Balik ke rumah aku terus menonton TV. TV di rantau konflik ini. Cerita koboi. Cerita sekumpulan pengembara orang putih dari England yang datang ke Amerika. Begitu jauh. Membawa harapan untuk menjadi pelombong emas kaya-raya. Lalu menyusurlah mereka di beberapa batang sungai sehingga akhirnya terlihat pasir yang mengandungi emas. Gembira. Lalu di situlah mereka bertekad untuk mencapai impian. Impian untuk kaya.
Tidak jauh dari sungai tersebut terdapat puak Red Indian yang telah bermastautin sejak sekian lama. Sejak dari zaman datuk nenek moyang mereka. Di situlah hidup dan mati mereka. Justeru, bagi mengelak dari diganggu, ketua pengembara telah berjumpa ketua Red Indian. Dihadiahkan tembakau. Red Indian memang suka hisap tembakau. Tengah tidurpun kalau boleh nak hisap tembakau. Lalu berkongsilah mereka sungai tersebut. Sebagai sumber hidup bagi Red Indian dan sebagai sumber kekayaan bagi kumpulan pengembara. Kumpulan pelombong. Kumpulan orang putih.
Semakin banyak emas yang diperolehi. Timbul kebimbangan. Mungkin Red Indian akan turut melombong emas kat sini. Lalu, mereka telah meminta pertolongan tentera Amerika di bandar tempat emas didagang . Dengan upah. Dengan dibayar emas hasil dari sungai.
Lalu dibakar pondok-pondok Red Indian. Dibunuh. Diusir. Hanya yang tinggal ialah puntung-puntung kayu masih berasap. Manakala kumpulan pelombong hanya ketawa dari jauh. Dari tebing sungai. Dari sumber kekayaan mereka.....
Serentak itu aku terus menutup TV. Walaupun tanpa mengetahui nama pelakun. Tanpa mengetahui tajuk cerita. Tanpa mengetahui penyudah cerita. Aku letih. Letih kerana terasa seakan turut melangkah bersama Red Indian yang diusir. Langkah amat laju kerana diburu.
Teringat aku semasa di kampung. Zaman dulu-dulu. Zaman aku masih di sekolah rendah. Wayang percuma kerap ditayang di padang sekolah kampungku. Wayang Penerangan. Untuk menerangkan kepada orang kampung cara menanam getah. Cara menoreh. Cara memesinnya. Agar mereka ada sumber hidup. Tak payah pergi merantau jauh macam cerita koboi dalam TV di rantau konflik ini.
Maka ramailah orang kampung datang. Datang seawal pukul 6.00 petang walaupun cerita ditayang pukul 8.00 malam. Siap dengan bekalan makan malam. Diisi dalam mangkuk tingkat. Agar tak lapar. Datang awal boleh duduk depan. Depan layar. Depan tiang layar buluh. Buluh yang ditebang oleh orang kampung aku. Biar terpaksa mendongak. Biar tegang tengkuk kerana mendongak......
Masa itu kemeriahan amat terasa. Akan muncul pelbagai bentuk bayang di layar sebaik mesin projektor terpasang. Bayang menggunakan tangan membentuk pelbagai jenis binatang. Di hala ke cahaya mesin projektor. Ada bentuk burung bangau, pipit uban, merbah, ular sawa berendam, kepala anjing, ikan merah mata, ikan sepat siam. Berhimpit-himpit di permukaan layar....
Cerita ditayang lebih kerap cerita koboi. Koboi lawan Red Indian. Orang Dayak. Orang Dayak ialah orang jahat. Orang Dayak payah nak menang pasal orang kampung aku akan bantu koboi. Akan menjerit apabila orang Dayak nak bunuh koboi. ' Tu, tu, kat belakang tu. Ada Dayak. Kat balik batu tu. Tembak cepat. Toleh belakang tu'. Serentak itu juga koboi menoleh ke belakang. Menembak orang Dayak yang bersenjata sebilah kapak kecil. Mati. Orang kampung aku bertepuk. Bersiul. 'Mati kau orang jahat. Mati kau Dayak'. Dan aku turut ketawa. Ketawa kerana orang Dayak dah mati. Koboi tak mati. Tak mati pasal orang kampung aku dah suruh toleh belakang. Beritahu ada orang dayak. Koboi dengar cakap orang kampung aku......
Tayangan akan diberhentikan di pertengahan. Semasa kemuncak cerita. Biar orang kampung aku tak balik awal. Akan tekun mendengar penerangan yang disampai. Penerangan tentang getah. Tentang padi. Tentang politik. Tentang jasa-jasa kerajaan.
Pentingkah itu semua ? Kerana yang penting ialah nyawa koboi tadi. Takut mati kena bunuh oleh orang Dayak...
Masa itulah aku rasa saat paling gembira dalam hidup. Dapat minum air milo. Milo percuma. Cuma dapat kalau tenguk wayang percuma. Walaupun hanya seteguk. Milo ketika itu adalah minuman orang kaya. Aku tak mampu minum milo kerana adik-beradik aku ramai. Milo mahal. Milo minuman orang mewah. Minuman orang kaya. Keluarga aku bukan orang kaya. Milo juga minuman orang putih. Aku bangga dapat minuman orang putih. Dan aku lebih bangga kerana koboi tak mati.
Di rantau konflik ini aku kesal. Kesal kerana ketawa semasa Red Indian sedang berduka. Kesal kerana suka tatkala Red Indian kematian saudara. Kenapa ? Adakah kerana secawan milo ?
Air milo yang mahal di kampung aku ketika itu ?
Dan aku terus merentas rantau konflik ini. Milo juga minuman mewah di sini. Tak hairanlah mereka masih dibelenggu penjajah. Kerana penjajah orang putih. Dan kerana milo adalah minuman orang putih.
Mungkin betul telahanku.........
Koboi Lawan Red Indian ?
No comments:
Post a Comment