Tuesday, July 12, 2005

Tidur Lagi Baik

Kemelut politik di sini reda sedikit setelah pihak Arcbishop Katholik mengeluarkan kenyataan agar Presiden diberi peluang untuk terus memerintah negara. Seolah satu restu yang ditunggu-tunggu. Lantas terpampang keceriaan wajah Presiden. Macam mati hidup semula.

Sebelum ini 2 orang Presiden tersingkir mahupun dipecat setelah Arcbishop mengeluarkan fatwa bahawa mereka tidak layak memimpin. Serentak itu Presiden baru mengambil alih tampuk kuasa.

Di negara yang mempunyai penganut Katholik teramai di dunia, pihak gereja begitu berkuasa dalam mencorak halatuju negara. Ini termasuk soal-soal politik. Putih kata mereka, putihlah kata rakyat. Kalau melanggar umpama melakukan suatu dosa. Baik tak payah langgar. Tak payah tambah dosa...

Aku terasa pelik dengan situasi politik di sini. Terlalu banyak kelemahan. Kemelut ini bermula dengan masalah wiretapping di mana Presiden menghubungi Commissioner of Election. Dalam perbualan, Presiden meminta agar undi yang diperolehi dalam Pilihanraya Presiden dipastikan jumlahnya. To secure majority votes. Takut berlaku penipuan. Kebetulan pihak inteligen membuat rakaman perbualan tersebut. Terus menjadi satu isu.

Isu ini boleh ditutup lebih awal jika Presiden menggunakan alasan national security. Namun, ia terus diseret menjadi isu politik. Semakin merebak. Sehingga kinipun kedudukan Presiden masih tidak stabil. Bila-bila masa boleh digulingkan walaupun pihak gereja merestui agar Presiden terus berkuasa. Mutakhir, seramai 1 juta rakyat (mungkin dibayar oleh pihak pembangkang) dilaporkan akan berkumpul di Makati City, Manila pada hujung minggu ini seterusnya berarak menuju Istana Malacanang, istana Presiden. Hanya satu hasrat mereka- menggulingkan Presiden melalui people power.

Rakyat tetap semakin susah. Susah sesusahnya. Menyebabkan mereka mudah dikotak katikkan. Mudah dibeli. Keadaan politik terus tidak menentu, ekonomi kucar kucir dan situasi keselamatan yang semakin rapuh. Serentak itu mata terasa amat mengantuk. Letih untuk menyaksikan semua ini. Baik tidur je kerana aku sudah muak.

Magandang gabi (good night).


Image hosted by TinyPic.com
Muak, letih, mengantuk....

Image hosted by TinyPic.com
Huarghhhhh......

Murahnya Nyawa...

Pagi tadi sekitar jam 9.00. Aku masih berada di rumah. Bersiap-siap untuk urusan di luar. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman. Kuat seolah-olah bunyi mercun. Aku tahu dentuman tersebut adalah bunyi pistol. Kerana tune tu memang tune pistol. Dah aku tahu tune tu. Nak buat macam mana.

Serentak itu juga aku keluar ke beranda. Ternampak kelibat jiranku berlari ke jalanraya. Kelam kabut. Apa hal pulak ni. Aku bertanya diri sendiri. Naluri ingin mengetahui membawa aku untuk meninjau apa yang berlaku. Masa tu dah ada tiga empat orang berkumpul. Apabila kuhampiri terlihat seorang lelaki terbujur di kakilima jalan. Berumur sekitar 40 an dengan darah mengalir di kepalanya. Masih merah. Penuh membasahi rumput di gigi jalan. Tiada alunan nafas di dada lelaki tersebut. Yang jelas terdapat kesan tembakan dari dagu sebelah kiri menembusi belakang kepala sebelah kanan. Mati di situ juga. Satu lagi nyawa melayang sebegitu mudah. Dan jarak pembunuhan tersebut lebihkurang 30 meter dari rumah aku....

Dari maklumat, mangsa beragama Islam dibunuh ekoran dendam keluarga. Rido menurut panggilan orang sini. Di rantau konflik ini Rido paling kerap berlaku. Sejak aku di sini, sudah hampir 60 orang terkorban ekoran dendam keluarga. Dibunuh oleh pembunuh upahan. Di kawasan jalan berhampiran rumah aku je dah berlaku 3 kejadian. Apa yang menyedihkan, Rido hanya wujud di kalangan masyarakat Islam....

Tidak hairan semua ini berlaku. Masyarakat di sini terkenal dengan sifat kuat berdendam, keras kepala dan amat mementingkan suku keluarga. Dendam mereka tidak akan pupus walaupun beberapa generasi berlalu. Ini yang mereka banggakan. Selain itu, senjatapi begitu mudah diperolehi. Boleh dibeli di kedai senjata yang begitu banyak di sini. Sepucuk pistol hanya berharga sekitar Peso 10,000 (RM 700). Peluru hanya Peso 10 (70 sen) sebutir. Murah kan.

Dari perbualan aku dengan beberapa orang yang pernah terlibat dalam Rido, mereka bertanggapan tidak perlu membuat laporan Polis sekiranya anggota keluarga mereka dibunuh. Bagi mereka pihak Polis tidak akan bertindak walaupun mengetahui siapa pembunuh. Mereka mudah dirasuah. Di sini kegiatan jenayah begitu mudah ditutup dengan rasuah. Lantas, jalan mudah ialah membalas dendam. Bunuh balik orang yang membunuh ahli keluarga mereka. Keadaan ini akan berterusan. Chained reaction.

Jauh di sudut hati aku bersyukur. Negara aku jauh terlalu baik dan sempurna. Negara yang mendaulatkan undang-undang. Masyarakat yang jauh lebih bertamadun.

Namun, inipun masih ditohmah oleh mereka tidak bertanggungjawab. Dengan tuduhan Malaysia zalim, Malaysia menafikan hak asasi manusia, kerajaan kejam.

Bagi mereka, datanglah ke rantau konflik ini. Kedatangan yang amat kualukan. Buat perbandingan. Jadilah masyarakat sini. Jadilah pejuang penentang kezaliman. Perjuangkanlah hak asasi di sini. Perjuangkanlah undang-undang sebenar. Kerana di sini medan paling layak. Semuga kalian berani.....

MABUHAY sa inyong lahat (welcome to all of you).

Monday, July 11, 2005

Mereka Menceriakan Aku

Masih tidak pasti sampai bila aku akan terus melangkah di rantau konflik ini. Saban hari semakin sesak kurasakan. Konflik masih berterusan walaupun tidak sekerap selalu. Tidak terdengar lagi penembak rambang menaburkan peluru senapang di tengah-tengah bandar. Di tengah pasar. Tidak terkesan lagi pembunuh-pembunuh ganas mencabut nyawa sewenang-wenangnya. Tidak berlaku lagi nyawa diragut hanya kerana sesuap nasi. Namun keamanan masih jauh. Masih tidak jelas daratannya. Mereka terus degil. Dan kini kemelut melanda lagi.....

Dalam aku termangu ini, muncul nama-nama yang kuanggap banyak memberi semangat untuk aku terus berada di sini. Terima kasih Ogy KLD, Ungku Nor, Budak Sekolah, Pak Bear, Pak Wattan, Joe Perantau. Serta ramai lagi nama-nama yang pernah kujelajahi blog mereka.

Mereka tidak pernah kukenali secara peribadi. Bagaimanapun, keikhlasan mereka, persahabatan yang dihulur, nilai-nilai murni yang dipapar membuat aku merasa seolah telah lama mengenali mereka. Terasa seakan keluargaku sendiri. Adik-adik, kakak-kakak dan abang-abangku. Amat rapat.

Doaku agar kalian sentiasa gembira bersama keluarga, dirahmati Allah, dimurahkan rezeki dan berjaya dalam semua lapangan yang diceburi. InsyaAllah, ada umur akan jumpa kalian di Malaysia nanti....

Sunday, July 10, 2005

Message

Semasa aku sedang menonton tv bagi mengetahui perkembangan politik rantau ini, hand phone aku berbunyi. Terima message. Dari kawan baik aku di kampung. Bujang lagi. Bujang terlajak atau tidak aku no comment. Dah lama dia nih tak hantar message kat aku. Selalunya message yang dia hantar memperihalkan perkembangan mutakhir kat kampung. Kadang-kadang berita kematian. Tidak berapa menggembirakan. Message tu lebihkurang begini :

"Bat, aku nak beritahu kau satu berita ni.
Mat Sangkut sekarang berada dalam dilema.
Kalau boleh kau balik kampung cepat ler Bat".

Aku tergamam. Berfikir sekejap. Berada 'dalam dilema' tu kemungkinan sama makna dengan 'dalam nazak'. Mungkin kawan aku tak sampai hati nak tulis perkataan sebenar. Mungkin terlampau sebak. Tak tergamak. Jari-jarinya tak mampu meneruskan kata-kata. Mungkin nama yang dia tulis tu tengah nazak. Tu sebab dia suruh aku balik cepat. Ingat dekat ke ?

Tanpa bertangguh akupun menelefon kawan aku tu. "Betul ke berita ni?". Aku bertanya kerana nama yang dia beritahu tu agak rapat dengan aku. Member kamcing. Dah tua bebetul. Tapi rugged. Berjiwa remaja. Ray Ban sangkut kat dahi lagi.

Kawan aku tu jawab, " dia dalam dilema kerana tak dapat masuk Akademi Fantasia". Aku pening. Dahlah keadaan di sini tak stabil. Kawan aku pulak buat lawak tak berapa stabil. Terbang juga bil telefon aku RM 5.00 buat call. Hawau.....

Ogy KLD tentu kenal kawan aku tu..

Saturday, July 09, 2005

Politik Semakin Goyah

Hari ini seramai 10 orang Menteri Kabinet Filipina meletak jawatan secara serentak. Mereka berbuat demikian setelah didesak oleh Presiden. Sebelum itu, Presiden turut diminta melepaskan jawatan kerana gagal membawa pembaharuan terhadap negara ini. Namun, beliau enggan. Kini beliau pula mendesak Menterinya meletak jawatan..

Pada jam 6.00 petang tadi siaran langsung di tv menyiarkan kenyataan Presiden bahawa beliau akan terus memegang kuasa. Hanya Kongres yang boleh membuat prosedur untuk memecatnya (impeachment). Bagaimanapun, proses ini memakan masa dan memerlukan bukti pemecatan yang kukuh. Serentak kenyataan itu, rakyat terus berkumpul di Manila. Jumlah mereka semakin bertambah dan berkemungkinan akan berarak ke Istana Presiden bagi menggulingkannya. Ini tidak mengairankan kerana tindakan ini bukan baru di sini. Politik seolah satu barang mainan. Satu barang yang murah. Jadi, tidak hairan rakyat di sini kebanyakannya susah. Kerana mereka tidak tahu menilai politik. Mereka tidak mampu menghargai kestabilan kerajaan. Mereka tidak menghargai keamanan. Yang kaya hanya mereka yang memegang watak dalam politik. Rakyat hanya tukang sorak. Tukang tepuk. Penyudahnya ? Suara mereka yang serak. Tangan mereka yang perit...

Aku pun selepas tu terpaksalah ke bandar untuk membeli stok makanan. Manalah tahu keadaan menjadi tidak menentu. Jadi sebagai langkah berjaga-jaga aku beli barang makanan yang mampu bertahan untuk seminggu. Ikan, sayur dan pelbagai barangan basah. Kalau terus tak stabil aku balik je Malaysia. Lagi senang duduk di negara sendiri. Tak risau apa-apa...

Senang nak beli durian nanti.....

Image hosted by TinyPic.com
Kedai runcit ini yang memberiku semangat untuk ke bandar.
Sama dengan nama kakak aku.

Image hosted by TinyPic.com
Peniaga buta.

Image hosted by TinyPic.com
Gerai ayam dan daging halal.

Image hosted by TinyPic.com
Restoran fast food.

Image hosted by TinyPic.com
Penjual ubi kayu.

Image hosted by TinyPic.com
Kelapa muda - Peso 10 ( 70 sen ) sebiji.

Image hosted by TinyPic.com
Labu.

Image hosted by TinyPic.com
Beliau terlalu tua tapi demi kesinambungan hidup...

Image hosted by TinyPic.com
Barang jualan....

Image hosted by TinyPic.com
Beca.

Friday, July 08, 2005

Memang Susah

Dalam beberapa penugasan aku di luar negara, rantau konflik inilah yang paling banyak mengajar aku agar lebih matang menilai tingkah laku manusia. Apa tidaknya. Sejak setahun di sini, semua muka yang aku jumpa tak pernah menunjukkan keceriaan. Memanjang ada masalah. Memanjang je susah. 'No money sir'...

Semua tu alasan agar aku cepat simpati. Entahlah. Aku ni pulak memang mudah kesiankan orang. Tambahan rantau ini didiami oleh mereka yang dikategorikan susah. Ini ku nilai dari keadaan struktur masyarakat dan taraf hidup mereka. Memang keadaan inilah menjadi panduan kita dalam membuat kajian sosial.

Namun, dalam beberapa orang yang aku kenal serta sering menceritakan kesusahannya didapati mereka ini memiliki perniagaan sendiri. Kedai runcit, mengusahakan kenderaan awam, bengkel kereta dan pelbagai jenis perniagaan lain. Pendapatan mereka kadang-kadang amat mewah diukur dengan harga barangan di sini. Itupun masih merungut dan sentiasa berasakan rezeki yang tidak mencukupi.

Entahlah. Mungkin depan aku diaorang sengaja melahirkan kesusahan. Luahkan segala masalah. Kerana berharap aku akan meringankan kesusahan mereka. Beri mereka duit. Diaorang ingat aku orang kaya kerana bagi mereka Malaysia adalah negara kaya. Negara yang menjadi destinasi mereka untuk kesinambungan hidup. Negara yang menjanjikan anjakan paradigma. Negara yang sering menjanjikan masa depan yang lebih terjamin.

Itu sebab negara kita menjadi tumpuan masyarakat rantau ini. Hanya yakin negara kita yang dapat memperbaiki kehidupan mereka. Itu sebab semua yang jumpa aku akan terkeluar perkataan pertama ' very difficult to live here, it's better for me to work in Malaysia'.

Semakin lama aku di sini semakin susah kurasakan. Tektik melatah, nak pengsan, buat-buat demam, tertinggal beg duit, duit hilang, mudah terperanjat, nenek meninggal dunia (banyak kali pulak tu) semuanya dah dipertontonkan depan aku. Dan diaorang tak pernah merasa malu walaupun beberapa kali penipuan ini terbongkar. Selamba je muka. Kalau marah nanti dia buat pengsan, buat terperanjat. Kalau betul-betul pengsan dan bukan lakunan, aku juga yang susah.

Memang susah.....

Wednesday, July 06, 2005

Timing Belt

Lagi satu cerita orang kat sini. Pasal staff (driver) aku juga. Pagi-pagi buta dah datang jumpa aku. Beritahu timing belt Pajero dah due. Dah wajib kena tukar. Kalau tak tukar nanti takut terputus tengah jalan. Enjin jem. Kena over haul.


Akupun tanpa banyak soal terus ke bengkel. Kebetulan kenderaan tu dah memang time nak tukar minyak hitam. Tukar minyak hitam, buat tune-up. Semuanya lebih kurang Peso 2,200 (RM 154.00). Lepas tu aku mula bertanya pada mekanik kos untuk tukar timing belt. Kalau local spare part lebihkurang Peso 1,950 (RM 138), upah mekanik Peso 1,500 (RM 135). Kalau original lebihkurang Peso 3,500 (RM 245) tak termasuk upah. Tak semahal mana berbanding negara kita.


Masa sibuk bertanya mekanik, staff aku mencelah. Beritahu 2 minggu lepas dia kirim dengan isterinya agar membeli alat ganti timing belt untuk vannya. Kebetulan masa tu isterinya hendak ke Davao yang mana spare-part kat bandar tersebut lebih murah berbanding Cotabato ini.

Nak tersilap (entah betul entah tidak) , isterinya terbeli timing belt untuk Pajero. Bukan untuk van. Langsung tak boleh pasang. Mahal pulak tu. Lebihkurang Peso 3,400. Jadinya, staff tersebut dengan penuh lemah lembut memujuk aku agar beli jer timing belt dari dia. Resit untuk aku claim tak menjadi masalah kerana dia boleh dapatkan. Patutlah sejak minggu lepas dia takutkan aku. Beritahu bahaya kalau timing belt tak tukar. Takut putus masa kereta tengah jalan.

Fikir punya fikir akupun ajak dia balik ke rumah dulu. Makan tengahari. Masa dia tengah makan aku pergi check bacaan odometer Pajero tu. Rupanya baru mencecah 61,234 km.

Akupun beritahu staff tu. ' No need to change the timing belt. The odometer reading is not even reach 80,000 km. We will change it when the reading is 80,000 - 100,000 km.' 'No need to change sir ? Halus je suara dia tanya aku balik. Macam tak berapa jelas. Tersekat kat kerongkong. Seolah suara orang tengah nazak.

Inilah orang sini. Tak berapa boleh dipercayai walaupun diaorang staff kita. Kerja sama kita. Dah jadi rakan kita. Apa yang diaorang buat lebih untuk kepentingan sendiri...

Yang aku pelik, staff ni nampak sesak je. Pokai. Nak beli rokok pun payah. Memanjang minta sebatang dari aku. Tiba-tiba dia gi beli timing belt yang tidak boleh pasang kat van dia. Mahal pulak tu. Peso 3,400. Kira sebulan gaji kat sini. Jadi aku buat kesimpulan jangan melibatkan diri dalam masalah dia nih. Entah dari mana dia dapat barang tu. Silap-silap barang curi.

Biarlah dia tunggu bacaan odometer tu jejak 100,000 km. Baru boleh tukar. Dan masa tu aku mungkin dah tamat tugas kat sini. Kat rantau konflik ini. Dah balik ke negara aku dah.

Bila aku jengah keluar, aku tenguk dia tengah belek enjin Pajero. Lepas tu tenguk kat dash board. Tiga empat kali ulang alik. Entah apa dia buat akupun tak tahu. Siap dengan kerut muka. Nampak betul-betul susah hati dengan bacaan odometer tu.

Entah-entah dia pusingkan bacaan odometer tu biar jadi angka 100,000!. Ataupun dia cuba kerat timing belt biar cepat genting. Boleh ganti !.

Aku malas nak fikir....

Tuesday, July 05, 2005

Politik ! Politik !

Minggu lepas berita suami Presiden heboh dalam surat khabar. Meninggalkan negara untuk ke Amerika Syarikat. Tujuan ialah bagi mengelak keadaan lebih buruk jika terus berada di sini setelah dibabitkan dalam skandal judi. So, bagi memulihkan imej isterinya selain tidak mengganggu proses siasatan Kongres, eloklah keluar negara. Kira macam kes merajuklah nih. Berapa lama tak tahu. Bini siap menangis masa hantar kat airport. Mungkin pertemuan terakhir.

Lepas 5 hari keluar negara, tup-tup dah sampai balik kat airport. Pakai baju yang sama. Tie pun aku tenguk sama jer. Betul ke keluar negara ? Aku nak tergelak tenguk sandiwara begini. Tak sampai 5 hari dah balik. Masa nak pergi dulu betul-betul macam orang dulu-dulu nak pergi haji. Naik kapal laut. Berbulan-bulan tengah laut. Bawak periuk belanga. Bawak beras, lauk pauk. Entah hidup entah mati.

Pada aku wayang sebegini dah tak sepatutnya ditayangkan lagi. Umum dah bosan. Penuntun dah pupus !

Yang jelas, dia nak berlakun juga. Aku dah banyak kali menelah dalam entry terdahulu bahawa orang di sini cukup pandai berlakun. Betul telahanku. Namun lakunan yang ini gagal. Masa kat airport dia ingat orang ramai akan pujuk. Pujuk agar tidak meninggalkan negara. Meraung-raung tarik baju dia. Biar tak dapat masuk Departure Hall. Rupanya sorangpun tak ambil kisah. Orang buat tak tahu. Last-last terjengul balik.....

Ini politik sini. Macam-macam perkara pelik boleh terjadi. Mereka bangga mengaku amat matang dalam politik. Kematangan merekalah yang menyebabkan keadaan tidak pernah stabil. Kerap bertukar pemimpin. Bersengketa sesama mereka. Dan banyak lagi anasir negatif yang amat tidak adil jika aku dedahkan. Itu sebab aku tak suka politik. Kerana ia arena paling mudah ke arah penyalahgunaan kuasa - 'Absolute power corrupt absolutely'.

Di negara aku juga tersingkap beberapa perkembangan politik negatif. Nafsu serakah beberapa ahli politik. Itu hal mereka. Tabiat mereka. Segelintir dari mereka. Bukan semua kerana aku yakin ramai lagi ahli politik yang bersih. Yang jujur. Tidak tamak. Berjuang demi agama dan bangsa.

Jangan jadi seperti rantau konflik ini. Mereka terpaksa memperjuangkan maruah bangsa dan agama setelah ianya digadai oleh pemimpin terdahulu.......!!

Monday, July 04, 2005

Keadaan Tidak Stabil

Hari Ahad. Aku tak pergi ke mana-mana. Mungkin petang akan ke pasar. Shopping barangan dapur. Harga barangan basah di pasar mungkin murah sikit dari negara kita. Murah dalam RM 2.00 - RM 3.00. Tapi dibanding dengan keadaan masyarakatnya, barangan di negara kita lebih murah. Rakyat negara kita majoritinya agak senang. Banyak kerja ditawarkan seperti kerja kilang. Terpulang mahu kerja atau tidak. Di sini rakyat ramai. Semua nak kerja. Masalahnya, kerja tak ada. Kilang tak ada. Ladang-ladang tak ada. Kuasa beli mereka amat lemah. Tiada duit. Justeru, barangan pasar amat mahal berdasar keadaan di sini.


Dalam kesusahan rakyatnya, situasi politik di sini pulak sedang bergolak. Pihak kerajaan dalam tempuh terdekat ni tidak akan dapat menumpukan perhatian ke arah pembangunan ekonomi. Terpaksa bergelut menangkis tohmahan dan tindakan-tindakan drastik pembangkang. Tunjuk perasaan demi tunjuk perasaan. Dan rakyat terus semakin dhaif. Tidak ada masa untuk memikirkan masalah tersebut. Yang perlu difikirkan ialah ada rezekikah mereka esok hari. Akan bernafaskah untuk seminggu ini. Jika tidak, di manakah mereka akan dikuburkan.....?

Image hosted by TinyPic.com
Kesan serangan bom.

Image hosted by TinyPic.com
Rumah musnah akibat serangan bom.

Image hosted by TinyPic.com
Rumah musnah akibat serangan bom. 3 penghuninya mati.

Image hosted by TinyPic.com
Budak ini sepatutnya sedang bersekolah Tingkatan 4.

Image hosted by TinyPic.com
High power weapon.

Image hosted by TinyPic.com
Lengkap bersenjata. Pergi menggadaikan nasib dan nyawa......


Gambar-gambar di atas adalah paparan semasa aku memasuki kubu kuat kumpulan pejuang di rantau konflik ini. Sebuah kawasan luas berpaya, sungai-sungai penuh buaya dan hutan pokok bakau. Seluas 40 ribu ekar. Di tengah-tengah rantau konflik ini. Hanya boleh dimasuki menerusi jalan air. Dengan berperahu. Pihak berkuasa di sinipun tidak dapat menembusi kubu ini. Sudah tentu akan membawa pulang mayat rakan-rakan. Begitu utuh dan penuh tempat-tempat persembunyian. Cuma serangan udara yang mampu dilakukan. Dan aku berjaya memasukinya. Kerana apa ? Kerana mereka mengenali aku. Kerana aku mampu memanipulasi kesusahan masyarakat kawasan tersebut. Mereka hanya mahukan simpati.

Mungkin dalam lawatan kali kedua nanti wajah-wajah tersebut sudah tiada lagi. Sudah mati bersama impian yang tidak menjadi realiti.....

Sunday, July 03, 2005

Pergi Upacara Perkahwinan

Tengahari tadi menghadiri upacara perkahwinan salah seorang local staff kat sini. Diadakan di sebuah gereja sebelum ke majlis reception. Aku tak makan ler lauk pauk semasa reception tersebut. MAKLUM LER.....ada lauk spesis tu. Makhluk tu. "Baboi" bahasa orang sini. Manja jer bunyi nama makhluk tu. Macam panggilan manja bebudak - 'boy'.


Nak ambil hati, aku makan sikit kek sama coke. Lepas tu buat alasan nak balik. Sakit perut. Siap berlari ke kenderaan sambil pegang perut. Nak hidup di rantau konflik ni kena pandai berlakun. Dan aku pun dah mula terikut-ikut lakunan penduduk sini.


Sampai rumah aku tidur.

Thursday, June 30, 2005

Aku Dah Agak Dah

Musim-musim hujan ni nyamuk agak banyak. Melambak mati bila aku sembur dengan racun serangga. Ini yang membuat aku bimbang. Terpaksalah menelan pil Pansidar dan Chloroquine, dua jenis pil khusus untuk mengelak demam malaria. Sekurang-kurangnya antibodi nanti kuat sikit nak lawan penyakit tu.


Masa kat dapur selepas makan malam tadipun aku tenguk banyak betul nyamuk hinggap kat dinding. Kat kitchen cabinet. Nak sembur racun bahaya pulak pasal banyak makanan kat situ. Lalu perlahan-lahan aku bangun dan terus menamparnya. "Pang"..kuat bunyi tamparan aku tu. Maklumlah cabinet kayu. Serentak itu juga sebiji cawan turut ter"pang" dalam sink. Maid aku yang sedang membasuhnya terlepas dari pegangan kerana terperanjat. Terperanjat dengar bunyi aku tampar nyamuk. Hampir-hampir nak disusuli dengan latah. Baru nak start tapi terbantut oleh bersin. Maid aku terbersin kerana musim hujan ni mungkin mudah kena selsema. Terus tak jadi nak melatah. Postpone esok agaknya.


22 Jun tempuhari sebiji piring pecah. Terlepas dari tangan dia. Langsung tak terperanjat. Relax jer. Tak ada tanda nak melatah. Pasal hari tu dia dapat gaji. Ni pulak lebihkurang seminggu dapat gaji dah mula meragam balik. Asyik nak terperanjat dan melatah. Tampar nyamuk pun terperanjat. Pecah pulak sebiji cawan.


Entahlah. Akupun jadi bengong dibuatnya. Nak tukar maid lain bukan senang kerana dia ni dah pandai juga masak masakan melayu. Sedap dah dia masak. Hasil didikan aku. Tunjuk ajar aku.


Dan apa yang penting maid aku ni tak boleh dengar gurauan aku untuk cari maid lain. Dah nampak macam ada tanda tanda buat tektik nak pengsan. Bimbang juga kalau dia pengsan. Mana tahu pengsan terus tak bangun-bangun sampai ler ke tanah wakaf. Maklumlah dah tua. Siapa yang susah? Aku juga yang susah pasal takde orang nak masak nanti.


Orang di sini mampu buat apa saja demi kesinambungan hidup. Demi sesuap nasi. Cukup pandai berlakun dan mencetus mimik muka seribu rupa. Itu sebab industri filem dan hiburan di sini lebih maju dari negara kita. Pasal kalau babak pengsan diaorang akan pengsan betul betul. Babak mati akan mati betul betul. Apa nak heran. Di sini nyawa lebih murah dari sekilo ayam.


Yalah, kena buat betul betul. Bukan senang nak cari kerja di rantau konflik ni....

Wednesday, June 29, 2005

Musim Hujan

Dah makin kerap hujan di sini. Hampir saban hari. Agak lebat walaupun tidak mengambil masa yang lama. Paras air sungai Tamontaka di Cotabato semakin naik. Pagi tadi semasa aku melintasi jambatan di sungai tersebut, air sudah hampir menjejak lantai rumah-rumah setinggan yang banyak dibina di tebingnya. Rumah yang diduduki oleh orang dhaif- miskin yang teramat miskin. Seakan turut bergoyang dialun arus sungai. Entah bila akan hanyut bersama penghuninya. Hanyut ditelan arus yang semakin deras dan ganas.


Dan setakat ini tiada usaha untuk mengambil tindakan kecemasan sekiranya bencana menimpa. Pemimpin di sini seolah bertanggapan biarlah rumah tersebut ditelan arus. Biarlah penghuni terkapai lemas. Kerana mereka ini dhaif. Mereka ini sampah masyarakat. Mereka ini pengganggu pandangan. Biar mereka tidak wujud.


Hanya orang kaya yang layak hidup di rantau konflik ini....


Image hosted by TinyPic.com
Antara 'Taiko' di bandar rantau konflik

Image hosted by TinyPic.com
Bank Penanam Penanam Kelapa Bersatu ?

Image hosted by TinyPic.com
Pawnshop (pajak gadai) adalah perniagaan paling menguntungkan
di sini. Kesenangan dari kesusahan orang.


Image hosted by TinyPic.com
Street Boys - budak jalanan yang terlalu ramai di rantau konflik ini.

Tuesday, June 28, 2005

Presiden Minta Maaf

Pukul 7.00 malam tadi Presiden negara ni membuat pengumuman penting. Aku awal-awal lagi dah terpacak depan tv. Takut miss ucapan beliau. Ucapan amat penting yang dijangka akan dapat mengakhiri kemelut politik yang melanda negara ini sejak 3 minggu yang lepas. Kemelut yang mencetus beberapa tunjuk perasaan di bandaraya. Berkait rakaman percakapan telefon antara Presiden dengan Suruhanjaya Pilihanraya.


Muncul dengan wajah kosong. Mimik kesedihan penuh berharap. Presiden membuat pengakuan ada membuat panggilan telefon agar pihak Suruhanjaya Pilihanraya memastikan kemenangannya dalam Pilihanraya Presiden. Namun, panggilan itu dibuat setelah beliau pasti telah memenangi pilihanraya berdasar pengiraan undi awal. Jadi bagi memastikan agar tidak berlaku penipuan, beliau membuat panggilan tersebut...


Presiden seterusnya menyatakan perbuatan tersebut adalah demi kebaikan negara. Bagi menghindarkan penipuan dalam pilihanraya. Seribu kemaafan beliau pinta dari rakyat kerana dia tidak sedar perbuatannya adalah satu kesalahan. Penuh sayu. Hampir menitiskan airmata.
Kelemahannya cuma tak pakai baju koyak rabak masa dalam tv. Macam orang miskin di sini. Lagi mudah menarik simpati rakyat.


Ini politik. Di rantau konflik ini. Aku tak mahu nak komen. Kat negara aku juga terdengar berita seorang pemimpin kanan digantung keahlian parti kerana politik wang. Inipun aku tak boleh dan tak mahu nak komen. Kerana aku tak minat dan tidak suka politik. Aku tidak akan terlibat dalam politik.


Cuma apa yang perlu direnungkan ialah keadaan sesebuah negara yang akan lemah jika ahli politiknya lemah. Ahli politiknya korup. Ahli politiknya tidak mahu memperjuangkan bangsa. Menyalah gunakan kuasa.


Kemungkinan masalah inilah yang dihadapi di rantau konflik ini. Menyebabkan rakyatnya hidup menderita.


Janganlah keadaan ini berlaku di negara aku.

Monday, June 27, 2005

Hari Ahad

Hari untuk relax. Maid akupun off hari ni. Sejak 22 Jun (dapat gaji) belum terkesan lagi dia melatah..


Tengahari tadi berjaya masak korma daging dengan nasi tomato. Sedap atau tidak soal lain. Yang penting kuah yang aku masak tu memang kuah korma.


Nasi tu pulak warna merah. Warna merah kan nasi tomato !.
Pertama kali try masak.


Lepas makan on komputer kejap. Mata mengantuk - tidur.
Petang jogging. Kat padang sekolah. Saja nak keluar peluh.
Nak kurangkan kalestrol. Takut GEMUK.......


Kejap lagi nak tidur. Senang betul hidup di rantau konflik nih...

Sunday, June 26, 2005

Untuk sahabatku

Image hosted by TinyPic.com


Apakah durian ?

Sejenis buah yang sangat sedap hingga digelar 'Raja Buah'. Durian diberi nama begitu rupa kerana keadaan fizikalnya yang berduri itu. Tetapi, walaupun berduri, isi di dalam lembut, wangi, berlemak dan sangat sedap. Tiada buah di dunia ini sesedap buah durian. Durian boleh didapati dengan banyaknya di Kampung Chinchin, Jasin, Melaka. Anda boleh membelinya secara borong dan murah dari Pok San (buka gerai depan rumah Burn), Kati (pekerja di bengkel Wahid Besi) ataupun Kelincai (apek rambut blond yang beralamat Kampung Lombong, Chinchin).

Resepi-resepi yang boleh dimasukkan durian :

Kuih koci inti durian
Lempuk durian
Ikan air tawar (beli dari Mat Sangkut yang menjaring di Tebat, depan opis KLD) masak cili api tempoyak


dan berbagai lagilah .. malas lak nak tulis ..

TETAPI paling sedap .. dimakan begitu sahaja.

i tahu i kejam .. hahahahahaha. Jangan marah ye Bat !

-penghack blog orang-

Tak Berselera Nak Makan

Malam tadi tak berapa berselera nak makan. Betul-betul tak berselera. Tak mampu untuk meneruskan suapan. Entah kenapa. Hati seakan hambar untuk menghabiskan lauk yang terhidang.

Pasal apa? Aku terbayang wajah-wajah sebuah keluarga yang kehilangan bapa dan suami. Hilang tanpa berita setelah diculik. Desas desus boleh dipercayai mengatakan lelaki tersebut telah dibunuh. Beliau bukan orang kaya. Miskin. Dan mungkin terlalu miskin. Hanya berniaga barang keperluan rumah secara menjaja ke setiap ceruk kampung. Secara mengambil upah. Mengharapkan komisyen jika barangan laku. Bermodalkan beg usang.

Dan rumahnya. Hanya menunggu masa untuk menyembah bumi. Takdir tetap takdir. Aku hanya mampu memandang sayu. Jauh di sudut hati aku menangis semau-maunya. Benar-benar pilu. Kenapa ada manusia sekejam begini ?

Anak-anaknya? Mungkin tak makan malam ni......


Image hosted by TinyPic.com
Rumah usang ini....

Image hosted by TinyPic.com
Budak ini. Makan ke dia ? Menanti bapa yang telah dibunuh.

Image hosted by TinyPic.com
Ada masa depankah dia ? Harap takdir menyebelahinya.

Image hosted by TinyPic.com
Ibu yang akan terpaksa membesarkan 6 orang anak.

Saturday, June 25, 2005

Di Bengkel Kereta Sepanjang Hari

Pukul 9.00 pagi tadi aku dengan drebar dah terpacak kat bengkel kereta. Van nak kena servis. Tukar minyak hitam, oil filter dan gasket.

Bengkel agak besar. Penuh dengan kenderaan. Terpaksa tunggu hampir satu jam barulah tiba giliran van aku. Mekanik kebanyakannya masih muda. Masih budak-budak. Pakai seluar pendek. Berselipar jepun. Tak macam mekanik tempat kita. Smart semacam. Yang buat aku pening ialah ramai sangat yang berkelibut kat kereta. Semua pegang sepanar. Kerja satu apapun tak jalan. Kejap pergi tempat lain. Capai drebar skrew (screw driver). Ambil balik sepanar. Pergi dekat van aku. Jalan balik ke tempat lain. Ambi bolt dan nat. Buka tayar. Pam angin. Hisap rokok.

Sampai pukul 12.00 tengahari baru nak mula buang minyak kotor. Minyak enjin. Baru nak tukar oil filter. Aku tak boleh tunggu pasal hari ni hari Jumaat. Nak pergi sembahyang. Terpaksa minta tolong mekanik hantar aku balik ke rumah. Sembahyang dan makan tengahari. Drebar aku tunggu kat bengkel. Bukan apa. Takut van tuh kena sapu dek penyangak. Susah juga nak jawab dengan gomen kat sini.

Lebihkurang pukul 2.00 petang member tu telefon dari bengkel. Maklum kena repair fuel pump. Oklah. Terpaksa order benda tu dari kedai lain. Dan terpaksa tunggu mekanik yang khas untuk pasang benda tu. Mekanik lain tak tamat belajar lagi. Mekanik yang pakar ni hanya akan datang pukul 3.00 petang....

Pukul 3.00 petang aku dah ada semula kat bengkel. Terus mekanik tu minta duit dari aku. Nak pergi ke kedai spare-part. Nak beli dan pasang alat kat fuel pump. Aku hulur Peso 3,000 (RM 210). Tunggu punya tunggu pukul 6.30 petang baru mekanik tu sampai balik ke bengkel. Kata tak sampai satu jam. Aku punya ler nak marah. Tak boleh nak cakap. Nasib baik tempat orang....

Bila siap pasang fuel pump, timing enjin pulak lari. Dah macam bunyi enjin motobot. Terkial-kial mekanik yang dikata pakar tu ketatkan mana-mana skrew yang patut. Masih sumbang juga aku dengar. Hampir pukul 7.30 malam aku masih lagi kat bengkel. Beberapa staf kat bengkel tu terpaksa overtime dek kerana aku. Ataupun memang sengaja nak overtime dengan aku dijadikan scapegoat. Itu aku tak tahu. Hampir 6 orang kesemuanya. Walaupun mekanik yang bekerja sebenarnya hanya sorang.

Terlalu lama. Sehari suntuk kat sini. Terus aku pergi ke kaunter. Minta bil. Jumlah semua Peso 7,300 (RM 521). Terus bayar. Dan sekali lagi aku minta pekerja bengkel tu hantar aku balik rumah. Perasaan letih, lapar, geram, benci berbaur. Drebar kusuruh tunggu kat bengkel. Tunggu sampai van siap. Kalau tak siap tidur jer kat bengkel tuh. Pasal dia yang gatal sangat goda aku agar tukar semua barang.

Dan sampai masa nih drebar tuh tak balik lagi.... mungkin tidur kat bengkel agaknya.

Inilah masalah di sini. Di rantau konflik ini. Tak ada seorangpun yang boleh kita percayai. Aku boleh suruh drebar aku pergi sorang ke bengkel. Tapi penyudahnya? Bil akan menjadi dua kali ganda. Separuh akan masuk ke poketnya. Aku juga boleh tinggalkan van tu kat bengkel. Penyudahnya? Dengan enjin enjin van akan ditukar baru. Cat pun tukar lain.

Aku tak faham. Dan tak akan cuba hendak faham. Cuma yang aku tahu rantau ini berkonflik. Konflik ekoran tidak faham sesama mereka. Menyebabkan mereka tiada hala tuju. Sentiasa berfikiran untuk menipu. Tiada matlamat hidup. Kehilangan maruah dan harga diri. Sentiasa dihimpit kematian. Kerana nyawa tidak ada erti di sini. Hiduplah mereka dalam lingkungan survival of the fittest.......

Dan di negara aku? Generasi muda tidak pernah menyusuri kedhaifan hidup sebegini. Mereka lalai. Alpa. Kerana tiada teladan yang hendak mereka sempadani. Ekoran lahir mereka didodoi kemewahan. Kemewahan yang menyebabkan mereka turut kehilangan maruah diri. Hilang harga diri.

Mungkinkah generasiku akan turut senasib dengan masyarakat di rantau konflik ini?


Image hosted by TinyPic.com
Nak tukar minyak enjin kena buka tayar ?

Image hosted by TinyPic.com
Kenderaan awam yang dibaiki di bengkel

Image hosted by TinyPic.com
Nak buka skrew- 4 orang mekanik ?

Image hosted by TinyPic.com
Security kat sebelah bengkel. Macam jaga Bank
Negara.

Image hosted by TinyPic.com
Security bengkel kereta

Image hosted by TinyPic.com
Security- senjata adalah kuasa di rantau sini...

Friday, June 24, 2005

Sultan

Gambar-gambar berikut ialah antara personaliti yang mengaku sebagai waris Sultan yang berhak untuk bertakhta di rantau konflik ini. Menangis-nangis semasa berucap agar takhta beliau ehh Baginda dipulangkan balik. Berjurai-jurai airmata. Aku turut sayu mendengar rayuannya. Akupun rasa nak merayu kat orangramai. Pulangkanlah takhta Baginda tuh kalau jumpa kat mana-mana (hehehe!). Tengah duduk berucap boleh hisap rokok. Mana ada Sultan macam dia nih. Langgar protokol. Hisap rokok kat rumahlah. Bukan rumah, ehh istana. Ye tak?

Bercerita pasal Sultan nih, cuma satu jer aku risau. Bimbang. Takut sultan-sultan (ramai yang mengaku sultan!) kat rantau konflik ini zalim macam masa tok nenek moyang kita di bawah sistem feudal dulu. Macam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang (aku baru lepas tenguk VCD cerita tuh). Belah perut perempuan mengidam nak makan nangka. Zalim ke Sultan Mahmud tu ?. Memang zalim tapi dalam kes ini aku tak salahkan Sultan Mahmud. Pasal nangka tu dia yang punya. Dari kebun raja. Kebun tu tanah dia. Dia beli ke atau tanah pusaka itu tak payah kita nak fikir... Yang bersalah ialah pekerja kebun raja. Kenapalah dia lalu depan rumah Laksamana Bentan (lakonan Nordin Ahmad) ?. Kan banyak lorong lain boleh lalu. Depan rumah kawan tu juga yang dia lalu. Lalulah ikut semak. Atau lalu belakang rumah Laksamana Bentan ke. Tak ler orang nampak. Ini tidak. Nak jugak lalu depan. Biar orang tahu dia kerja dengan raja. Biar orang nampak dia pikul nangka. Mentang-mentang masa tu nangka kebun lain tak berbuah. Dia eksyen ler tu. Langsung kena cukai dengan bini Laksamana Bentan. Pasal bini Laksamana Bentan mengidam. Aku rasa kalau pekerja kebun raja tu mintak izin dengan Sultan Mahmudpun akan dapat kebenaran. Ini tak. Terus je belah nangka tu. Nasib baik aku bukan sultan masa tu. Kalau tidak perut pekerja kebun raja tu aku belah sekali. Pasal mungkin dia juga ada makan buah-buahan lain. Makan durian ke. Kerana aku dengar durian dah musim dan gagat gugur di negara aku. Poskanlah ke sini sebiji dua ke...

Lantaklah. Yang penting kita orang melayu. Sistem Beraja itulah satu-satunya lambang melayu yang tinggal. Perlu dipertahan. Di sini? Ada raja. Ada sultan. Tak ada takhta ?

Pasal diaorang bukan orang melayu kot.....


Image hosted by TinyPic.com


Image hosted by TinyPic.com
Kesultanan Melaka dah tamat. Portugis
dah tawan Melaka masa nih....

Image hosted by TinyPic.com


Image hosted by TinyPic.com

Thursday, June 23, 2005

Lagi Pasal Maid Aku


Pukul 7.00 pagi aku dah keluar rumah. Keluar awal. Got something to do. Very urgent. Aku cuma sempat menjamah seteguk nescafe susu bersama sekeping pandisal - roti bun kalau bahasa kita. Tak berselera nak makan sejak dua tiga hari ni. Badan tak selesa. Malam nanti aku nak pergi ke farmasi Mercury Drug. Beli ubat demam. Di sini tak payah pergi jumpa doktor. Klinik di sini hanya periksa pesakit jer. Lepas tu doktor akan beri prescription. Pergi farmasi. Beli ubat kat sana. The best way might well aku terus pergi farmasi. Tak payah dua kali kerja.

Sampai rumah lebihkurang pukul 5.00 petang. Lapar betul. Tak lunch. Pergi ke dapur aku tenguk ada dua keping roti canai siap terhidang. Roti canai segera yang aku bawa dari Malaysia. Aku terus duduk kat meja makan. Maid aku tak lama lepas tu datang nak buatkan nescafe susu. Capai gelas. Capai piring. Entah macamana semasa nak tuang air panas, piring yang dia pegang terlepas. Jatuh atas simen. Pecah berkecai. Aku punya le terperanjat. Kuat betul bunyi kaca tu terhempas. Ingatkan bom ke. Maklumler duduk kat sini. Rantau konflik ni....

Yang peliknya maid aku langsung tak terperanjat. Tenang jer. Tak melatah. Dengan langkah penuh yakin pergi ambil penyapu. Sapu serpih kaca. Ehh, semalam aku mintak panadol tapi dia beri alkohol yang buat lap simen. Tegur sikit pasal silap hantar punyaler teruk dia punya melatah. Lebih 20 minit tak selesai melatah. Bahasa Tagalog. Bahasa Maguindanaoan. Padahal bukan ada apa-apa yang pecah. Hari nih confirmed piring pecah. Depan mata dia. Dari tangan dia. Berkecai. Langsung tak melatah ? Boleh senyum lagi ?

Akupun bertanya, "got your salary?". "Yes sir, during lunch time". Dia menjawab. Lancar. Macam baca skrip. Macam drama swasta kat tv tempat kita. Dah boleh agak jalan cerita......

Aku turut tumpang gembira. Gembira kerana maid aku dah dapat gaji. Gembira kerana mungkin penyakit latah dia pupus sekejap. Mungkin pupus paling lama 20 hari. Tak pe ler. Janji dia pulih sekejap. Taklah nanti dia akan bawakan aku alkohol bila mintak panadol. Sekurang-kurangnya langkah dia akan lebih yakin terutama bila nak lintas jalan. Akan toleh kanan kiri dulu. Tak terus menonong jer. Taklah terperanjat dan melatah bila hon jeepney berbunyi. Bukan apa. Kalau kena langgar kereta?

Siapa nak masakkan aku nanti?................



Image hosted by TinyPic.com
Kenderaan awam roda tiga

Image hosted by TinyPic.com
Buatnya maid aku melatah semasa melintas jalan nih.....

Image hosted by TinyPic.com
Menangis orang Jepun tenguk motosikal dah diubahsuai

Image hosted by TinyPic.com
Wajah anda ada di sini? Boleh jadi famous.

Image hosted by TinyPic.com
Betul ke 'The Best City Police Station' ?

Wednesday, June 22, 2005

Rantau Yang Kujelajahi

Image hosted by TinyPic.com
Pernah dimasukkan ke hospital ini - Food Poisoning

Image hosted by TinyPic.com
Kenderaan awam

Image hosted by TinyPic.com


Image hosted by TinyPic.com


Image hosted by TinyPic.com


Image hosted by TinyPic.com


Image hosted by TinyPic.com
Restoran Ayam Panggang - ada tanda halal....

Image hosted by TinyPic.com
Ayam laga. Esok nak disabung. Kena tidur awal.
Lusa kena masuk Restoran Ayam Panggang. Umur dah
sampai...

Image hosted by TinyPic.com/z3