Pada hari Sabtu yang lepas seramai hampir 100 ribu penyokong Presiden Gloria Macapagal Arroyo berkumpul di hadapan Rizal Park, berhampiran Roxas Boulevard, Manila. Kawasan tersebut sama seperti Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Merupakan tempat perarakan Hari Kebangsaan Filipina.
Pada tahun 1995 aku pernah menginap di Manila Hotel berhampiran kawasan tersebut. Ketika itu Roxas Boulevard terkenal sebagai kawasan Red Lights Area. Kini ia telah ditukar menjadi kawasan pejalan kaki. Macam Bintang Walk di Kuala Lumpur.
Perkumpulan sebegitu ramai adalah bagi menunjukkan sokongan padu seterusnya bertujuan menghalang apa jua usaha pembangkang untuk memecat Presiden. Sabtu minggu sebelumnya, seramai 30 ribu penunjuk perasaan anti-Presiden telah berkumpul di Ayala, Makati City, Manila bertujuan mendesak Presiden meletak jawatan. Mereka seterusnya berarak di Epifanio de las Santos Avenue (EDSA), kawasan di mana rakyat mula berkumpul seterusnya menggulingkan bekas Presiden Ferdinand Marcos pada tahun 1986. Rampasan kuasa menerusi People's Power. Kini, mereka cuba melakukannya sekali lagi...
Minggu depan (25 Julai) aku mungkin ke Manila kerana ada urusan kerja. Tak tahulah kemelut yang berlaku saban hari di situ akan turut menjejaskan perjalananku..
Kerana 25 Julai ini, Presiden akan menyampaikan ucapan dasar 'State of the Nation Address' (SONA) di Kongres. Tarikh tersebut amat penting kerana diyakini pada masa itu pihak pembangkang di Dewan Perwakilan (Wakil Rakyat) akan mengundi untuk tindakan memecat Presiden. Sebanyak 79 undi ( satu pertiga dari keahlian di Dewan Perwakilan) diperlukan bagi melaksanakan proses pemecatan. Jika ini diperolehi, barulah proses tersebut boleh dilangsungkan di Dewan Senat (Ahli Senator). Dari bancian mutakhir, seramai 73 Wakil Rakyat diyakini akan mengundi untuk memecat Presiden. 6 undi lagi masih tidak dapat dipastikan. Jika tidak, nasib akan terus menyebelahi Presiden. Akan terus kekal berkuasa. Dan aku amat pasti tunjuk perasaan besar-besaran akan berlaku pada tarikh itu.
Secara peribadi, aku amat berharap proses pemecatan tidak akan berlaku. Presiden baru akan turut melaksanakan dasar terkininya. Dasar lama akan terbengkalai separuh jalan. Keadaan ini bakal merencatkan usaha Presiden Arroyo dalam membawa pembaharuan ekonomi dan juga merintis pembangunan di Mindanao; rantau konflik ini. Selain itu, dibimbangi perubahan pucuk pimpinan akan mengembalikan rantau konflik ini ke era hostilities (perjuangan bersenjata oleh pejuang pemisah Islam) semula. Kesannya, rakyat yang tidak berdosa akan turut terseret sama. Akan semakin susah dan menderita. Diusir sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa. Seperti sekawan kambing dihambat oleh gerombolan serigala.....
Lemas dan lesu. Seperti aliran Sungai Tamontaka dan setinggan
di tebingnya...
1 comment:
cenggini punya report, dah tak payah nak tengok Buletin Utama..complete,marvellous..hehe.
Salam petang Rabu bang, take care.
yr sis,
Ungku Nor
Post a Comment