Selepas sembahyang Isyak pada jam 7.40 malam, aku merebahkan badan di katil sambil membaca buku bertajuk 'Muslim Rulers And Rebels. Tulisan Thomas M. McKenna. Buku yang banyak menyingkap tentang politik dan perjuangan kumpulan pemisah di rantau konflik ini. Bagaimana konflik tercetus dan peranan kumpulan-kumpulan pemimpin tradisional dalam memanipulasinya demi kepentingan sendiri. Begitu menyedihkan. Umpama haruan makan anak. Tidak hairan keamanan amat sukar dicapai. Hanya kerana harta mereka alpa kepada nasib anak bangsa. Biar anak bangsa mati. Biar anak bangsa susah. Kerana itu merupakan jalan ke arah kesenangan....
Aku mencampakkan buku ke bucu katil. Tak habis lagi. Esok akan kusambung membacanya. Mata terasa amat berat. Mengantuk. Kutoleh jam di sebelah. Pukul 9.30 malam. Hampir dua jam aku membaca. Sejak kebelakangan ini aku cepat mengantuk bila membaca. Entahlah. Mungkin kerana usia ataupun kerana mata aku benci untuk meneruskan bacaan. Benci dengan konflik yang terdedah di rantau ini. Benci dengan keadaan tidak selamat di sini.....
Dalam melayan mata, aku teringat satu forum antarabangsa yang pernah kuhadiri. Forum keselamatan dengan ahli panelnya terdiri ilmuan dari beberapa negara Barat. Menariknya, pertanyaan oleh salah seorang peserta. Pertanyaan bagaimana sesebuah negara itu dikatakan selamat. Lalu dijawablah oleh ahli panel. Secara panjang lebar. Menghuraikan negara dikata selamat apabila pihak berkuasanya berjaya mengekang pelbagai usaha pengganasan. Berjaya mengawal ketenteraman awam. Tidak berlakunya rusuhan dalam negeri. Seterusnya mampu mewujudkan keamanan.
Mungkin tidak berpuas hati, peserta yang bertanya menyampuk. Menyatakan bahawa sesebuah negara itu dianggap selamat hanya apabila rakyatnya rasa selamat. Beliau mengambil contoh Amerika Syarikat. Hakikatnya, negara tersebut memang aman. Tetapi amankah hati rakyatnya? Rasa selamatkah rakyatnya? Nyenyakkah tidurnya ? Beranikah rakyatnya mengembara ke serata ceruk rantau dunia? Sudah tentu tidak. Rakyat Amerika Syarikat sentiasa rasa tidak selamat. Sentiasa bimbang akan menjadi sasaran keganasan. Negara tersebut tidak selamat walaupun pada mata kasar ia nampak selamat. Walaupun ia negara terkaya di dunia......
Aku kagum dengan peserta yang bertanya. Memang banyak kebenarannya. Negara itu selamat hanya apabila rakyatnya rasa selamat.
Sekali lagi dan buat beratus kali, aku mengucap syukur ke hadrat Illahi. Bersyukur kerana aku dilahirkan di sebuah negara yang selamat. Negara yang rakyatnya berasa selamat. Negara yang rakyatnya bebas bergerak walau ke mana. Negara yang tidur rakyatnya tidak terganggu....
Dan buat pertama kalinya aku rasa mengantuk lebih awal dari sepatutnya. Mengantuk di rantau konflik ini. Bukan kerana rasa selamat. Tapi kerana buku yang aku baca tadi....
Mengantuk....
No comments:
Post a Comment