Wednesday, September 05, 2007

Jaga Di Bosnia

Pejabat aku di Banja Luka terletak dalam compound sebuah kilang kasut yang telah bankrap. Bagaimanapun, pihak pengurusan masih menempatkan seorang 'jaga' (Pengawal Keselamatan) di pintu masuk kilang tersebut. Banyak lagi mesin-mesin dan barang-barang berharga termasuk kasut-kasut yang telah siap masih ditempatkan di dalamnya.

As a nature of my duty, aku sekali sekala akan bertugas malam iaitu dari 10 malam hingga 8 pagi keesokan harinya. Tugas tersebut dilakukan seorang diri. Ini risiko yang perlu dihadapi. Bertugas waktu malam seorang diri di kawasan konflik. Nasib baik ada jaga di pintu masuk. Jadi taklah kesunyian dan menakutkan.....

Menjadi masalahnya ialah jaga tersebut hampir setiap kali bertugas dalam keadaan mabuk. Mulut sentiasa berbau 'rakiya' - sejenis local wine yang diperbuat dari pemeraman buah plum. Namun, untuk menghilangkan kesunyian, hanya dialah teman aku setiap kali bertugas. Memang masalah. Setiap kali berbual dengannya menggunakan bahasa Bosnia yang mudah, dia akan mula bercakap laju. Macam novel. Manalah aku faham. Terpaksalah mengangguk. Kalau dia tanya aku benci dia atau kutuk diapun aku akan mengangguk. Terlalu pekat. Macam Orang Hulu. Tambahan pulak dia mabuk. Lagi pening. Cakap sikit ketawa. Sikit-sikit ketawa....


Suatu malam tu aku berbual dengannya dan bertanyakan ada hantu atau tidak di Bosnia. Akupun tak tahu apa perkataan hantu dalam bahasa di sini. Cuma aku membuat ekspresi taring(menggunakan 2 jari yang aku rapatkan kat gigi depan). Lepas tu aku mula mengembang-ngembangkan tangan seolah-olah hantu sedang terbang. "Neima nista" (tak ada), jawab 'jaga' tersebut sambil ketawa terbahak-bahak. Maklum lah orang mabuk. Kepala tengah 'sedap'...
Ini bermaksud tak ada langsung hantu di Bosnia. Cuma orang dia jer yang jadi hantu.

Jawapan penuh yakin 'jaga' tersebut telah mencetus satu idea. Perlahan-lahan aku meninggalkannya. Sesampainya di pintu pejabat, aku tidak terus masuk tetapi menuju ke bahagian belakang sebuah bangunan yang berhampiran pondok 'jaga' tersebut. Kawasan tu memang gelap dan terdapat banyak pokok 'weepping widow' dengan dahannya berjuntai ke bawah. Agak seram juga sekitarannya. Berbekalkan jaket winter, aku menyelubung kepala dan berjalan perlahan-lahan menuju ke pangkal pokok 'weepping widow' tersebut. Niat aku hanya untuk bergurau kerana agak bosan bila bertugas malam. Dengan membelakangkan 'jaga' tersebut, aku menggegar dahan pokok 'weepping widow' sehingga terdengar desirnya ke telinga 'jaga' tersebut. Serentak itu aku mendengar 'jaga' tersebut dalam nada cemas memanggil aku. "Gospodem, gospodem" (mr.). Memang dia menjangka aku berada di dalam pejabat. Tidak lama lepas tu, aku terdengar basikal dikayuh secara tergesa-gesa sehingga melanggar grill pagar kilang tersebut. Bila aku menoleh, hanya kelibat 'jaga' tersebut sedang mengayuh basikal dengan laju meninggalkan kawasan kilang. Terus hilang dalam kegelapan.

Aku pulak yang diamuk seram. Keseorangan dalam kawasan kilang tersebut. Timbul rasa penyesalan yang amat sangat. Jangkaan aku, 'jaga' tu tak akan lari. Cuma mungkin terkencing je dalam pondoknya. Lepas tu aku akan ketawakan dia sebagaimana dia ketawa sepanjang masa semasa bertugas. Rupa-rupanya tanggapan aku meleset. Dia terus cabut. Tak tahulah dia cabut kerana takut atau atas sebab lain. Tapi yang jelas, dia telah lari dari tanggungjawab dan tugasnya. Meninggalkan kilang tersebut tanpa jaga.

Aku terus memanjangkan langkah meninggalkan kawasan pokok 'weepping widow' dan terus masuk ke pejabat. Kunci pintu. Tidur dalam 'sleepping bag'. Seram juga aku dibuatnya. Bagaimanapun, sehingga pagi tiada apa-apa yang berlaku. Tiada 'dracula' yang muncul. Ialah, kat Eropah mana ada hantu pocong, jerangkung, hantu raya dan sebagainya. Hanya itulah sekor. Iaitu dracula. Bosnia kan dekat dengan Transalvania, Romania. 'Home town' dracula.

Dari apa yang aku ketahui, 'jaga' tersebut 3 hari tak datang kerja. Mungkin demam. Aku akan mencungkil apa puncanya apabila aku bertugas malam kelak.....

Tuesday, September 04, 2007

Winter Di Bosnia

Terlalu azab untuk mengharungi musim salji di Bosnia. Memeritkan. Amat sejuk. Kulit habis menggelupas serta amat mudah mendapat selsema jika terlalu lama berada di luar rumah. Selsema pulak begitu lambat untuk sembuh. Bukan macam di tempat kita. Telan 2 biji panadol dengan air suam, selubung dalam selimut tebal. Lepas 1 jam kebah sikit. Di Bosnia, tuk nenek moyang panadaol pun tak jalan. Sebab itu, selsema adalah penyakit yang amat merbahaya di negara yang ada 4 musim. Dalam kebanyakan kes, perlu dimasukkan ke wad hospital.

Seperkara lagi, adalah amat merbahaya sekiranya berjalan di cucur bumbung sekitar bandar semasa musim salji tebal. Langkah sebaiknya ialah berjalan di kaki lima kedai (bawah bumbung). Satu peristiwa pernah berlaku kepada aku bilamana semasa aku berjalan di cucur bumbung kedai di Sarajevo, seketul salji beku sebesar lesung jatuh dari bumbung tersebut. Bunyinya amat kuat menghempas jalan. Aku baru je 2 langkah melalui kawasan terjatuhnya salji tersebut. Tak tahulah apa akan jadi jika ia menghempap kepala. Lebih parah dari dihempap 3 biji buah kelapa agaknya kerana salji beku tersebut mampat dan berat.

Atas faktor inilah kebanyakan bumbung rumah masyarakat di Bosnia amat curam selain tidak banyak anjung. Ini bagi mengelakkan salji membeku di atas bumbung yang mana kesannya boleh meruntuhkan bumbung tersebut. Dalam situasi konflik dan sukar ditambah pendapatan yang tidak seberapa, sekeping atap genting di sini seumpama harga seekor lembu jantan yang hendak disembelih untuk kenduri kahwin. Mahal.

Cuma yang murah ialah nyawa masyarakat Islam yang semakin pupus di bumi Balkan......

Sunday, September 02, 2007

Siti Temar Bersalin Anak Jantan



Ini bukan anak Siti Temar tapi anak kepada Internally Displaced Person (IDP's)


Baru sebentar tadi aku terima sms dari Tony,bekas staf aku di Cotabato City, Mindanao. Tony adalah staf yang aku amanahkan untuk membela anak kambing yang ibunya mati kena langgar masa aku meronda kawasan kampung pada tahun 2005 dulu. Anak kambing tu aku namakan Siti Temar. Pasal apa nama tu ? Pertama, kambing tu betina. Jadi eloklah namakan Siti. Takkan Abu atau Abdul pulak. Kedua, insiden menyayat hati di mana 'Siti Temar' menyaksikan dengan matanya sendiri ibunya dilanggar kenderaan aku berlaku di Barangay Temar (kampung Temar). Lama juga 'Siti Temar' trauma. Asyik termenung bila aku bawak balik ke rumah setelah pampasan dibayar kepada pemilik kambing tersebut. Lama juga Tony terpaksa menggunakan pendekatan psikologi untuk memulihkan trauma 'Siti Temar'. Minum menggunakan puting susu yang disumbat ke botol coca-cola. Minum susu Anlene.


Sms tersebut : "Sir, just to inform u. Siti Temar gave birth yesterday. Male."

Dah jadi Atuk rupanya Tony. Dan cepat juga 'Siti Temar' dipinang kambing. Beranak pulak pada 31 Ogos 2007. Hari merdeka. Harapan aku agar 'Siti Temar' akan menjadi ibu yang baik. Bertanggungjawab. Semuga ia cepat membiak seterusnya membantu ekonomi Tony.

Kambing ada harga dan mendapat pasaran luas di Mindanao. Walaupun badan dia berbau....

Saturday, September 01, 2007

Merdeka Di Banja Luka

Tidak ada erti kemerdekaan di Bosnia, di Banja Luka, di Prnjavor. Apa yang menjadi matlamat dan perjuangan masyarakat di sini ialah untuk memerdekakan diri dari belenggu kesempitan hidup. Untuk berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di negara yang merdeka. Impian mereka menggunung tinggi. Namun, dalam sebuah negara di mana bangsa asing yang mencorakkan struktur politik, ekonomi dan sosialnya, ia seakan mustahil direalitikan. Lantas, masyarakat di sini seolah pengemis. Mengemis mengharapkan bangsa lain agar membela nasib mereka. Membantu mereka. Menyuapkan sepotong 'french bread' ke mulut mereka. Membantu segalanya. Membantu bertatih untuk berjalan.

Justeru, hayatilah nilai kemerdekaan. Ia bukan mudah dicapai. Dan ia akan semakin susah dan perit diperolehi kembali sekiranya hilang setelah mencapainya. Ini yang berlaku di Bosnia. Di Banja Luka. Di rantau konflik ini. Tak pasti bila ia akan diperolehi kembali.

Rakyatnya saban hari semakin menderita.......

Thursday, August 30, 2007

Wheel Chain

Untuk memasuki kampung-kampung di kawasan berbukit semasa musim salji tebal (menutupi jalan setebal 1 kaki), tayar kenderaan 4 x 4 perlu dipasang rantai (wheel chain) bagi mewujudkan cengkaman. Kalau tidak kenderaan akan mudah gatterbabas semasa menuruni bukit. Maka setiap kali sebelum memasuki kampung, aku terpaksa memasang rantai tayar terlebih dahulu. Amat menyusahkan. Memakan masa hampir 40 minit untuk memasang di keempat buah tayar.



Berkaitan wheel chain ni, aku pernah mengalami peristiwa yang akan membuat aku ketawa seorang diri bila mengingatkannya. Pada hari itu aku amat kepenatan setelah puas meronda di beberapa buah kampung. Untuk memendekkan masa perjalanan, aku mengambil jalan pintas yang akan melalui jalan utama bandar Prnjavor; tempat tugasku. Jalan tersebut diperbuat daripada konkrit dan tidak diselaputi salji kerana setiap pagi akan dibersihkan dengan jentolak 'snow scrapper'.Sesampainya di jalan utama tersebut, kenderaan yang aku pandu bergerak amat lambat dan terasa melalui jalan berlubang-lubang. Terhentak-hentak. Dah macam naik kereta lembu. Serentak itu juga aku nampak orang ramai di kiri kanan jalan menepuk-nepuk dahi sambil ketawa memandang kenderaan aku. Aku benar-benar tidak pasti atas sebab apa mereka berbuat demikian. Pemanduan aku teruskan walaupun dalam keadaan yang amat tidak selesa.

Sesampai di simpang antara jalan utama menuju ke rumah aku, seorang lelaki pertengahan umur menahan kenderaan aku dengan kedua belah tangan sambil ketawa. Aku tersentak. Di sini bermacam perkara boleh berlaku. Hampir setiap bangsa Serb ada menyimpan senjatapi sekurang-kurangnya pistol. Kalau orang jahat takkan ketawa pulak. Lepas tu, lelaki tersebut menjerit sambil tangannya menuding ke arah tayar kenderaan aku. "Nei dobro, nei dobro" (tak bagus).

Bocor ke tayar kenderaan ni ?. Bermacam-macam andaian menerpa ke kepala aku. Atau polis trafik ke lelaki yang menahan kenderaan aku ? Kerana mungkin dia menunjuk ke arah tayar agar aku memberek agaknya. Tiada pilihan. Kalau aku terus memandu akan terlanggar pulak lelaki tadi yang dah tercongok tengah jalan. Di sini, di rantau konflik ini rasuah amat berleluasa. Masyarakat lebih rela memberi rasuah terutama apabila ditahan oleh penguatkuasa jalanraya. Kerana rasuah yang diberi lebih murah berbanding denda yang perlu dibayar kepada kerajaan. Kerajaan Serbska. Oleh sebab itulah negara ini runtuh. Terjerumus ke konflik yang tidak berkesudahan. Rakyat dan kerajaan tidak tulus dan jujur dalam membangunkan negara......

Setelah turun dari kenderaan, aku menoleh ke arah tayar. Rupa-rupanya wheel chain masih bersalut kukuh di keempat-empat buah tayar. Kelihatan rantaian besi tersebut sedikit terhakis disebabkan aku memandu di atas jalan konkrit. Aku tersenyum memandang lelaki pertengahan umur tersebut. "Huala" dan terus memecut ke rumah. Cepat-cepat membuka rantai di halaman rumah kerana bimbang jiran aku akan nampak nanti.

Lantaklah. Diaorang nak kata apapun. Biarlah. Aku orang Malaysia. Mana pernah memandu dengan tayar dipasang rantai. Dan aku selama 2 minggu tidak memandu melalui bandar Prnjavor. Segan diaorang akan cam aku. Cam pemandu yang memandu atas jalanraya biasa dengan tayar terpasang wheel chain.....

Monday, August 27, 2007

Tiada Laut Di Banja Luka

Terlalu sukar untuk mendapatkan ikan laut yang segar di Banja Luka. Kerana Banja Luka tiada pantai. Jauh dari laut. Ikan ikan yang kerap dijual di pasar ialah ikan air tawar yang dibela di tasik tasik menggunakan jaring. Ikan trout, salmon. Tekak aku tidak berapa dapat menerimanya kerana terlalu berlemak. Amat tebal. Hanyir pulak tu. Maka hari hari aku terpaksa membeli sotong beku (frozen squid). Sotong yang diimpot dari Croatia dan Itali. Hanya itulah satu satunya seafood yang boleh diperolehi. Ada juga sejenis ikan laut yang dibekukan. Rupa seakan akan ikan kembong. Tapi tetap hanyir. Beras tidak menjadi masalah kerana banyak terjual beras wangi Thailand. Sekilo 2 Deutchsmark (DM) atau lebihkurang RM 5.00.


Itulah makanan yang aku masak untuk kesinambungan hidup di rantau konflik ini. Masak nasi menggunakan rice cooker yang dibawa dari Malaysia. Sotong digoreng dengan bawang. Kadang kadang tuna sardine buatan Hungary. Halal kot pasal ikan tak payah sembelih.....Kalau malas masak aku akan ke restoran berhampiran. Order fish and chips. Halal...Sampai tauke restoran tu dah kenal dan hafal order yang akan aku buat. Sama je.

Friday, August 24, 2007

Teringat Ubi Kayu

Musim salji sangat dibenci oleh masyarakat di sini. Di Balkan. Di Bosnia Herzegovina. Sama seperti kebencian orang Serbs terhadap Muslim Bosniaks.


Kebencian mereka ada logiknya. Berbanding masyarakat di Eropah Barat yang bertugas di pejabat lengkap dengan 'air heater' nya, warga Balkan kebanyakannya menyambung hidup dengan bertani dan segala kerja yang berlandaskan 'open air'. Justeru, musim salji adalah penyekat rezeki mereka. Tiada usaha pertanian dapat dijalankan. Tasik membeku memupuskan benih benih ikan. Aktiviti perniagaan secara terbuka (Sunday Market) agak lembab. Siapa yang nak terdedah dalam suhu kesejukan -5 darjah Celcius ?

Dan aku tidak pasti samada winter adalah saat yang dinanti. Hanya paling indah ialah tatkala 'snow flakes' berguguran dari langit di petang yang bening. Ketika itulah aku akan memainkan lagu kegemaran menerusi hifi di ruang tamu. Lagu "Epilog Cinta Dari Bromley" nyanyian Suhaimi Mior Hasan. Ketika itu juga imbasan ubi kayu rebus bersama kopi 'O' panas melintas di fikiran. "Alangkah indah kalau sedang berada di kampung halaman. Jauh dari salji yang sedang merogol bumi Balkan. Dan jauh dari rantau konflik ini "..........

Saturday, August 18, 2007

Mengidam Nak Salji

Pernah kawan di Malaysia yang gian sangat nak rasa salji menelefon aku. "Tolonglah kalau kau balik nanti bawakan aku salji. Kalau mati nanti tak ler mata putih terbeliak". Mengidam nak pegang salji.....

Pada bulan Disember, aku kebetulan dapat cuti balik ke Malaysia. Masa tu memang tengah heavy winter di Bosnia. Untuk balik ke Malaysia aku perlu ke Lapangan Terbang Zagreb, Croatia iaitu 3 jam perjalanan dari Banja Luka. Di situlah satu satu lapangan terbang terdekat yang ada penerbangan MAS. MAS ketika itu menggunakan pesawat 777. Dari Zagreb akan ke Vienna, Austria untuk transit sebelum meneruskan penerbangan dengan pesawat yang sama terus ke KLIA. Penerbangan selama 12 jam.TAK BOLEH HISAP ROKOKKKKKK........

Aku memang sentiasa membawa termos kecil setiap kali melancung ke Eropah terutama semasa winter. Bukan apa. Termos tu boleh diisi air kopi panas buat memanaskan badan.

Di Lapangan Terbang Zagreb, aku teringat pesan kawan aku. Nak sangat pegang salji. Aku lantas ke kawasan lapang berhampiran sebuah taman berhampiran lapangan terbang. Termos aku keluarkan dari beg. Dengan kedua belah tangan, aku mengaut longgokan salji yang memutih di atas taman tersebut. Aku sumbat semampat mampatnya ke dalam termos. Biar banyak. Boleh buat cenderahati nanti. Bukan senang nak pegang salji......

Sesampainya di Malaysia, kawan aku dah sedia menanti di KLIA. "Mana salji ?" Itu soalan pertama terlontar dari mulutnya. Tanpa berlengah aku meneluarkan termos dan membukanya secara terbalik. Biar salji keluar. Lama aku menggegarkan termos tersebut. Hanya titik titik air yang menitis. Bila aku renung ke dalam termos, rupa rupanya salji tu dak jadi air batu kepal. Dah beku dalam termos. "Nah", aku menyuakan termos kepada kawan aku. Punyalah lama dia membelek ke dalam termos. Sekejap sekejap memasukkan jari. Termenung pulak lepas tu.
"Ohhhh, ni rupanya salji. Macam air batu kepal. Sejuk. Tak payah pergi Eropah pun boleh rasa salji. Pergi je kedai runcit. Masukkan tangan dalam peti sejuk jual ais krim. "Aku nak pegang salji yang macam dalam cerita orang putih tu. Yang baru gugur dari langit".

Aku pulak yang termenung. Terfikir selama ini kawan aku tak tahu ke salji tu sejuk. Salji tu air batu. Salji tu akan beku dalam bentuk ais.

Maka cuti aku di Malaysia banyak dihabiskan dengan menelan panadol. Pening kepala memikirkan macamana nanti nak bawa balik ke Malaysia salji (snow flakes) yang sebaru saja berguguran. Maklum lah. Kawan aku tu mengidam. Kalau perempuan mengidam aku tak heran. Ini jantan. Mengidam nak pegang salji.......

Tuesday, August 14, 2007

Adakah Bosniak Muslim Dizalimi ?

Tempat tugas aku di Prnjavor dalam daerah Banja Luka tidak begitu ketara kesan ethnic cleansing nya berbanding Sarajevo. Di sini, masyarakat Muslim (Bosniak) diberi peluang untuk meninggalkan rumah dalam tempoh 30 minit semasa kemuncak pembunuhan etnik oleh tentera Serbs pimpinan Radovan Karazic. Jika enggan, barulah penghuni Muslim tersebut dibunuh. Ini berbeza dengan Sarajevo bilamana gerombolan tentera Serbs terus menyerbu setiap kampung seterusnya membunuh semua penduduk Muslim tanpa belas. Kalau sesiapa pernah ke Sarajevo khususnya Sbrenica, akan terlihat kawasan tanah perkuburan orang Muslim yang amat luas. Hampir 6 kali keluasan padang bola. Majoritinya lelaki muda yang dibunuh secara kejam. Aku sering memasuki kawasan perkuburan tersebut. Di setiap nisan tertera kematian mereka semasa berusia sekitar 20 - 30 tahun.


Sesungguhnya, dugaan dan cubaan tuhan akan datang dalam pelbagai cara. Samada umat tu sedar atau tidak terpulang kepada tahap keimanan mereka. Aku bukan mahu menghukum mahupun menambah beban derita masyarakat Muslim di sini. Apa yang pasti, masyarakat Muslim di sini terlalu jauh dari hakikat keimanan. Acapkali sekiranya aku bersembahyang Jumaat di Masjid Sarajevo, akan kelihatan agak ramai golongan Muslim yang bersimbang di sebuah cafe bar berhadapan masjid. Semakin kuat suara khutbah, semakin rancak mereka berbual sambil menghirup pivo (beer atau arak). Apa yang mempelikkan (betul ke penambahan bahasa ni ?) aku ialah apabila suara qamat dialunkan, mereka yang sedang minum beer tersebut akan terus memasuki masjid untuk bersembahyang(aku rasa diaorang langsung tak ambik air sembahyang). Aku sering jadi mangsa kerana terpaksa bersembahyang dalam saf yang sama dengan mereka. Mereka mabuk. Akupun turut mabuk kerana menghidu nafas beer yang keterlaluan.

Justeru, inilah hakikat Bosnia. Walaupun ramai yang masih mengekalkan cara hidup Islam tulen namun, ia agak seimbang dengan yang satu saf dengan aku di Masjid Sarajevo. Mereka menghadapi konflik diri dan keimanan. Maka, siapakah yang harus dipersalahkan ?

SUNGAI PLIVA DI BANJA LUKA

Monday, August 13, 2007

Banja Luka 1

Setiap kali ke Banja Luka, aku tidak akan melepaskan peluang untuk melihat Pliva River. Aliran sungai yang mengalir agak deras seolah olah ingin membasuh segala dosa yang pernah terhampar di tebingnya. Kehijauan. Hampir separuh alirannya akan beku tatkala musim salji dari bulan November hingga Mac. Amat indah. Pokok pokok pine dan weepping widow akan kaku dibalut salji yang membeku. Bak kristal.


Musim salji merupakan saat paling dibenci masyarakat di sini. Termasuk aku yang sejak kecil dibesarkan di bawah terik mentari bendang. Suhu kebiasaannya -10 Celcius. Kadang kadang -20 atau -25. Betapa derita dalam mengharungi tempoh tempoh sebegitu. Aku akan sentiasa memakai baju setebal 5 lapis. Under shirt, long john, warm shirt, normal dress dan jacket. Kalau tak akan mati kesejukan. Hampir sepanjang masa aku akan mengharung salji separas lutut bilamana melakukan lawatan di kampung kampung yang dipagari bukit bukau.


Sepanjang aku di Banja Luka, seramai 3 orang jiran aku mati kerana tidak apat menahan bahana kesejukan. Kesemuanya warga tua yang tinggal keseorangan. Puncanya ? Mereka amat miskin. Di sini semasa musim sejuk apa yang terpenting ialah bahan bakar untuk memanaskan rumah. Samada berbentuk elektrik mahupun kayu api yang dibakar di dalam stove. Tarif elektrik amat mahal. Begitu juga kayu api. Untuk mengharungi tempoh musim salji, sebuah rumah perlu membeli kayu api dengan kos RM 3000 ataupun Deutchmarks 1500. Dengan pendapatan isi rumah sekitar Deutchmarks 150 sebulan (RM 300), mampukah mereka membelinya ? Seperkara lagi, pokok untuk diguna sebagai kayu api tidak boleh ditebang sewenang wenangnya. Perlu ada permit khas. Dan hanya pokok pokok tertentu yang boleh diguna sebagai bahan bakar di dalam stove. Kalau kayu getah mungkin dalam tempoh 10 minit dah habis terbakar selain tidak panas. Justeru, mereka yang dhaif terpaksa mengharungi kesejukan siang dan malam. Sedih. Aku yang 24 jam sentiasa berdiang di depan stove pun tidak dapat menahan gigil kesejukan, inikan pula warga warga tua tersebut.

Serbs Bangsa Ditindas ?

Sepanjang setahun di Bosnia, pelbagai reaksi aku perolehi. Rata rata orang Serbs menyatakan bahawa mereka sentiasa tidak mendapat keadilan sewajarnya terutama dunia Barat. Sejarah mereka sering diputar belitkan. Realitinya, orang Serbs menyatakan bahawa bangsa mereka lebih ramai dibunuh semasa Perang Dunia Ke 2 berbanding bangsa Yahudi. Kalau bangsa Yahudi dikatakan kehilangan 5 juta nyawa di tangan tentera Nazi, bangsa Serbs lebih sekali ganda. Samada betul atau tidak fakta tersebut bukanlah tanggungjawab aku untuk membuktikannya.


Namun, dari pergaulan aku dengan masyarakat setempat terutamanya golongan tua Serbs, rata rata mengesahkan hakikat tersebut. Walaupun bahasa Serbs/Bosnia aku tidak sefasih mana, tapi aku masih boleh memahami tutur kata mereka secara perlahan lahan. Dobro jutro (selamat pagi), molim (please), huala (terima kasih), racun (bil) dan segala bentuk bahasa pasar amat aku fahami. Pasal setiap hari aku akan ke pasar. Dan aku akan bercakap bahasa Serbs. Bolehlah juga. Taklah sampai nak beli kentang diaorang bungkuskan tomato..


Di sini, Bahasa Inggeris tidak mendapat tempat. Sama seperti kunjunganku ke Itali dan Perancis. Pening. Bagaimanapun, golongan muda agak liberal sikit. Mereka rela bertutur dalam Bahasa Inggeris walaupun sering mendapat jelingan tajam golongan veteran yang bersemangat 'Yugoslavia for Serbs". Ini ditambah perkataan cyrillics - sama macam perkataan Rusia.


Bangsa Serbs begitu bencikan Amerika. Aku bukan ada apa apa sentimen dalam perkara ini. Itulah hakikat. Tambahan pula Serbs beragama Kristian Orthodoks. Sama seagama dengan Rusia dan Greece. Golongan agama ini tidak mendapat tempat di Eropah Barat yang berfahaman Khatolik. Inilah antara faktor kenapa Croatia yang pernah bergabung di bawah Yugoslavia terselamat dari mendapat kesan yang parah dari konflik Bosnia. Pasal Croatia berpenganut Khatolik. Justeru, mereka diselamatkan oleh Eropah Barat lebih awal. Bosnia dan Serbs ? Biarkan...Mereka tiada tempat di hati Eropah Barat. Muslim dan Orthodoks.


Biar mereka kecundang dalam konflik. Biarkan Serbs ditindas.Biarkan Muslim hilang dari sejarah Bosnia.....

Saturday, August 11, 2007

Stress






Terlalu banyak beban kerja. Assignment. Sampai tak cukup masa. Nearly everyday stay back kat ofis. STRESS. Belum ada masa yang benar benar sesuai untuk concentrate menulis kembali. Untuk sementara waktu biar aku berfikir dulu.....







Friday, August 10, 2007

Aku Tetap Akan Kembali !

Kadang kala rasa malas yang amat sangat untuk mencoret kembali di blog ni. Terlalu banyak komitmen. Nak mengarang begitu kesuntukan masa. Tapi aku tetap ada. Selagi konflik terus menjadi santapan kesedihan manusia. Selagi jiwa tidak puas dengan langkah di rantau konflik. InsyaAllah, aku tetap akan kembali.

Wednesday, May 02, 2007

Banja Luka

Aku akan menulis kembali pengalaman di Banja Luka - wilayah Serb Bosnia. Wilayah yang terlalu banyak menjadi punca mengalirnya darah para muslim Bosnia. Wilayah yang aku harungi selama setahun di mana aku menetap di bandar Prnjavor sekitar 45 km dari Banja Luka. Selama setahun mengadaptasi diri dalam komuniti Serb. Aku akan perincikan segala pengalaman, sikap, mentaliti dan hala tuju bangsa Serb dalam entry yang akan datang. Hakikatnya, aku sengsara, gembira, derita, menangis dan ketawa bersama komuniti ini. Bangsa yang terlibat secara langsung dalam 2 perang dunia. Terkini, perang dunia ketiga yang berlaku di Balkan. Akan aku perincikan konflik tersebut, kewajaran penghapusan etnik serta keluhan dan luahan bangsa Serb. Begitu juga keegoan muslim Bosnia dan laungan meminta simpati dari kalangan sesama Islam setelah sekian lama hidup bertopangkan dunia.


Salam dari rantau konflik.

Friday, April 27, 2007

Pilihan Raya Filipina 14 Mei 2007

Saban hari berita memaparkan keganasan pilihan raya Filipina yang akan diadakan pada 14 Mei 2007. Setakat ini hampir 20 orang telah terbunuh ( statistik tidak rasmi sehingga 25 Apr 2007) angkara keganasan pilihan raya. Angka ini dijangka meningkat menjelang bulan Mei nanti.


Di Malaysia, pilihan raya kecil DUN Ijuk turut akan diadakan. Namun, keadaannya jauh berbeza dengan di Filipina. Aku pernah mengalami sendiri semasa pilihan raya di Flipina pada tahun 2005 dan di Bosnia pada tahun 1998 dan 1999. Terlalu ganas,kejam dan penuh unsur unsur yang tidak dapat aku paparkan di sini. Nyawa pengundi amat murah. Calon yang kaya akan terus meraih majoriti.


Justeru, kita patut berterima kasih dengan kematangan rakyat Malaysia. Tidak pernah berlaku insiden yang mengorbankan nyawa tatkala pilihan raya diadakan. Itu tandanya kita semakin maju. Kita semakin berjaya menongkah polarisasi ideologi. Lantas, inilah yang perlu kita pertahankan. Kegagalan akan membawa segenap generasi ke jurang yang luas dan tidak berpenghujung.


Dan aku akan ke Selatan Filipina sekitar bulan Mei ini. Demi memantapkan lagi langkahku di rantau konflik tersebut...

Saturday, January 13, 2007

Tahun Baru Yang Memenatkan

Masuk tahun baru aku asyik kena 'standby'. Terpaksa tunggu arahan demi arahan untuk 'out station'. Sungguh membosankan. Cuti sekolah last year (Disember 2006) pun tak boleh nak ambil cuti. Desakan tugas. Well, that's part of my commitment during accepting this kind of job.


Kepada kawan kawan yang pernah menjengah blog ini aku ucapkan Selamat Tahun Baru. Penuhi langkah langkah kehidupan dengan langkah yang lebih baik dari sebelumnya. InsyaAllah, langkah tersebut akan sentiasa diberkati. Kejayaan kelak bakal dikecapi.


Aku akan ke Sabah next week. Maybe selama seminggu. Sepatutnya pergi minggu lepas. Tapi pasal berlaku banjir kat sana. Tangguhkan dulu.


Aku tidak tewas untuk menulis di blog ini. Cuma aku kesuntukan masa. Terlalu banyak yang ingin aku kongsikan di sini. Cuma bagi aku : SEDANG KITA BERGEMBIRA, TERLALU RAMAI ORANG YANG MENDERITA. Ini pengalamanku. Pengalaman di rantau konflik.....