Pertama kali aku menjejakkan kaki ke kem pejuang Bangsamoro ialah sekitar bulan Mac 2004. Sebuah perkampungan pesisir pantai terletak di Tarragona, Davao, Pulau Mindanao. Kem Salman Al Farisi.
Sebanyak hampir 50 keluarga mendiami kawasan tersebut yang berlatarbelakangkan banjaran gunung. Dikelilingi hutan tebal. Kedatanganku disambut dengan linangan air mata terutama wanita-wanita tua pertengahan umur. Hampir kesemua mereka memelukku dengan erat. Meraikan ketibaan julung kali pelawat dari Malaysia. Pelukan saudara seIslam.
Di sini, di rantau konflik ini perkampungan masyarakat Islam kebanyakannya dijadikan kem untuk berjuang menentang pengaruh Manila. Kem-kem tersebut dilingkungi kawasan kampung. Justeru, setiap kali pihak tentera hendak melakukan serangan, mereka perlu melalui beberapa buah rumah kampung. Di kala inilah sering berlaku serang hendap. Ramai tentera terkorban. Namun, kesan paling teruk ialah orang kampung. Masyarakat tua dan kanak-kanak. Mereka turut dibunuh oleh tentera tanpa belas kasihan.
Maka, tidak hairanlah kenapa kedatanganku disambut dengan tangisan. Mereka bangga. Mereka terasa kewujudan di dunia ini semakin dihargai. Tambahan pulak aku dari Malaysia. Negara yang mereka anggap tidak akan membiarkan nasib Bangsamoro hanyut bersama ketentuan masing-masing.
Memang aku terasa amat sayu tatkala berada di kem ini. Kesusahan hidup tidak mengecualikan mereka untuk meraikan aku. Ikan haruan bakar, ayam kampung bakar (aku allergic nak makan terutama ikan haruan bakar), kuih bahulu, kuih cakar ayam (serupa dengan di Malaysia), air teh O dihidangkan. Terasa berat tekakku hendak menelan kerana mengenangkan susah payah mereka menyediakan santapan yang merupakan makanan mewah di kawasan tersebut. Demi mengambil hati, kukunyah perlahan-lahan kuih bahulu.
Dan ketika aku menghirup secawan teh O, kulihat sekumpulan kanak-kanak tidak berbaju menceduk air perigi. Minum bergilir-gilir dari timba yang diperbuat dari upeh pinang. Aku tergamam. Serentak itu cawan di tangan kuletak semula di meja yang diperbuat dari belahan pokok bakau. Aku tak mampu meneruskan hirupan. Biar aku turut haus bersama para pejuang di sini......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment