Friday, January 22, 2010

Jadilah Anak Yang Bercita Besar

Aku pernah melangkah ke sebuah daerah Minang di Padang Ceno, Pariaman, Padang, Sumatera Barat. Sebuah kawasan perkampungan berbukit. Amat indah. Sawah padi diusahakan secara teres di lereng-lereng bukit tersebut. Hampir seminggu aku menginap di sana.Langsung tidak ada kenderaan darat untuk ke kampung tempat aku menginap. Dari jalan besar untuk ke kampung tersebut memakan masa hampir 1 jam. Merentas sawah padi dan sungai kecil yang airnya mengalir deras. Terpaksalah buka kasut untuk mengharungnya.


Penduduk di sana majoritinya keturunan Minang. Berkebun dengan sumber pendapatan utama ialah sawah padi. Tidak ada bekalan elektrik, air paip. Mandi di kali selain bilik air yang mendapat saliran air dari gunung. Disalurkan ke rumah menggunakan batang buluh terus ke dalam kolam. Dingin sedingin dinginnya....


Antara tempat peranginan menarik di kawasan tersebut ialah Bukit Tinggi dan Danau Maninjau.
Namun, tempat-tempat tersebut tidak begitu berjaya mencuit pintu hati aku. Apa yang aku terus ingati sampai kini ialah perbualan aku dengan seorang kanak-kanak Minang berumur 4 tahun yang dikenali sebagai nama Mohamad. Beliau bercita-cita tidak mahu menjadi pesawah padi sebagaimana kedua ibu bapa dan generasi-generasi terdahulu dari beliau. Hanya satu cita-cita. Nak ke Malaysia untuk bekerja. "Saya mahu bekerja di Malaysia kerana ingin membantu ibu bapa saya yang sentiasa hidup susah......" Aku terkedu. Seorang kanak-kanak yang begitu murni dan terlalu kecil untuk memikirkan tentang keperitan hidup. Inilah hakikat betapa bercita-cita besarnya Mohamad. Kanak-kanak yang hidup di rantau yang tidak pernah dapat lari dari kesengsaraan hidup.


Aku merenung anak aku. Rakus menyuap ais krim Magnolia berperisa vanilla berharga RM 1.50 yang baru kubeli. "Mampukah dia menjadi insan bercita-cita besar sebagaimana Mohamad ?".............

No comments: