Di Kem Salman Al Farisi terdapat sekitar 100 orang pejuang Bangsomoro / Moro Islamic Liberation Front (MILF) lengkap bersenjata. Senjatapi berat jenis M 16, M 40 Grenade Launcher, Garrand, AK 47, SLR, Rocket Propelled Grenade launcher (RPG) serta pistol-pistol jenis Colt .45, Browning, Llama dan Barretta. Sejak awal mereka ini sentiasa mengawal keselamatan aku. Dengan beruniform hijau tidak terurus mereka kelihatan seakan-akan gerila komunis di era negara kita masih dibelenggu kemelut pengganasan dan penyusupan ideologi Marxist-Leninist serta Maoisme. Aku agak bimbang. Mana tahu para pejuang tersebut bertukar selera dan ingin menembak rakyat Malaysia. Selama ini mereka bangga menumpahkan darah anggota Angkatan Tentera Filipina. Bagi mengelakkan ini dari berlaku, aku seboleh mungkin berada hampir dengan Komander kem tersebut. Kalau apa-apa berlaku aku boleh menjadikan Komander tersebut sebagai perlindungan mahupun tebusan....
Namun, berbekalkan keyakinan bahawa para pejuang ini amat menghormati aku, setiap kem tersebut dijelajahi. Setiap langkah aku diiringi oleh ucapan salam dari mereka. Lantas aku dipeluk. Senjatapi yang disandang mereka kerap tersepit di dada kami setiap kali berpelukan. Terlalu bahaya. Tiada langsung langkah keselamatan yang diambil mereka bagi mengelak senjata tersebut meletup secara tidak sengaja. Maklumlah mereka ini orang biasa. Civilians. Tidak pernah mendapat latihan asas pengendalian senjatapi. Mereka memikulnya pun atas dasar inginkan kemerdekaan dan penubuhan negara Islam di Selatan Filipina. Impian yang tidak mungkin tercapai. Malah, perjuangan ini semakin menghimpit mereka. Meninggalkan generasi mereka tertinggal jauh tanpa pelajaran dan sandaran ekonomi yang kukuh.
Ini pegangan mereka. Matlamat mereka. Sebagai tetamu, aku tidak akan menyentuh ideologi perjuangan mereka. Tujuan aku hanya untuk meninjau kehidupan mereka. Membantu mereka ke arah meningkatkan kefahaman untuk mengejar kehidupan berekonomi yang lebih terjamin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment