Mei 1998.
Rom. Bandar purba yang terbina dari kisah dua kanak-kanak. Romus dan Romulus.Sejak kecil dibela dan disusui serigala. Begitu tersohor kisah tersebut. Serigala yang mampu membesarkan manusia. Serigala yang mempunyai nilai kasih sayang yang mungkin tidak wujud dalam jiwa manusia. Lalu terbentuklah bandar. Lahirlah Julius Caesar. Penakluk Agung. Lahirlah mafia . Lahirlah Mussolini dan lahirlah Paolo Rossi. Ganaskah masyarakat ini kerana leluhur mereka berdarah serigala ?
Bangunan Termini (terminal bas dan keretapi) di tengah Rom kujelajahi. Agak besar. Pusat tumpuan pengangkutan dari seluruh Itali. Di sana sini terpampang perkataan Euro Star Train; keretapi yang kunaiki untuk perjalanan dari Ancona. Sistem keretapi yang mempunyai jaringan di seluruh Eropah. Hampir 4 jam perjalanan tersebut. Berhenti dari satu stesyen ke stesyen yang lain. Macam keretapi mel di Malaysia. Namun, pengalaman pertama tidak membosankan. Laluan banyak menempuhi kawasan kampung. Agak berbukit. Juga ladang anggur dan plum. Anggur masih tidak berbuah. Hanya daun-daunnya yang menghijau membelit kayu-kayu sebagai penyokong kepada akar sulur pautnya. Mungkin musim panas akan mendapat hasilnya. Para peladang akan bersiul ria. Anggur akan diperam untuk dibuat wain. Akan semakin kuatlah siulan selepas itu....
Beberapa terowong merentas banjaran bukit terus dilepasi. Agak pendek namun begitu mempesonakan. Disulami aliran jeram yang menyegarkan. Terlihat banyak kawasan-kawasan perkemahan. Khemah-khemah dan caravan-caravan semakin kerap menghiasi pandangan. Tersusun rapi di tepi tebing jeram. Walaupun bukan tiba musim panas yang merupakan musim masyarakat Eropah memburu cahaya mentari. Mereka berkumpul, berbual-bual kosong sambil minum minuman keras. Diselang menjamah makanan yang dimasak secara barbeque. Apabila panas mereka akan berendam dalam jeram. Biar menurun suhu. Kelihatan beberapa wanita melompat-lompat di gigi jeram.Begitu rancak ketawanya. Hanya berseluar dalam. Di bahagian atas tidak dihias seurat benangpun. Terkejut aku dibuatnya. Serentak itu kurasa keretapi bergerak semakin laju. Laju hingga tidak puas menghirup keindahan kawasan tersebut...
Itali dan Rom. Negara yang turut terpahat dalam kamus sebagai penjajah. Negara yang begitu bersungguh memartabatkan bahasa mereka. Bagi aku yang berada di buminya, lemas oleh kesungguhan mereka. Kebanyakan papan tanda berbahasa Itali. Pening. Terlihat sebuah kafe di dalam bangunan terminal. Beg sandang hitam yang tersangkut di bahu kuturunkan. Perlahan kusandarkan di kaki kerusi. Dan serentak itu juga punggung kulabuhkan. Membayangkan sedang berada di kedai mamak. Teh tarik dan roti canai banjir. Berkuah kari. Akan muncul sebentar lagi mamak dengan kain pelikat kusam dan kemeja putih. Ball-pen sentiasa tersisip di cuping telinga. Senang nak kira...
Aku terperanjat bila ditegur seorang berpakaian kemas. Berseluar hitam dengan kasut kulit dibalut kiwi. Kemeja putih dengan tali leher warna hijau - warna bendera Itali. Sebatang pen dan buku seakan dairi kemas di tangannya. Badan sedikit tunduk. 'Order sir ?'. Aku kagum. Begitu kemas hanya untuk bekerja sebagai pelayan cafe. Dan bertanyakan pesanannya dalam bahasa Inggeris. Bukan Itali. Sebelum ini aku menghadapi masalah di Ancona kerana kebanyakan pelayan hanya berbahasa Itali. Mungkin di sini Rom. Lebih terbuka. Dan mungkin juga pelayan tersebut tahu aku bukan orang Itali. Hidung tak mancung. Rambut hitam. Dan mungkin dia tahu aku ni orang Melayu. Cuma dia tak tahu berbahasa Melayu. Di Ancona ? Mungkin diaorang ingat aku orang Itali. Mungkin juga....
Melihat pakaian pelayan, dah tentu orang akan menyangka ia berjawatan Pengurus Bank. Paling tidak Guru Besar. Ini tanggapan orang di negeri aku. Dan sudah tentu orang kampung aku turut termasuk dalam golongan bertanggapan begitu. Kerana kampung aku terletak dalam negeri aku. Tidak akan ada bakal mertua yang mampu menolak pinangan. Tali leher lambang jawatan besar. Pakailah tali leher. Mesti anak dara mudah terpikat....
Di sini, persepsiku jauh meleset. Jauh untuk membandingkan dengan mamak kedai roti canai. Pakaian kemas tidak mencermin jawatan. Dan bayangan wajah anak-anak muda di kampung kutatap satu persatu. Mereka ingin berpakaian kemas. Mereka ingin memakai tali leher. Tapi mahukah mereka bekerja di kedai makan dengan bertali leher....? Bagaimana gelak ketawa masyarakat kita nanti ? Berapa lama masa mereka terbuang hanya untuk keterusan ketawa tersebut ?
Begitu jauh jurangnya. Sejauh aku yang cuba lari dari rantau konflik ini.
Dan Rom. Rantau yang tidak pernah ditakluki. Rantau yang menjadi idaman para pejuang Islam dahulu kala. Begitu kuat. Entah berapa kali pahlawannya menggugat kedamaian empayar Islam. Entah berapa banyak darah para Syuhada mengalir di pedang mereka. Aku semakin kagum. Kekaguman yang akan membawa aku melangkah buat seketika di rantau yang leluhurnya dikata berdarah serigala. Dan serigala... Binatang yang tidak pernah berburu sendirian. Binatang yang mementingkan nilai kemasyarakatan. Nilai inilah yang mampu menghalang apa jua bentuk ancaman pemangsa lain.
Dan Rom. Esok akan kutelanjangi bumimu. Akan kusambung langkah para Syuhada yang terkulai di pintu kotamu. Restuilah langkah ini. Restuilah.....
No comments:
Post a Comment