Thursday, January 28, 2010

Pupusnya Buaya Di Liguasan Marsh


Di penghujung tahun 1960 an dan awal 1970 an, kawasan berpaya seluas lebih 40,000 hektar di kawasan Maguindanao yang dinamakan Liguasan Marsh (marshy area /kawasan berpaya)dikatakan terdapat banyak buaya. Kawasan tersebut bersambung dengan sungai Rio Grande yang mana menjadi kawasan penempatan orang-orang Islam kebanyakan dari suku kaum Maguindanao, Meranao dan Iranun. Majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan dengan menumpukan sumber hidup kepada pertanian dan penangkapan ikan air tawar (haruan, keli dsbnya).



Kawasan tersebut juga merupakan salah satu kawasan gerak tindak dan strong hold kumpulan pejuang pemisah Islam iaitu Moro National Liberation Front (MNLF) sebelum diambil alih oleh Moro Islamic Liberation Front (MILF). Di awal 70 an, kawasan tersebut merupakan battle field bilamana hampir setiap hari berlaku pertempuran membabitkan Tentera Filipina dengan pejuang MNLF. Aku sudah terlalu kerap memasuki kawasan tersebut (rujuk post terdahulu). Kesemuanya dipenuhi air dan amat luas. Dikatakan, kesukaran dihadapi pihak tentera dalam operasi di kawasan tersebut ialah serangan buaya. Ramai di kalangan anggota Tentera Filipina yang diserang buaya sehingga terkorban. Justeru, selain operasi menghapuskan orang Islam, Tentera Filipina juga bertindak menghapuskan buaya terlebih dahulu. (Mungkin buaya di Liguasan Marsh amat bersimpati dengan nasib dihadapi masyarakat Islam di situ). Maka setiap kali memasuki kawasan paya tersebut, tentera akan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke dalam air setiap kali terlihat kocakan yang besar. Ini sedikit sebanyak memudahkan para mujahidin Islam untuk membuat persediaan untuk menyerang hendap mahupun melarikan diri.



Aku cukup bimbang semasa di Liguasan Marsh bila dimaklumkan tentang sejarah keganasan buaya di situ. Tak berani nak hulur tangan ke dalam air. Buat dicakupnya. Tak ke naye. Tapi salah seorang pejuang MILF bernama Mokhtar beritahu aku. "Buaya di Liguasan Marsh dan Sungai Rio Grande dah pupus. Kesemuanya habis ditembak tentera Filipina. Tak lama lagi semua orang Islam di Mindanao akan turut menghadapi nasib yang sama seperti buaya-buaya tersebut. Akan dipupuskan satu persatu"...



Aku terkedu. Aku hanya berharap agar buaya di Liguasan Marsh akan kembali membiak. Biar banyak semula. Biar letih Tentera Filipina menembak buaya-buaya generasi baru tersebut sebelum dapat menembak kanak-kanak Islam yang tidak berdosa di kawasan miskin dan amat terpencil - Liguasan Marsh.......

No comments: