Untuk memasuki kampung-kampung di kawasan berbukit semasa musim salji tebal (menutupi jalan setebal 1 kaki), tayar kenderaan 4 x 4 perlu dipasang rantai (wheel chain) bagi mewujudkan cengkaman. Kalau tidak kenderaan akan mudah gatterbabas semasa menuruni bukit. Maka setiap kali sebelum memasuki kampung, aku terpaksa memasang rantai tayar terlebih dahulu. Amat menyusahkan. Memakan masa hampir 40 minit untuk memasang di keempat buah tayar.
Berkaitan wheel chain ni, aku pernah mengalami peristiwa yang akan membuat aku ketawa seorang diri bila mengingatkannya. Pada hari itu aku amat kepenatan setelah puas meronda di beberapa buah kampung. Untuk memendekkan masa perjalanan, aku mengambil jalan pintas yang akan melalui jalan utama bandar Prnjavor; tempat tugasku. Jalan tersebut diperbuat daripada konkrit dan tidak diselaputi salji kerana setiap pagi akan dibersihkan dengan jentolak 'snow scrapper'.Sesampainya di jalan utama tersebut, kenderaan yang aku pandu bergerak amat lambat dan terasa melalui jalan berlubang-lubang. Terhentak-hentak. Dah macam naik kereta lembu. Serentak itu juga aku nampak orang ramai di kiri kanan jalan menepuk-nepuk dahi sambil ketawa memandang kenderaan aku. Aku benar-benar tidak pasti atas sebab apa mereka berbuat demikian. Pemanduan aku teruskan walaupun dalam keadaan yang amat tidak selesa.
Sesampai di simpang antara jalan utama menuju ke rumah aku, seorang lelaki pertengahan umur menahan kenderaan aku dengan kedua belah tangan sambil ketawa. Aku tersentak. Di sini bermacam perkara boleh berlaku. Hampir setiap bangsa Serb ada menyimpan senjatapi sekurang-kurangnya pistol. Kalau orang jahat takkan ketawa pulak. Lepas tu, lelaki tersebut menjerit sambil tangannya menuding ke arah tayar kenderaan aku. "Nei dobro, nei dobro" (tak bagus).
Bocor ke tayar kenderaan ni ?. Bermacam-macam andaian menerpa ke kepala aku. Atau polis trafik ke lelaki yang menahan kenderaan aku ? Kerana mungkin dia menunjuk ke arah tayar agar aku memberek agaknya. Tiada pilihan. Kalau aku terus memandu akan terlanggar pulak lelaki tadi yang dah tercongok tengah jalan. Di sini, di rantau konflik ini rasuah amat berleluasa. Masyarakat lebih rela memberi rasuah terutama apabila ditahan oleh penguatkuasa jalanraya. Kerana rasuah yang diberi lebih murah berbanding denda yang perlu dibayar kepada kerajaan. Kerajaan Serbska. Oleh sebab itulah negara ini runtuh. Terjerumus ke konflik yang tidak berkesudahan. Rakyat dan kerajaan tidak tulus dan jujur dalam membangunkan negara......
Setelah turun dari kenderaan, aku menoleh ke arah tayar. Rupa-rupanya wheel chain masih bersalut kukuh di keempat-empat buah tayar. Kelihatan rantaian besi tersebut sedikit terhakis disebabkan aku memandu di atas jalan konkrit. Aku tersenyum memandang lelaki pertengahan umur tersebut. "Huala" dan terus memecut ke rumah. Cepat-cepat membuka rantai di halaman rumah kerana bimbang jiran aku akan nampak nanti.
Lantaklah. Diaorang nak kata apapun. Biarlah. Aku orang Malaysia. Mana pernah memandu dengan tayar dipasang rantai. Dan aku selama 2 minggu tidak memandu melalui bandar Prnjavor. Segan diaorang akan cam aku. Cam pemandu yang memandu atas jalanraya biasa dengan tayar terpasang wheel chain.....
No comments:
Post a Comment