Sunday, June 12, 2005

Jenayah Pertama

Aku menerima jemputan perkahwinan anak lelaki salah seorang rakan di rantau konflik ini. Beragama Roman Katholik; agama utama di sini. Bagi mengambil hati rakanku itu, maka pergilah aku. Mula-mula ke gereja di mana upacara perkahwinan dilansungkan.

Pertama kali aku menjejakkan kaki ke kawasan gereja. Gereja Lady Marian. Begitu luas persekitarannya selain dijaga rapi. Berbeza dengan masjid di sini. Begitu kecil dan seolah-olah tidak siap sepenuhnya. Aku faham keadaan itu. InsyaAllah, akan sampai masanya masjid akan menjadi mercu tanda di sini. Biar masa menentukannya.

Di pintu utama gereja tersebut terpampang kandungan ' The Ten Commandments'. Sepuluh rukun yang diterima oleh Nabi Musa A.S menerusi wahyu dari Allah SWT. Diterima kalau tidak silap aku di atas Gunung Sinai. Menurut pendapat golongan Yahudi, rukun tersebut diterima oleh Nabi Musa A.S secara berdialog terus dengan Allah SWT. Betul ke ? Itu menurut fahaman Yahudi. Aku tak mahu masuk campur. Lantaklah.

Apa yang pasti 'Ten Commandments' tersebut sedikit sebanyak menyeru manusia ke arah kebaikan. Mempercayai Tuhan, menghormati ibu bapa, jangan membunuh orang, mencuri, melakukan kejahatan terhadap jiran.

Teringat aku terdapat beberapa masjid di negara kita yang turut memaparkan Khutbah Widak di pintu masuk utamanya. Khutbah terakhir yang disampaikan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW semasa haji terakhir yang dipanggil Haji Widak.

"Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu. Dan ingatlah, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Hendaklah kamu berpegang kepada dua perkara yang aku tinggalkan iaitu Al-Quran dan Sunnahku."

Aku pernah menitiskan air mata membaca manuskrip penuh Khutbah Widak tersebut. Khutbah terakhir disampaikan oleh Rasulullah sebelum kewafatan baginda. Sedih mengenangkan perjuangan Rasulullah yang tidak pernah meminta balasan mahupun upah. Hanya inginkan manusia menyembah Allah dan berbaik sesama mereka.

Di rantau konflik ini aku disogokkan oleh kandungan 'The Ten Commandments'. Juga menyeru manusia agar mempercayai Tuhan dan dilarang dari membunuh orang. Jangan melakukan kerosakan terhadap jiran. Tetapi hakikatnya? Mereka saling berbunuhan, saling dendam mendendam. Saling terjerumus dalam konflik yang tak berkesudahan. Walhal kedua-duanya agama langit. Agama yang dibawa oleh para nabi. Agama yang sudah tentu bermatlamat ke arah kebaikan.

Teringat kisah anak lelaki Nabi Adam A.S. iaitu Qabil dan Habil. Bermula perasaan tamak manusia seawal itu. Qabil cemburu kerana Habil akan dikahwinkan dengan adiknya Iklima manakala beliau dengan Damina. Kerana Iklima lebih cantik. Ia berakhir dengan pembunuhan. Habil dibunuh oleh abangnya Qabil kerana perempuan. Jenayah pertama yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini.

Tidak hairanlah rantau ini berterusan menghadapi konflik. Menghadapi kematian. Kerana mereka adalah manusia. Manusia penuh dengan sifat tamak. Penuh dendam.

Dan jenayah pertama di bumi ini adalah pembunuhan.....


Image hosted by TinyPic.com
Konflik - Darah Mereka Tetap Merah


Image hosted by TinyPic.com
Kesan Tembakan

Image hosted by TinyPic.com
Pembunuhan Merupakan Jenayah Pertama Di Muka Bumi !

Image hosted by TinyPic.com
"Mereka Tidak Sepatutnya Berada Di Sini "

No comments: