Sunday, June 05, 2005

Orang Sini

Pagi tadi aku ke airport. Kira-kira 20 minit perjalanan dari kediaman. Ada urusan yang perlu dijalankan di sana. Awang Airport namanya. Macam nama orang melayu. Macam nama orang Trengganu. Di kampung aku tidak ada orang bernama begitu. Cuma aku pernah dengar nama Awang semasa menonton wayang percuma di padang sekolah kampung aku. Lama dahulu. Cerita 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang'. Akupun dah tak ingat jalan cerita tu. Dan aku juga tak mahu fikir macamana nama Awang boleh muncul di sini. Di rantau konflik ini.

Di dalam kenderaan, aku terus teringat perbualan di masjid dengan Khatib selepas sembahyang Jumaat ( kisah Amankah? ). Khatib yang sangat muda. Berilmu agama. Ingin bekerja di Malaysia....

Kenderaan kemudiannya melepasi Hotel Estosan Garden seterusnya Notre Dame Hospital, hospital swasta di Sinsuat Avenue. Aku pernah dimasukkan ke wad hospital ini. Food poisoning. Banyak sangat makan clam (kerang besar) semasa dinner di sebuah Seafood Restaurant. Malamnya tak boleh tidur kerana sakit perut yang amat sangat. Purging. Muntah. Susah hendak bernafas. Aku dah mula fikir yang bukan-bukan. Kena buatan orang ke aku ni ? Kena santau ke ? Kena rasuk hantu raya ke ? Maklum le aku orang melayu. Perkara utama yang difikir kalau sakit ialah 'dah tentu orang dengki'. Kalau tidakpun 'hantu dengki'. Itu yang didedahkan kepada aku sejak kecil. Oleh masyarakat tempat aku dibesarkan. Sehingga aku dah tua begini masih sukar untuk menghakis kepercayaan tersebut. Sesukar melangkah di rantau konflik ini.

Aku kemudian dibawa ke hospital. Wad Kecemasan. Aku agak saja di situ wad kecemasan pasal semua jururawat nampak cemas. Atendan hospitalpun nampak cemas. Tukang sapu sampah hospital lagi cemas. Pengawal Keselamatan kat tepi pintu pun ikut cemas. Memandang aku dengan wajah kosong. Padahal cuma aku seorang saja pesakit di situ. Tidak ada pesakit lain. Dan aku sedang duduk atas stretcher. Takkan tengah kritikal boleh duduk atas stretcher. Takkan cemas tenguk aku tak macam orang sakit kuat? Lainlah kalau aku tak bergerak langsung. Ini tidak. Aku resah menekan perut. Mata melilau mengesan tandas.....

Cemas pasal gaji belum keluar lagi tak ? Aku meneka kerana pada masa itu 23 haribulan. Tarikh kritikal bagi mereka yang kerja makan gaji. Cuma doktor yang akan merawat aku saja kelihatan tenang. 'Doktor gaji cepat agaknya'.

Selepas itu jari-jari aku disepit dengan alat seperti penyepit baju. Siap dengan wayarnya. Di dada pula dilekatkan alat pengesan degupan jantung. Juga berselirat wayarnya. Dah jadi macam orang tengah wiring rumah. Nak pasang lampu baru. Candeliar...

Nadi ok. Jantung ok. Alhamdulillah. Aku kemudian disahkan food poisoning. Tahan wad. Kena masuk wad di rantau konflik ini. Rasa macam dijatuhkan hukuman gantung bila doktor arahkan begitu. Cuma sekali dalam hidup aku pernah ditahan wad. Bukan kerana sakit. Tapi patah kaki. Tahun 1993. Patah kaki pasal main ragbi. Itupun 4 hari sahaja. Lepas kaki disimen, aku duduk di kampung. Di rumah arwah emak aku. Cuti sakit 3 bulan.

Duduk di wad amat membosankan. Apalagi duduk wad di rantau konflik ini.....

Maka bermalamlah aku kat hospital. Doktor perempuan dan lelaki bergilir-gilir memantau keadaan aku. Amat peramah dan lebih banyak berbual dari memeriksa aku. Dalam perbualan mereka lebih kerap bertanyakan peluang untuk berkhidmat sebagai doktor di Malaysia. Pasal permit kerja, pasal hospital swasta, gaji dan seribu satu macam soalan. Bukan tanya aku ni sakit lagi ke tidak. Tanya macamana nak pergi kerja kat Malaysia.

Serentak itu juga aku bangga kerana mengalami food poisoning. Bangga kerana negara aku begitu dikagumi. Negara aku menjadi impian masyarakat di rantau konflik ini untuk mendambakan nasib. Tempat meneruskan kesinambungan hidup. Tempat untuk mencapai hasrat menjadi orang senang...

Doktor, Imam dan Khatib dari rantau konflik ini ingin bekerja di Malaysia? Bagaimana yang lain. Juga ingin bekerja di Malaysia? Macamana nanti kalau semua dah bekerja di Malaysia? Siapa nak merawat orang yang dihantar ke hospital akibat cedera kerana bertembak. Dan siapa pula yang akan memandikan jenazah mereka yang mati bertembak?

Siapa ?

Kerana semua orang dah berhijrah ke Malaysia. Semua dah bekerja di Malaysia. Tidak akan ada yang nak memikul tanggungjawab fardhu kifayah.

Sejurus itu aku mengucap syukur kerana dilahirkan di Malaysia! Bukan di rantau konflik ini.....


Image hosted by TinyPic.com
'Food poisoning' juga ke dia ni ? Atau sedang menangisi
konflik yang berlaku di rantau ini?

No comments: