Thursday, June 09, 2005

Lumrah

Aku ke bandar petang tadi. Membeli keperluan harian. Seperti biasa, keadaan waktu petang di rantau konflik ini amat sibuk. Sibuk dengan kenderaan, pengangkutan awam, orang pulang dari kerja dan budak-budak sekolah. Keadaan inilah yang kuhadapi hari-hari. Sesak dada dibuatnya. Di kakilima jalan tetap penuh dengan orang ramai. Yang peliknya mereka bukan pergi membeli belah. Hanya meluangkan masa berjalan ke sana sini. Cukup ramai. Kalau di tempat aku masa begini keadaan bandar akan lengang. Orang berlumba untuk pulang ke rumah. Di sini, orang berlumba nak keluar ke bandar. Bandar sentiasa sibuk dari pagi sampai ke petang. Entah masa bila diaorang bekerja. Aku tak pasti. Namun pada tanggapan aku kadar pengangguran yang amat tinggi menyebabkan orang lebih suka tertumpu di bandar. Mencari peluang pekerjaan. Hakikatnya, bandar ini tidak mampu menyediakan harapan mereka. Sedih juga melihatkan keadaan hidup sebegini.


Tidak ada pekerjaan yang boleh ditawarkan oleh pemerintah. Manakala penduduk saban hari bertambah. Anak bertambah setiap tahun. Tanpa keperluan hidup yang mencukupi. Tanpa pendidikan. Ada yang rajin bekerja tapi susah untuk kaya. Ada yang malas kerja tapi rajin pulak buat anak. Kaya anak. Semua ini menyumbang ke arah masalah sosio ekonomi. Jenayah berleluasa. Sukar untuk dibendung. Cuma jenayah di sini kebanyakannya kerana desakan hidup. Jenayah di tempat aku kerana desakan nafsu...


Ekoran jenayah yang tinggi, perniagaan Syarikat Kawalan Keselamatan amat menguntungkan. Setiap perniagaan samada kecil atau besar akan menggunakan khidmat Pengawal Keselamatan. Semuanya bersenjata raifel semi automatik. Bukan setakat cota mahupun pistol sebagaimana di tempat aku. Pusat membeli belah, kedai runcit mahupun restoran semuanya ada pengawal. Setiap pelanggan akan diperiksa serapi mungkin. Takut membawa senjatapi ataupun senjata merbahaya lain. Kalau di tempat aku sudah tentu kedai tersebut terpaksa ditutup. Tidak akan ada pelanggan. Pelanggan benci kerana pemeriksaan ketat. Tetapi di sini berbeza.


Faktur keselamatan juga yang menyebabkan masyarakat di sini amat berminat untuk menjadi anggota pasukan keselamatan. Tidak kira samada tentera atau polis. Yang penting boleh memiliki senjatapi. Kerana senjatapi adalah undang-undang. Tidak ada orang akan ganggu kalau mereka ada senjatapi. Mereka boleh gunakan untuk kepentingan sendiri. Rasa selamat. Disebabkan itu juga, ramai perempuan di rantau konflik ini lebih rela mengahwini anggota tentera atau polis. Atas rasa selamat. Kerana kedua-duanya mempunyai kuasa. Ada senjata. Walaupun kedua-duanya tidak kacak. Tidak berduit.....


Dalam rancak menaip, handphoneku berbunyi. Mendapat khabaran dua orang peniaga lembu dipercayai mati dibunuh oleh kumpulan penculik. Mayat mereka dicampak ke dalam sebuah sungai tidak jauh dari tempat aku. Penduduk kampung telah menjumpai satu mayat. Satu lagi sedang dicari. Aku tergamam. Inilah kehidupan di rantau konflik ini. Kematian bukan satu igauan ngeri. Menjadi lumrah. Kematian begitu mudah dan murah......


Dan jauh di negaraku? Anak-anak merengek manja minta disuapkan nasi......

Image hosted by TinyPic.com

Image hosted by TinyPic.com

Sungai Ini..........

No comments: