Friday, June 10, 2005

Makbulkah Doaku?

Hujan petang tadi. Agak lebat. Alangkah indah kalau di kampung tatkala hujan begini. Semasa kecil dahulu. Boleh rebus ubi kayu. Cicah dengan kelapa parut. Kalau tidakpun bersama goreng ikan sungai. Ikan sungai kampung aku. Kampung Chinchin. Boleh goreng Pisang Nangka, buat lempeng sagu. Sagu buatan sendiri. Banyak pokok sagu di kampungku. Aku adik-beradik akan bersama menyagat sagu tersebut. Menggunakan pemarut diperbuat dari papan berpaku. Tidak payah beli sagu di kedai. Duit untuk membelinya boleh diguna belanja sekolahku adik-beradik..


Ubi rebus, pisang goreng mahupun lempeng sagu kemudian diminum dengan air kopi Cap Tupai. Lepas tu boleh main air hujan. Emak dan bapa aku tak akan marah. Dengan alasan membuat aliran air agar tak menghakis tanah. Biar air hujan berarus laju. Tidak tersekat. Dengan bermodal sebatang cangkul. Hakikat sebenarnya nak mandi hujan. Hendak berdiri di cucur atap. Di cucur salur. Nikmat bila air hujan menghentam badan. Langsung tak hiraukan guruh mahupun petir. Jiwa kanak-kanak. Terlalu gembira. Masih tidak dapat membeza buruk baik. Setiap detik dihiasi keceriaan.


Namun, semua itu hanya tinggal kenangan. Tidak akan kembali zaman penuh meriah sedemikian. Atap rumah arwah bapa dan emakku juga sudah tidak semesra dulu. Begitu juga salurnya. Usang dimamah zaman. Semakin jauh ditinggal. Atap yang sekian lama melindungi aku adik-beradik dari hujan dan panas. Atap yang membesarkan aku. Atap yang memberi semangat untuk aku berdiri di rantau konflik ini. Atap yang menggembirakan aku tatkala hujan. Lama ketika dahulu...


Aku begitu kerap memasuki kampung-kampung di rantau konflik ini. Suasana hidup, kesusahan, pemandangan sawah padi, menangkap ikan di sungai, atap-atap diperbuat dari daun rumbia (sagu), anyaman tikar mengkuang, lukah-lukah buluh begitu menyentuh hati. Amat mirip suasana hidupku semasa kecil. Kehidupanku di kampung. Wajah kanak-kanak ceria bermain layang-layang, main baling selipar, mandi sungai membuat aku terasa amat dekat dengan masyarakat di sini. Seolah aku turut bersama mereka. Bersama mencantas menerung dan sendayan di sawah, bersama mengirai jala, menebar jeramak, mencari kumbang di banir rumbia, memangkas perdu mengkuang dan umbai. Bersama terjun tiruk di sungai. Bersama mereka mengunyah jambu muda yang tumbuh liar di tebing sungai....


Di rantau konflik ini aku akan terus berdiri di celah-celah masyarakat tadi. Masyarakat yang begitu luhur. Penuh nilai murni kampung. Begitu jujur dan bersemangat untuk terus hidup. Seperti masyarakat di kampungku.


Aku berdoa agar masyarakat sebegini terus dilimpahi rezeki. Agar segala kegelapan hidup terhindar jauh. Agar jiwa mereka tidak lagi dibelenggu.


Bilakah doaku akan dimakbul?

Image hosted by TinyPic.com

Image hosted by TinyPic.com

Atap Rumbia Berdinding Buluh......

1 comment:

mrsazi said...

..berdolah selalu..moga doa2 itu akan dimakbulkan-amin..