Tuesday, July 12, 2005

Murahnya Nyawa...

Pagi tadi sekitar jam 9.00. Aku masih berada di rumah. Bersiap-siap untuk urusan di luar. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman. Kuat seolah-olah bunyi mercun. Aku tahu dentuman tersebut adalah bunyi pistol. Kerana tune tu memang tune pistol. Dah aku tahu tune tu. Nak buat macam mana.

Serentak itu juga aku keluar ke beranda. Ternampak kelibat jiranku berlari ke jalanraya. Kelam kabut. Apa hal pulak ni. Aku bertanya diri sendiri. Naluri ingin mengetahui membawa aku untuk meninjau apa yang berlaku. Masa tu dah ada tiga empat orang berkumpul. Apabila kuhampiri terlihat seorang lelaki terbujur di kakilima jalan. Berumur sekitar 40 an dengan darah mengalir di kepalanya. Masih merah. Penuh membasahi rumput di gigi jalan. Tiada alunan nafas di dada lelaki tersebut. Yang jelas terdapat kesan tembakan dari dagu sebelah kiri menembusi belakang kepala sebelah kanan. Mati di situ juga. Satu lagi nyawa melayang sebegitu mudah. Dan jarak pembunuhan tersebut lebihkurang 30 meter dari rumah aku....

Dari maklumat, mangsa beragama Islam dibunuh ekoran dendam keluarga. Rido menurut panggilan orang sini. Di rantau konflik ini Rido paling kerap berlaku. Sejak aku di sini, sudah hampir 60 orang terkorban ekoran dendam keluarga. Dibunuh oleh pembunuh upahan. Di kawasan jalan berhampiran rumah aku je dah berlaku 3 kejadian. Apa yang menyedihkan, Rido hanya wujud di kalangan masyarakat Islam....

Tidak hairan semua ini berlaku. Masyarakat di sini terkenal dengan sifat kuat berdendam, keras kepala dan amat mementingkan suku keluarga. Dendam mereka tidak akan pupus walaupun beberapa generasi berlalu. Ini yang mereka banggakan. Selain itu, senjatapi begitu mudah diperolehi. Boleh dibeli di kedai senjata yang begitu banyak di sini. Sepucuk pistol hanya berharga sekitar Peso 10,000 (RM 700). Peluru hanya Peso 10 (70 sen) sebutir. Murah kan.

Dari perbualan aku dengan beberapa orang yang pernah terlibat dalam Rido, mereka bertanggapan tidak perlu membuat laporan Polis sekiranya anggota keluarga mereka dibunuh. Bagi mereka pihak Polis tidak akan bertindak walaupun mengetahui siapa pembunuh. Mereka mudah dirasuah. Di sini kegiatan jenayah begitu mudah ditutup dengan rasuah. Lantas, jalan mudah ialah membalas dendam. Bunuh balik orang yang membunuh ahli keluarga mereka. Keadaan ini akan berterusan. Chained reaction.

Jauh di sudut hati aku bersyukur. Negara aku jauh terlalu baik dan sempurna. Negara yang mendaulatkan undang-undang. Masyarakat yang jauh lebih bertamadun.

Namun, inipun masih ditohmah oleh mereka tidak bertanggungjawab. Dengan tuduhan Malaysia zalim, Malaysia menafikan hak asasi manusia, kerajaan kejam.

Bagi mereka, datanglah ke rantau konflik ini. Kedatangan yang amat kualukan. Buat perbandingan. Jadilah masyarakat sini. Jadilah pejuang penentang kezaliman. Perjuangkanlah hak asasi di sini. Perjuangkanlah undang-undang sebenar. Kerana di sini medan paling layak. Semuga kalian berani.....

MABUHAY sa inyong lahat (welcome to all of you).

No comments: