Saturday, June 11, 2005

Tasik Lanao

Tasik Lanao mempunyai pemandangan yang amat cantik. Seolah berada di Danau Toba. Dikelilingi hutan yang menghijau. Pohon-pohon buluh betung tersusun rapi di pinggirnya. Namun, kemiskinan masyarakat di sini telah turut memiskinkan tasik tersebut. Pemandangan dan kecantikan asli telah dirobek oleh kedhaifan masyarakatnya. Rumah-rumah buluh usang begitu cemburu untuk turut sama bertapak di sini. Dengan menjalankan kegiatan sebagai nelayan tradisional, tasik tersebut dipenuhi oleh sangkar-sangkar ikan talapia. Tidak terkawal. Di bina serata tasik. Terus mencacatkan seluruh sistem ekologinya.


Tasik ini pernah diura-urakan untuk dibangunkan secara komersial. Berkemampuan untuk menghasilkan tenaga elektrik hidro yang mencukupi untuk menerangi seluruh Pulau Mindanao ini. Pernah beberapa syarikat ingin menjadikannya pusat pelancungan. Ingin membina resort dan chalet-chalet peranginan. Namun, semuanya terpaksa dilupakan. Hanya kerana sikap masyarakat di sini. Selain karenah birokrasi, mereka berterusan menolak apa jua bentuk kemajuan dan pembangunan. Mereka bertanggapan pembangunan akan merampas warisan nenek moyang mereka. Apa jua usaha pembangunan seolah ada agenda sulit di sebaliknya. Mereka keliru, bimbang dan sering syak wasangka.


Secara logik, perasaan negatif masyarakat di sini tidak boleh dipersalahkan. Sejak berdekad, rantau ini menghadapi konflik. Konflik yang menyebabkan masyarakatnya berterusan ditindas. Tiada hak untuk mempertahankan apa yang mereka ada. Ini yang sering mereka hadapi. Mereka teladani. Sejak kecil hinggalah mewarisi kedhaifan orangtua mereka.

Namun sikap mereka yang langsung tidak mahu memajukan diri ? Berusaha menambah rezeki ? Adakah kerana konflik juga.....?


Aku turut keliru. Di daerah ini juga pernah sebuah syarikat dari negara aku membuat pelaburan. Pelaburan dalam sektor pertanian yang mana akan mampu memberi peluang pekerjaan kepada beribu orang. Pelaburan dari sebuah negara Islam yang faedahnya sedikit sebanyak dapat diraih oleh orang Islam. Orang Islam di rantau konflik ini. Malangnya, pelaburan ini gagal. Terbengkalai di tengah jalan. Bukan kerana apa. Hanya disebabkan karenah birokrasi dan sikap pemimpin Islam di rantau konflik ini. Hanya mementingkan faedah yang akan diperolehi oleh mereka dan kroni.
Mereka yang masih miskin, teramat miskin? Biarlah. Tahulah mereka untuk meneruskan hidup ini.....


Di sebuah masjid di bandar kecil tidak jauh dari Tasik Lanao ini, sekumpulan manusia berjubah kusam begitu petah berdakwah, bertabligh: 'Islam tidak menolak kemajuan. 'Kebersihan adalah Iman'. 'Berjihadlah kita untuk membangunkan Islam'.'Keluarga adalah amanah Allah'.


Bandar kecil tersebut tetap dipenuhi kotoran. Sampah dibuang sewenang-wenangnya. Masyarakatnya tetap miskin. Tetap dhaif. Meninggalkan daerah ini antara yang termiskin di Mindanao.


Anak dan keluarga mereka? Terus buntu di dangau usang menunggu bapa dan suami pulang dari berdakwah. Tanpa asap di dapur.....


Dan ikan talapia di Tasik Lanao semakin rancak melompat melepasi jaring kurungan. Ingin hidup bebas bersama kawanan di luar. Tidak rela menjadi penyambung rezeki golongan sebegini......

Image hosted by TinyPic.com
Antara Pemandangan Tasik Lanao

No comments: