Friday, January 29, 2010

Sembahyang Jumaat Di Mindanao

Hari Jumaat. Teringat aku bilamana saban minggu akan menunaikan fardhu Jumaat di beberapa masjid sekitar Cotabato City dan Mindanao. Di Mindanao, suasana mereka yang ke masjid tidak seperti di negara kita. Berpakaian serba ringkas yang kebanyakannya seluar jean dan t-shirt. Taklah berkain pelikat (ada segelintir memakainya) mahupun berbaju melayu. Cukup ringkas. Tanpa songkok dan kopiah.


Kutbah disampai dalam bahasa Maguindanao / Suluk dan juga Tagalog. Juga agak ringkas. Aku cuma faham bila tiba bab doa di kutbah kedua. Tidak ada doa untuk pemimpin Islam kerana negara tersebut bukan menjadikan Islam sebagai agama rasmi.


Apa yang ingin dikongsi di sini ialah kawalan keselamatan di sekitar kawasan masjid. Terdapat lebih kurang 6 -7 orang anggota tentera (dah tentu bukan Islam pasal aku tak nampak pun dia orang bersembahyang walaupun selepas kawalan) yang menjaga keselamatan jemaah. Kerap berlaku serangan ke atas masjid oleh golongan anti Islam (militan Kristian) tatkala orang Islam sedang bersembahyang. Oleh itu, Kerajaan tempatan mengarahkan tentera agar membuat tugas kawalan semasa hari Jumaat.


Aku agak bimbang juga bila melihatkan kelengkapan anggota tentera yang berkawal. Lengkap dengan rifel M 16 dan grenande launcher. Buatnya diaorang tiba-tiba datang penyakit gila dan terus melepaskan tembakan membabi-buta ke dalam masjid ? Gerun aku nak memikirkannya. Tapi hati aku terpujuk kerana apa jua kemungkinan, aku akan mati syahid kerana sedang menunaikan fardhu Jumaat di dalam masjid. Mati syahid sebagaimana pejuang pemisah Islam di Selatan Filipina yang lain ekoran berjuang menegakkan agama Islam yang tercinta.


Di negara kita. Masyarakat Islam dapat menunaikan sembahyang Jumaat dengan tenang dan selamat. Tidak ada langsung sedikitpun rasa curiga dan was-was akan berlakunya serangan-serangan bersenjatapi oleh mereka yang anti Islam. Oleh itu bersyukurlah. Jangan kita hilangkan semua ketenangan tersebut. Janganlah setiap kali ke masjid sama seperti melangkah menuju rantau konflik.......

Thursday, January 28, 2010

Pupusnya Buaya Di Liguasan Marsh


Di penghujung tahun 1960 an dan awal 1970 an, kawasan berpaya seluas lebih 40,000 hektar di kawasan Maguindanao yang dinamakan Liguasan Marsh (marshy area /kawasan berpaya)dikatakan terdapat banyak buaya. Kawasan tersebut bersambung dengan sungai Rio Grande yang mana menjadi kawasan penempatan orang-orang Islam kebanyakan dari suku kaum Maguindanao, Meranao dan Iranun. Majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan dengan menumpukan sumber hidup kepada pertanian dan penangkapan ikan air tawar (haruan, keli dsbnya).



Kawasan tersebut juga merupakan salah satu kawasan gerak tindak dan strong hold kumpulan pejuang pemisah Islam iaitu Moro National Liberation Front (MNLF) sebelum diambil alih oleh Moro Islamic Liberation Front (MILF). Di awal 70 an, kawasan tersebut merupakan battle field bilamana hampir setiap hari berlaku pertempuran membabitkan Tentera Filipina dengan pejuang MNLF. Aku sudah terlalu kerap memasuki kawasan tersebut (rujuk post terdahulu). Kesemuanya dipenuhi air dan amat luas. Dikatakan, kesukaran dihadapi pihak tentera dalam operasi di kawasan tersebut ialah serangan buaya. Ramai di kalangan anggota Tentera Filipina yang diserang buaya sehingga terkorban. Justeru, selain operasi menghapuskan orang Islam, Tentera Filipina juga bertindak menghapuskan buaya terlebih dahulu. (Mungkin buaya di Liguasan Marsh amat bersimpati dengan nasib dihadapi masyarakat Islam di situ). Maka setiap kali memasuki kawasan paya tersebut, tentera akan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke dalam air setiap kali terlihat kocakan yang besar. Ini sedikit sebanyak memudahkan para mujahidin Islam untuk membuat persediaan untuk menyerang hendap mahupun melarikan diri.



Aku cukup bimbang semasa di Liguasan Marsh bila dimaklumkan tentang sejarah keganasan buaya di situ. Tak berani nak hulur tangan ke dalam air. Buat dicakupnya. Tak ke naye. Tapi salah seorang pejuang MILF bernama Mokhtar beritahu aku. "Buaya di Liguasan Marsh dan Sungai Rio Grande dah pupus. Kesemuanya habis ditembak tentera Filipina. Tak lama lagi semua orang Islam di Mindanao akan turut menghadapi nasib yang sama seperti buaya-buaya tersebut. Akan dipupuskan satu persatu"...



Aku terkedu. Aku hanya berharap agar buaya di Liguasan Marsh akan kembali membiak. Biar banyak semula. Biar letih Tentera Filipina menembak buaya-buaya generasi baru tersebut sebelum dapat menembak kanak-kanak Islam yang tidak berdosa di kawasan miskin dan amat terpencil - Liguasan Marsh.......

Tuesday, January 26, 2010

Kekayaan Diraih Dari Derita



Dalam kegelisahan penduduk peribumi Mindanao mencari hala tuju kehidupan, satu syarikat dari negara kuasa besar dilaporkan sedang menjalankan usaha carigali minyak di Laut Sulu; 500 km di barat daya Manila dan 200 km di barat laut Pulau Tawi-Tawi. Kawasan tersebut yang mempunyai simpanan minyak yang agak besar turut dinamakan 'Sandakan Basin'. Dikatakan agak hampir dengan Sandakan. Projek menelan belanja USD 100 juta yang dijalankan secara usahasama dengan syarikat Filipina.


Bayangkan kekayaan Mindanao. Faktor kekayaan inilah yang menyebabkan Manila begitu bersungguh-sungguh untuk terus memonopolinya. Konflik dipercayai hanya sebahagian dari berpuluh-puluh agenda kerajaan bagi terus melebarkan cengkaman di rantau tersebut. Aku malas nak komen lebih lanjut. Kerana perkara ini agak sensitif dan bukan hak aku untuk memburukkan orang lain. Hanya satu yang aku harapkan. Perdamaian dan kekayaan yang ditemui ini akan dapat dirasai bersama oleh penduduk bangsamoro yang sejak sekian lama hidup dalam kesusahan. Biarlah rezeki yang terlimpah dek berkat doa para mujahid bangsa yang terkorban disebabkan perjuangan suci dapat diagih sama rata. Izinkanlah anak-anak bangsamoro untuk turut sama menimba ilmu sekaligus mampu bersaing dalam lapangan ekonomi Filipina. Izinkanlah anak-anak bangsamoro untuk turut sama menjamah nasib yang sentiasa diulit khabaran gembira. Cukuplah air mata mereka yang tertumpah selama ini ekoran kematian bapa dan ibu tercinta.Memadailah tidur mereka dihias cerita sengsara.


Misi damai yang semakin hampir untuk bertapak kembali di bumi Mindanao diharap akan menjadi titik tolak kepada terhapusnya derita bangsamoro....

Monday, January 25, 2010

Janganlah Lakukan Kerosakan Di Rantau Ini

Aku begitu sedih dengan beberapa laman blog di tanah air yang begitu berani dan lantang menghina Institusi Raja Melayu. Khususnya dari blog " Aduka Taruna". Inilah minda generasi masa kini. Langsung tidak ada semangat jati diri. Terharunya, ia dari lidah orang melayu sendiri. Dari minda kaku dan kotor mereka. Begitu mudah terpengaruh dengan pelbagai propaganda dan kabar angin yang tidak diketahui kebenarannya. Begitu inginkan negara kita berada dalam satu situasi tidak menentu. Penuh dengan konflik kepimpinan, sosial, ekonomi dan terhapusnya integriti nasional. Tergamak mempersoalkan kelogikan kesinambungan Institusi Raja. Institusi yang dipertahankan dengan limpahan darah dan keringat datuk moyang kita sendiri. Darah dan keringat para pejuang melayu yang tulen setulennya. Darah Hang Tuah, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan beribu lagi para pahlawan. Hatta, Hang Jebat sekalipun tidak marahkan Sultan Melaka. Dia cuma marahkan mereka yang iri hati kepada Hang Tuah. Sebab itu Hang Jebat tidak membunuh Sultan. Yang terbunuh cuma mereka yang rapat dengan Sultan Melaka. Kalau Hang Jebat masih hidup, aku yakin dia antara orang yang tetap mempertahankan Institusi Raja. Kerana itulah satu-satunya lambang perpaduan melayu.


Mindanao. Rantau konflik yang aku jelajahi selama setahun. Institusi Rajanya telah lama dihapuskan oleh Kerajaan Filipina disebabkan kedunguan bangsa sendiri. Kini raja-rajanya merempat dan sering berada di kawasan-kawasan awam (bus station, simpang jalan, pejabat-pejabat kerajaan) hanya untuk memberitahu masyarakat bahawa beliau adalah Raja Sulu. Lengkap dengan salasilah keturunan dan alat-alat kebesaran diRaja. Walhal rokokpun terpaksa minta sebatang dari aku. Beria-ia ajak minum kopi. Last-last aku juga yang kena bayar. Aku bangga kerena sekurang-kurang duit aku pernah dikeluarkan untuk belanja Raja minum. Inilah kehinaan yang mereka terima disebabkan bangsa sendiri yang tidak pernah hendak bersatu. Reaksi masyarakat ? "Orang gila".


Inilah agaknya yang diiginkan oleh generasi muda bangsa melayu. Akhirnya, bangsa sendiri diperkotak katik kerana institusi yang mampu menjadi pelindung dan penyatu sudah pupus. Sudah lenyap. Justeru jadilah manusia yang tidak membawa kerosakan walaupun kita tidak pernah menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Kasihanilah generasi-generasi akan datang yang berhak untuk hidup aman dan merdeka di tanah air sendiri. Biarlah mereka menghirup udara yang bebas dan segar dari adukan bau hanyir darah dan peledak senjatapi......Biarlah.


Kepada yang anti keamanan di negara kita. Aku alu-alukan agar terus jadi pemastautin tetap di Bosnia, Kosovo, Mindanao dan rantau konflik yang lain. Rasalah nikmat hidup di sana. Rasalah. Hahahahahah !!!!!!!!!!!!

Friday, January 22, 2010

Jadilah Anak Yang Bercita Besar

Aku pernah melangkah ke sebuah daerah Minang di Padang Ceno, Pariaman, Padang, Sumatera Barat. Sebuah kawasan perkampungan berbukit. Amat indah. Sawah padi diusahakan secara teres di lereng-lereng bukit tersebut. Hampir seminggu aku menginap di sana.Langsung tidak ada kenderaan darat untuk ke kampung tempat aku menginap. Dari jalan besar untuk ke kampung tersebut memakan masa hampir 1 jam. Merentas sawah padi dan sungai kecil yang airnya mengalir deras. Terpaksalah buka kasut untuk mengharungnya.


Penduduk di sana majoritinya keturunan Minang. Berkebun dengan sumber pendapatan utama ialah sawah padi. Tidak ada bekalan elektrik, air paip. Mandi di kali selain bilik air yang mendapat saliran air dari gunung. Disalurkan ke rumah menggunakan batang buluh terus ke dalam kolam. Dingin sedingin dinginnya....


Antara tempat peranginan menarik di kawasan tersebut ialah Bukit Tinggi dan Danau Maninjau.
Namun, tempat-tempat tersebut tidak begitu berjaya mencuit pintu hati aku. Apa yang aku terus ingati sampai kini ialah perbualan aku dengan seorang kanak-kanak Minang berumur 4 tahun yang dikenali sebagai nama Mohamad. Beliau bercita-cita tidak mahu menjadi pesawah padi sebagaimana kedua ibu bapa dan generasi-generasi terdahulu dari beliau. Hanya satu cita-cita. Nak ke Malaysia untuk bekerja. "Saya mahu bekerja di Malaysia kerana ingin membantu ibu bapa saya yang sentiasa hidup susah......" Aku terkedu. Seorang kanak-kanak yang begitu murni dan terlalu kecil untuk memikirkan tentang keperitan hidup. Inilah hakikat betapa bercita-cita besarnya Mohamad. Kanak-kanak yang hidup di rantau yang tidak pernah dapat lari dari kesengsaraan hidup.


Aku merenung anak aku. Rakus menyuap ais krim Magnolia berperisa vanilla berharga RM 1.50 yang baru kubeli. "Mampukah dia menjadi insan bercita-cita besar sebagaimana Mohamad ?".............

Wednesday, January 20, 2010

Kanak-Kanak Paling Terjejas Di Mindanao

Merenung masa depan yang sudah pasti tetap suram.....


Masih mampu tersenyum dalam derita ...



Mereka tidak pernah mengerti makna konflik


Mengharap masa depan yang lebih terang dan gemilang ?


Kanak-kanak di Mindanao. Sudah biasa susah sejak kecil. Bandingkan dengan kesenangan kanak-kanak di negara kita.






Diharap misi damai di Mindanao yang akan disambung semula dalam tempoh terdekat mampu memberi sinar kepada penduduk yang sejak sekian lama terjejas ekoran konflik yang tak berkesudahan. Paling menyedihkan ialah kanak-kanak. Bebanan permasalahan politik dan ekonomi mahu tak mahu terpaksa ditanggung mereka. Sedang kanak-kanak di negara kita sibuk merengek meminta ais krim dan makanan segera seperti KFC dan Mc Donald, kanak-kanak di Mindanao masih mampu tersenyum puas menjamah nasi tanpa lauk. Dalam kanak-kanak di negara kita menangis kesejukan diulit penghawa dingin, kanak-kanak di Mindanao masih mampu tidur lena berselimutkan titisan hujan dan kedinginan embun.Dalam kanak-kanak di negara kita melangkah malas ke sekolah dengan dihantar kenderaan mewah, kanak-kanak di Mindanao dibasahi peluh menanam jagung dan padi demi kesinambungan hidup esok hari.

Ramai mungkin bertanggapan peduli apa dengan realiti tersebut. Itu masalah mereka. Itu negara mereka. Namun hakikatnya, kita perlu ada sekelumit rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak yang tidak berdosa. Mereka tidak pernah meminta untuk dilahirkan dalam kepompong konflik. Namun, itu takdir mereka. Itu nasib mereka. Harapan agar nasib mereka mampu berubah dengan usaha murni dibantu doa dari kita yang prihatin.

Sebagai luahan simpati kita ? Renungkanlah nasib jiran kita. Jangan sekali-kali cuba menjerumuskan negara kita ke kancah konflik. Jadilah insan yang bertanggungjawab demi maruah bangsa dan agama.............

Monday, January 18, 2010

Konflik Adalah Derai Tawa Mereka











Gempa bumi di Haiti menggamit aku untuk merenung sejenak liku-liku perjalanan di setiap kawasan konflik yang pernah kujejaki khususnya Balkan dan Mindanao.Serupa namun tak sama. Seiras namun tak sedondon. Hanya satu yang serupa, seiras dan sedondon - kelemahan kerajaan dan kemiskinan di segi ekonomi.


Haiti turut menghadapi kemelut politik dan keselamatan sekali gus menyebabkan wujudnya misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menyedihkan tatkala tidak ada satupun jentera berat yang boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa dari runtuhan bangunan. No komen... dah memang negara miskin. Orang tak mampu nak beli bulldozer, tractor dsbnya.


Bosnia. Tak boleh nak balik dan menghuni rumah sendiri. Pasal apa ? Orang lain dah rampas dengan cara mendudukinya secara haram. Tukar nama geran tanah dan rumah dengan memberi rasuah kepada pegawai Pejabat Tanah dan Local Government Unit. No komen - pasal negara tu baru lepas perang.


Mindanao. Tanah dirampas oleh imigran dari Pulau Luzon. Berlaku proses assimilisasi penduduk peribumi ke dalam kehidupan dan budaya penjajah. Sentiasa berlaku konflik ketenteraan dalam mendisiplinkan penduduk peribumi. Mundur serta teramat miskin.Munculnya pelbagai separatist group yang mempunyai aspirasi perjuangan yang tidak tetap. Berubah berdasarkan kepentingan pemimpin itu sendiri.No komen - pasal penduduk peribumi memang menolak pembangunan dan kemajuan. Alasan.. kemajuan menghampiri kekufuran.


Negara kita ? Aman, harmoni, kaya di segi ekonomi, berkerajaan yang baik serta sistem politik yang telus dan terbuka. Namun, segelintir yang amat impikan keadaan konflik. Tak boleh duduk selesa dengan keamanan dan keharmonian sedia ada. Hakikatnya, mereka-mereka ini tidak pernah merasai mahupun melihat sendiri keadaan negara jika dilanda huru hara. Maka, faktor kepentingan dan motif peribadi mengatasi maruah diri.


Justeru, mereka terlalu inginkan negara ini menghadapi konflik dan tragedi. Mungkin mudah nanti nak jual atau berniaga bulldozer dan tractor. Mudah nak berniaga senjata. Mudah nak jual tanah. Mudah nak jadi pemimpin.....


Mereka ini kerap berdusta dengan mengatakan terdengar hilai tawa rakyat di Haiti, Bosnia mahupun Mindanao. Realitinya, hanya sayup suara tangisan dan rintihan. Itupun tenggelam dek dentingan lagaan gelas wain pemimpin negara kuasa besar......

Thursday, January 14, 2010

'Siti Temar' Dah Jadi Nenek


Kerana kerinduan mendalam terhadap Mindanao, aku menelefon Tony, bekas staff pagi tadi. Agak panjang juga aku berbual dan tak tahulah berapa banyak kos panggilan yang terpaksa aku tanggung. Nak harap Tony call faham-faham aja lah.Maklumlah kat Mindanao mendung dan sentiasa 'hujan' setiap hari. 'Tak boleh nak pergi menoreh getah'.Kalau dia hantar sms pun pendek aja. Kalau panjang takut banyak guna 'meter' telefon kot.Pendek dan tak berapa padat. Terpaksa aku call balik untuk sahkan apa makna sms tersebut.Bila aku 'sound' tak berapa faham maksud sms dihantar, Tony beri alasan not feeling well. Pelik juga. Apa kena mengena 'tak berapa sihat' dengan pendeknya sesuatu sms. Inilah hakikat Mindanao. Terlalu banyak alasan. Ini tak termasuk tektik buat-buat nak pengsan terutama tukang masak setiap kali menjelang pertengahan bulan....Bila dapat gaji tak pulak nak pengsan.


Aku terus tanya Tony tentang perkembangan 'Siti Temar', anak kambing betina yang aku selamatkan setelah ibunya ditimpa kemalangan yang tak ngeri (pemilik kambing tu kata kemalangan tersebut amat mengerikan- Alasan untuk dapat wang pampasan lebih besar. Walhal, mendiang ibu 'Siti Temar' boleh berjalan setelah dilanggar. Tup-tup, esoknya pemilik kambing beritahu aku dah mati dah.Entah kat mana dia sorokkan malas aku nak siasat)
Tony memaklumkan sedikit sebanyak riwayat kehidupan 'Siti Temar'. Anak pertama ialah jantan dilahirkan pada 31 Ogos 2007. Dah berkahwin tetapi tak tahu berapa anak kerana anak-anaknya dijaga oleh isterinya (dah tentulah kambing orang lain). Anak kedua 'Siti Temar' ialah betina. Dah berkahwin dan kini mempunya 2 ekor anak. Dijaga oleh Tony. Anak ketiga 'Siti Temar' juga betina tetapi masih gadis sunti. Itupun dah banyak kambing jantan asyik lalu lalang depan rumah Tony.Jadi, hakikatnya 'Siti Temar' dah jadi nenek.


Aku tumpang bangga. Bangga kerana 'Siti Temar' mampu menghadapi segala trauma dan konflik diri sekaligus dapat meneruskan kelansungan hidup.Bangga kerana Tony mampu membela 'Siti Temar' dan generasinya (tak lama lagi kena jual lah tu).Bangga kerana kambing-kambing tersebut dapat terus bertahan dalam situasi di rantau konflik. Dan aku akan lebih berbangga sekiranya masyarakat di rantau tersebut termasuk Tony dapat keluar dari kepompong konflik yang tidak berkesudahan.


Cuma satu yang aku tak berapa nak bangga.Sms dari Tony makin lama makin rengkas dan pendek. Mungkin dia pun dah kena penyakit asyik pengsan masa taip sms......

Damaikanlah Rantau Konflik

Huluran janji yang tidak pasti.......
Pemantauan proses damai di Mindanao dikatakan akan disambung semula. Sebelum ini usaha tersebut terbantut disebabkan kurangnya komitmen pihak terlibat iaitu Kerajaan Republik Filipina dan pejuang Islam Moro Islamic Liberation Front. Ternampak sedikit sinar bahawa perdamaian sebenar di rantau konflik tersebut akan mampu direalisasikan. Terbayang wajah kanak-kanak yang tidak berdosa yang selama ini hanya mampu makan nasi berlaukkan tangisan kembali ceria. Namun, setakat mana usaha ini akan dapat bertahan. Setakat mana komitmen pihak berkuasa untuk mendengar rintihan golongan minoriti yang sejak sekian lama merintih sayu di tanah tumpah nenek moyang sendiri. Sejauh mana komitmen masyarakat antarabangsa untuk meletakkan priority dalam permasalahan ini. Dan yang paling utama, sejauh mana dendangan kosong masyarakat Islam di Selatan Filipina untuk menikmati hidup yang lebih terjamin akan direalitikan ......Entah.


Entah bila agaknya....