Aku rasa amat terhibur hari ini. Terhibur membaca blog-blog yang memperihalkan kampung aku. Aku membacanya dari links yang terdapat dalam blog kawan aku. Hampir 2 jam membacanya, melihat gambar yang tertera. Terasa amat dekat dengan kampung yang semakin jauh kutinggalkan. Begitu dekat walaupun aku berada di rantau konflik ini. Tak sedar air mataku seakan mahu menitis....
Pemandangan bekas lombong yang merupakan laman mainanku. Amat menyentuh hati. Telah wujud lama sebelum perang dunia kedua. Dipunyai oleh syarikat orang putih, Cina sebelum diambil alih oleh Pernas. Amat aktif sehinggalah awal 80 an. Lombong palong yang masih kering ketika itu. Aku saban hari berbasikal di tebing setiap lombong tersebut. Kedalaman yang menjangkau 200 meter. Kini dipenuhi air.
Kawasan berhampiran lombong tersebut pernah menjadi kawasan penyambung nyawa orang kampung aku. Tempat menyembunyikan diri dari tentera Jepun. Semasa zaman perang dulu. Termasuk nenek, emak dan saudara-mara aku. Kawasan yang meninggalkan nostalgia kepada aku. Kerana tempat itulah aku belajar erti hidup. Tempat itulah menyedarkan aku tentang kesusahan orang kampung.
Wajah-wajah yang terdapat di dalam gambar juga seolah aku kenal. Kemungkinan mereka budak kampung aku. Budak-budak yang masih terlalu kecil ataupun belum dilahirkan apabila aku meninggalkan kampung untuk mencari haluan sendiri.
Aku bangga walaupun telah kehilangan semua itu. Bangga kerana ada insan yang begitu cekal membangunkan nama kampung aku. Terima kasih aku ucapkan.
Dan aku terasa seolah berada di kampung.
Walaupun aku tidak punya sesiapa lagi di sana. Walaupun aku kini di rantau konflik.....
No comments:
Post a Comment