kukuh dalam jiwaku....

Debu Cotabato

Hanya sebulan selepas tamat tugas di Mindanao, aku ke sana semula. Hotel Estosan Garden, Cotabato City yang kusewa untuk 2 malam semakin berhabuk dan berdebu. Semakin murung. Aku tidak pasti debu yang senang dikesan itu berpunca dari usaha pembangunan atau dari daki-daki pemimpin yang korup. Bagaimanapun, ia tetap menjadi "the best hotel in town".

Aku tidak terasa asing untuk kembali semula di rantau konflik tersebut. Kebolehan sedikit untuk bertutur bahasa Tagalog aku gunakan sepenuhnya. Setakat satu dua ayat tu aku boleh memahaminya. Masalahnya, terlalu ramai orang di sini yang peramah. Sementelahan dia tahu aku orang Malaysia. Cakap cukup panjang. Langsung tak faham kerana berselang dengan dialek suku masing-masing seperti Maguindanao, Maranao dan Suluk. Aku hentam mengangguk aja. Kalau dia tohmah aku kacau anak dara diaorang pun aku akan mengangguk juga. Pasal tak faham. Dan aku harap tohmahan sedemikian tidak timbul. Dan sepatutnya tidak akan timbul...

Pengakhir perbualan terlontar kata-kata "walang pera", "maraming problema" - tak ada duit , terlalu banyak masalah. Dan aku terperangkap dalam simpati kepada mereka dan simpati kepada diri aku kerana kemungkinan akan ditipu....

Thursday, March 09, 2006

Aku Tua Dalam Perantauan

Tamat misi aku di Mindanao memang aku tak berapa kejap duduk di ofis. Ada saja assignment yang perlu diselesaikan. Dan sejak itu juga aku dah 4 kali berulang alik ke Manila dan juga Mindanao. Kemungkinan pada 23 Mac ini aku ke rantau konflik tersebut lagi. Tapi tak lama. Sekadar 3 malam.

Dalam kunjungan aku sebelum ini, keadaan masih tidak berubah. Masjid di Cotabato City yang saban Jumaat kukunjungi tetap muram. Permaidani merahnya pusam. Semerah dan sekelam darah masyarakat sini yang pernah mengalir ekoran konflik yang tak kunjung padam.

Staff aku menangis tatkala aku mengunjunginya. Aku dipeluknya erat. Anak kambing yang kuberi nama Siti Tamar sudah semakin besar. Kalau gadis mungkin dah boleh duduk atas loteng bila anak teruna mengunjungi rumah......

Sebenarnya, terlalu banyak yang ingin kuloretkan di sini. Tetapi buat sementara ini aku mulakan dengan entry yang serba ringkas. Serba kurang.

Apa yang tak kurang ialah 'aku semakin tua di dalam perantauan'.