Friday, July 22, 2005

Bersederhana Dalam Hidup

Aku begitu asyik dua tiga hari ni membaca akhbar Malaysia menerusi internet. Berita mengenai Ayah Pin (malaun). Mula-mula sekumpulan pemuda berpakaian ala ninja menyerang perkampungan Ayah Pin seluas 35 hektar yang terletak di Bt 13, Hulu Besut. Diikuti penangkapan seramai 59 orang pengikutnya.

Apa yang aku pelik ialah masyarakat kita yang kini semakin hanyut. Mudah terpengaruh dan mempercayai seterusnya menjadi pengikut Ayah Pin (jibaok); seorang kaki judi. Mengaku pemerintah kerajaan langit. Mengaku telah keluar dari agama Islam. Mengaku tuhan. Nauzubillah.

Masalah ini sepatutnya telah lama dibendung. Tapi, perkembangan terkini ini sedikit sebanyak aku rasa akan dapat memberi kelegaan kepada masyarakat Islam. Khasnya masyarakat di Terengganu.

Yang penting di sini ialah kita jangan terlalu memperkecilkan kuasa Allah SWT. Jangan biarkan masalah Ayah Pin (hawau) ini menjadi penyebab kepada turunnya bala dari Yang Maha Kuasa. Jangan biarkan masyarakat tidak berdosa turut menerima sial dari kesialan Ayah Pin (rimau akau).

Memang nampak emosional entry aku kali ini. Tapi aku bercakap melalui pengalaman. Dari apa yang pernah aku tempuhi membabitkan masyarakat Islam. Betapa mudahnya balasan tuhan sekiranya kita alpa dari mengingatinya.

Di Bosnia umpamanya, masyarakat Islam hanya tahu mereka Islam kerana tok nenek moyang mereka Islam. Jadi, disebabkan leluhur mereka Islam, maka Islamlah mereka. Tak tahu sembahyang, tak tahu apa itu puasa. Apalagi zakat dan membaca Al Quran. Bersekedudukan, berzina. Semua makanan mereka makan. Tidak ada halal haram. Babi menjadi makanan kebesaran...

Aku tahu pasal aku berada dalam kelompok masyarakat Bosnia selama setahun. Justeru, bala diturunkan. Kini Islam hanya tinggal nama di bumi yang pernah menjadi kemegahan para syuhada Islam dahulu kala. Aku akan cuba memperincikan segala pengalaman aku dan apa yang aku lihat sepanjang langkah pengalamanku di Bosnia dalam entry yang akan datang. Itupun kalau aku rajin nak menaip nanti. Buat masa ini aku terlalu dibelenggu oleh tugasan di sini yang saban hari semakin membebankan. 'Masakit ng uluk' (sakit kepala).

Mesej aku dari rantau konflik ini : Pergunakanlah akal yang dianugerahkan tuhan dalam menilai buruk baik sesuatu ilmu yang kita pelajari. Perkuatkan iman, jadilah umat yang sesederhana mungkin dan jangan terlalu ekstrim dalam beragama. Kegembiraan dan keamanan negara kita boleh ditarik sekelip mata oleh tuhan. Angkara mereka yang takbur. Angkara mereka yang syirik. Mereka yang terlalu jauh dari landasan agama. Angkara mereka mereka yang seperti Ayah Pin (lahabau).

Kerana keamanan tidak akan mudah digapai sekiranya ia telah hilang. Keamanan tidak mudah dibentuk setelah dimusnahkan oleh bala. Lalu jadilah seperti rantau rantau konflik yang pernah kujelajahi.

No comments: