Petang tadi aku ke Money Changer. Nak tukar Peso, matawang di sini. Terpaksa ke tempat lain setelah Money Changer yang kerap kukunjungi tidak dibuka. Seorang gadis berusia awal 20 an berada di kaunter. Kaunter berukuran 5' kali 5'. Berpalang besi sampai ke siling. Kalah bank di tempat kita. Akupun bertanya kadar pertukaran US$ ke Peso. Pertanyaan dalam bahasa Inggeris. Lalu gadis tadipun menjawab US$ 100 = Peso 5,450. Jumlah yang merupakan pendapatan sebulan kerani di sini.
Tanpa berlengah kuhulurkan US$ 200. Dalam sibuk mengesahkan ketulinan wang seterusnya mengira wang Peso, gadis tersebut bertanya," are you American?". Aku menoleh ke belakang kerana menyangka ada orang putih turut beratur untuk menukar wang. Tak ada. Hanya aku seorang di situ. Yang ada cuma dua orang perempuan tua berpakaian lusuh di kaki lima kedai. Standby nak minta sedekah dari aku. "You are American sir ?". Sambil mukanya memandang aku.
Terasa amat malas untuk menjawab soalan tersebut. Aku yang berkulit gelap ni dianggap orang Amerika?. Hidung kembang, rambut pulak berbaur hitam dan putih. Ditumbuhi uban, bukan perang. Biji mata memang tak ada tokoh orang putih. Mustahil kalau hanya bercakap orang putih dah dianggap orang Amerika. Di sini bahasa Inggeris dipertutur secara meluas. Cakap orang putih dah menjadi perkara biasa. Sindir aku ke budak perempuan ni ? Kerana kat Amerika ada orang Negro. Mungkin dia sangka aku orang Negro. Tapi kalau muka Melayu nak disamakan dengan Negro tak mungkin. Melayu lebih lawa dari Negro. Termasuk aku yang juga lebih lawa dari Negro.
Aku tak faham. Dah hampir setahun aku di rantau konflik ini. Kebanyakannya menganggap aku orang sini. Sebangsa mereka. Kulit dan rupa yang hampir sama. Kalau aku ke bandar akan ramai orang sini yang bertanyakan sesuatu dari aku. Bercakap bahasa sini. Aku main angguk aja. Buat-buat faham. Habis daya aku akan buat-buat batuk dan tunjuk ke kerongkong. Batuk tak boleh nak bercakap...
Tiba-tiba hari ini ada orang tanya samada aku orang Amerika. Orang putih. Apa yang dapat aku huraikan ialah gadis tersebut memang tidak pernah tahu rupa orang Amerika. Walaupun rantau ini pernah dijajah negara tersebut. Dia membuat tanggapan hanya berdasarkan wang yang aku tukar. Satu perbezaan nyata dengan masyarakat di tempat aku. Masyarakat yang lebih berpengetahuan. Tahu macam mana rupa orang putih dan Jepun. Bangsa yang pernah bertapak di negara aku.
Sejumlah Peso 10,900 dihulur oleh gadis tadi. Pantas kumasukkan ke dalam poket seluar. Sebelum berpaling meninggalkan kaunter, aku menjawab. "Yes, I am American. From Melaka state, town call Hawau." Puas hati aku sambil melangkah keluar. Biar dia cari peta Amerika. Cari nama negeri Melaka kat situ. Cari nama bandar Hawau. Lantaklah. Aku letih.
Apabila kutoleh, gadis tersebut kelihatan sedang menulis sesuatu. Mungkin menulis nama Melaka. Senang nak cari dalam peta Amerika nanti. Aku tersenyum. Sekurang-kurangnya nama negeri aku turut terjaja di rantau konflik ini....
No comments:
Post a Comment