Thursday, June 02, 2005

Cerita Aku ?

Aku sekadar menumpang di sudut ini. Terlalu sedikit yang mampu kukongsi bersama dalam menjejak sisa-sisa hidup. Tiada harta ! Tiada pangkat untuk disanjung ! Tiada kedudukan untuk membeza darjat. Hanya aku dan pengalamanku. Cerita aku.

Cerita-cerita yang aku nukilkan adalah gambaran pengalamanku. Pengalaman yang aku rasa tidak akan dapat dibayar dengan emas berbuntil. Begitu mahal. Namun aku membayarnya dengan derita dan air mata.

Cerita ini adalah cerita benar. Cerita yang merungkai pelbagai perbualan dan celoteh dunia. Antara konflik dan kemajuan ! Dan aku terseret dalam rantau konflik tersebut. Maka itu, berdirilah aku di rantau konflik ini.

Dalam mengutip pengalaman demi pengalaman, jiwa aku seakan memberontak. Begitu tertekan. Tiada kepuasan dalam setiap atur langkah. Aku terus mencari penyebabnya. Yang pasti, ia amat sukar ditemui dari rantau konflik ini.

Dalam merungkai pengalaman, aku tidak mampu untuk menidakkan kenangan-kenangan lama yang pernah kutempuhi. Usia kecil, kampung halaman, sekolah, rakan-rakan sepermainan, zaman remaja begitu banyak mengajar aku dalam mengenal erti hidup. Kenangan-kenangan yang telah mematangkan aku agar tetap kukuh di rantau konflik ini. Lalu, aku sematkan kenangan tersebut. Agar ia dapat menyedarkan aku. Agar aku tahu asal-usulku. Agar aku tidak malu mengaku aku.

Pengalaman yang telah dan akan kusingkap ini diharap sedikit sebanyak menjadi sempadan dan panduan terutama kepada mereka yang masih bertatih dalam memahami erti kehidupan. Bukan maksud untuk meminta agar pengalaman ini disanjung. Tidak sama sekali...
Namun aku tidak dapat lari dari menggarapnya kerana ia adalah cerita aku. Cerita aku dari rantau konflik ini ......



Image hosted by TinyPic.com
Ini Cerita Aku

No comments: