Tempat tugas aku di Prnjavor dalam daerah Banja Luka tidak begitu ketara kesan ethnic cleansing nya berbanding Sarajevo. Di sini, masyarakat Muslim (Bosniak) diberi peluang untuk meninggalkan rumah dalam tempoh 30 minit semasa kemuncak pembunuhan etnik oleh tentera Serbs pimpinan Radovan Karazic. Jika enggan, barulah penghuni Muslim tersebut dibunuh. Ini berbeza dengan Sarajevo bilamana gerombolan tentera Serbs terus menyerbu setiap kampung seterusnya membunuh semua penduduk Muslim tanpa belas. Kalau sesiapa pernah ke Sarajevo khususnya Sbrenica, akan terlihat kawasan tanah perkuburan orang Muslim yang amat luas. Hampir 6 kali keluasan padang bola. Majoritinya lelaki muda yang dibunuh secara kejam. Aku sering memasuki kawasan perkuburan tersebut. Di setiap nisan tertera kematian mereka semasa berusia sekitar 20 - 30 tahun.
Sesungguhnya, dugaan dan cubaan tuhan akan datang dalam pelbagai cara. Samada umat tu sedar atau tidak terpulang kepada tahap keimanan mereka. Aku bukan mahu menghukum mahupun menambah beban derita masyarakat Muslim di sini. Apa yang pasti, masyarakat Muslim di sini terlalu jauh dari hakikat keimanan. Acapkali sekiranya aku bersembahyang Jumaat di Masjid Sarajevo, akan kelihatan agak ramai golongan Muslim yang bersimbang di sebuah cafe bar berhadapan masjid. Semakin kuat suara khutbah, semakin rancak mereka berbual sambil menghirup pivo (beer atau arak). Apa yang mempelikkan (betul ke penambahan bahasa ni ?) aku ialah apabila suara qamat dialunkan, mereka yang sedang minum beer tersebut akan terus memasuki masjid untuk bersembahyang(aku rasa diaorang langsung tak ambik air sembahyang). Aku sering jadi mangsa kerana terpaksa bersembahyang dalam saf yang sama dengan mereka. Mereka mabuk. Akupun turut mabuk kerana menghidu nafas beer yang keterlaluan.
Justeru, inilah hakikat Bosnia. Walaupun ramai yang masih mengekalkan cara hidup Islam tulen namun, ia agak seimbang dengan yang satu saf dengan aku di Masjid Sarajevo. Mereka menghadapi konflik diri dan keimanan. Maka, siapakah yang harus dipersalahkan ?
1 comment:
itulah yang dikatakan minyak dan air tak bercampur.
Post a Comment