Saturday, June 18, 2005

Perigi

Pagi tadi aku memasuki sebuah kampung (barangay) di rantau konflik ini. Jalan tanah merah. Amat dhaif. Dihiasi rumah-rumah yang hanya layak dipanggil pondok. Usang. Diperbuat dari buluh. Penduduknya hanya menjalankan pertanian kontan. Jagung dan pisang. Sedikit bersawah padi. Itu saja sumber kehidupan mereka.

Kampung yang masih tidak ada bekalan elektrik mahupun air. Sumber utama air ialah perigi. Untuk mandi dan minum. Perigi yang tidak berkepung. Mandi secara terbuka. Lelaki mahupun perempuan. Berkemban di tempat lapang. Kira wayang 'free'lah. Tapi filem 'hitam putih'. 'Blur'. Tak meriah...

Aku pernah mandi perigi. Lama dahulu. Semasa aku sekolah rendah. Pada tahun 1977, kampung aku sudah ada bekalan air paip. Aku dah bersekolah menengah masa tu. Perigipun semakin terpinggir dan terkambus....

Mandi perigi memang mengasyikkan. Aku akan bangun awal. Pukul 5.00 pagi dah mandi di perigi. Kakak aku Kak Nor dan Kak Izan akan temankan aku. Sama-sama nak ke sekolah. Nak berebut trip pertama bas sekolah. Waktu awal pagi air perigi tak sejuk. Panas. Waktu tengahari pulak tak panas. Sejuk. Itulah nikmatnya mandi perigi. Puas.
Kini mungkin perigi dah semakin pupus di tempat aku. Generasi baru mungkin dah tak kenal lagi rupa perigi.

Aku pernah berada di Sumatera suatu ketika dulu. Dumai. Dari Dumai aku menaiki bas ke Padang. Bas bergerak pukul 5.00 petang dan tiba di Padang keesokan hari. Pukul 8.00 pagi. Merentasi Pulau Sumatera dari timur ke barat. Bas 'ekspres' yang berhenti sepanjang jalan. Mengambil penumpang. Akan diasak penuh walaupun terpaksa berdiri. Ada yang membawa ayam. Bawa kambingpun ada. Padahal jam dah pukul 1.00 pagi. Dari mana kambing tu datang aku malas nak tanya. Yang aku tahu kambing tu tak berhenti mengembek sepanjang jalan. Kalau yang bawa tu tuan dia takkan dia mengembek macam ketakutan. Macam tak kenal orang yang peluk dia.......

Bas penuh dengan asap rokok keretek. Aku bengong apabila sampai di Padang. Terhidu terlalu banyak asap rokok keretek. Kunjungan aku ke Bukit Tinggi (tanah Minang) dan juga Danau Maninjau turut dihiasi asap rokok keretek - rokok paling aku benci.

Dari Padang aku ke satu kampung pendalaman. Padang Ceno, Pariaman. 2 jam perjalanan dari Padang. Dan 1 jam pula berjalan kaki dari jalan raya untuk ke kampung tersebut. Merentasi paya, bukit bukau, sungai berarus deras dan sawah padi di teres bukit. Dan sepanjang di kampung tersebut aku mandi di perigi mahupun di sungai (stream) yang mengalir di tengah sawah. Tidak ada air paip. Tidak ada bekalan elektrik. Tidak ada motosikal langsung.
Masyarakatnya juga tidak pernah menyentuh ikan laut. Tiada penjual yang sanggup memasuki kampung tersebut.

Di rantau konflik ini aku semakin merindui negaraku. Negara yang tidak tamak untuk melimpahkan kemewahan bagi dinikmati masyarakat kampung. Masyarakat luar bandar. Masyarakat di mana aku hidup di dalam lingkungannya. Walaupun kemewahan tersebut terpaksa dibayar dengan kehilangan nilai tradisi. Kemewahan yang memungkinkan generasi kini tidak lagi mengenali perigi. Biarlah...sekurang-kurangnya masyarakat aku lebih mewah dan mempunyai masa depan lebih terjamin.

Image hosted by TinyPic.com

Image hosted by TinyPic.com
Kedhaifan dipusakai turun temurun..

No comments: